Saturday, February 11, 2023

Selesai kos sara hidup, bukan tak perlu tampal ‘roadtax’: Muhyiddin

satuberita.my
By Admin
-February 11, 2023
MUHYIDDIN Yassin ketika hadir pada Majlis Kesyukuran Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin, di Kompleks Kejiranan Presint 8, Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR

KERAJAAN Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) sepatutnya menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat dan peningkatan harga barangan yang membebankan sekarang ini, bukannya membuat keputusan orang ramai tidak perlu menampal cukai jalan kenderaan di cermin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keadaan rakyat sekarang ini tertekan dengan pelbagai isu kos sara hidup serta inflasi yang melambung tinggi, selepas menghadapi pandemik Covid-19.

“Menyelesaikan masalah-masalah kehidupan rakyat yang saat ini masih lagi terkesan dalam satu jangka waktu yang agak panjang, malahan rakyat pada hari ini masih lagi terbeban dengan pelbagai isu-isu… kos sara hidup yang meningkat dan melambung tinggi, inflasi, harga barang yang tak turun-turun.

“Minyak yang kata dah diumum untuk turun harga, sampai hari ini tak turun-turun. Ini fakta yang kita hadapi pada hari ini. Ada perkara-perkara yang sewajarnya kerajaan boleh terus cepat dan ianya tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

“(Tapi) untuk meyakinkan rakyat bahawa kerajaan yang sudah dibentuk ini berupaya dan mampu untuk menyelesaikan masalah rakyat… kita tak payah tampal roadtax pada cermin kenderaan. Orang fikir dah tak payah bayar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis kesyukuran Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin di Putrajaya, hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, rakyat mengharapkan apabila sesebuah kerajaan terbentuk maka fokus paling utama ialah menyelesaikan masalah kehidupan mereka.

Katanya, ada perkara-perkara yang sewajarnya kerajaan boleh terus lakukan dengan cepat untuk menyelesaikan masalah rakyat yang tidak akan melibatkan tambahan perbelanjaan kerejaan.

Beliau memberi contoh pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagaimana dilakukan kerajaan PN sebelum ini, yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan kerana wang itu adalah simpanan pekerja.

“Saya percaya pada waktu itu pengeluran KWSP telah mengurangkan bebanan rakyat. Dan tidak menyebabkan kos kepada kerajaan.

“(Ada yang kata) dah tua mana duit nak dapat? Betul… Tetapi itu soalan kedua. Kalau hari ni kerajaan tak buat begini dan rakyat masih menderita,” katanya, memetik laporan Agenda Daily.

Menurutnya, pemberian moratorium juga perlu dilakukan bagi membantu orang ramai, khusus perusahaan mikro kecil dan sederhana (SME) yang kini berdepan masalah sedangkan kumpulan industri itu adalah penyumbang besar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Di waktu kita dulu kita putuskan minta supaya dengan kerjasama semua bank… kita menerusi keputusan telah dibuat oleh kerajaan dan Bank Negara maka semua bank luluskan untuk beri moratorium. Dalam erti kata kalau dia kena bayar, ditangguhkan bayaran, bukan tak bayar. Bank tak rugi.

“Tangguhkan kepada enam bulan. Semua penyata kewangan bank untung berbilion-bilion ringgit. Tak rugi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-