Muhaamad Hafis Nawawi dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
am@hmetro.com.my
MUHYIDDIN meninggalkan mahkamah selepas menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Kuala Lumpur: "Saya pilih untuk tegak berdiri di atas prinsip yang saya pegang. This is the price that I have to pay. (Ini adalah harga yang perlu saya bayar)," kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, bekas Perdana Menteri itu yang menghadapi enam pertuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram berkata, beliau menerima pertuduhan terhadapnya dengan sabar.
"Saya tahu dalam dunia politik, ramai musuh yang ingin menghancurkan saya, keluarga saya dan parti saya. Lebih-lebih lagi apabila saya berhadapan dengan musuh politik yang rakus.
"Bagi saya tidak mengapa. Ini jalan perjuangan yang saya pilih. Saya tidak memilih untuk bersekongkol atau tunduk dengan desakan mereka yang batil," katanya.
Beliau juga yakin dengan kuasa Allah dan berdoa agar dikurniakan rahmah, inayah serta melindunginya serta rakan-rakan daripada fitnah jahat dan musibah buruk.
"Saya dan pasukan peguam saya akan berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkan keadilan di mahkamah.
"Nasib saya akan saya serahkan kepada Allah dan hakim yang adil," katanya.
Muhyiddin melahirkan penghargaan kepada ahli-ahli Parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), penyokong PN dan rakyat kerana menyokongnya.
"Bertenang dan berilah peluang kepada saya untuk membela diri melalui proses undang-undang. Saya tidak akan mengajak saudara dan saudari turun ke jalanan untuk mempertahankan diri saya.
"Ini zaman kegawatan ekonomi akibat Covid- 19. Rakyat sedang mengalami kesusahan hidup.
"Saya tidak mahu membebankan rakyat untuk membela diri saya. Kita semua mesti patuh kepada undang-undang dan pelihara keamanan negara," katanya.
Tegas Ahli Parlimen Pagoh itu, beliau telah berkecimpung dalam politik selama 50 tahun dan mendakwa sepanjang tempoh berkenaan tidak ada apa-apa kesalahan dilakukan olehnya.
"Malah saya sentiasa akur kepada peraturan dan undang-undang. Saya tidak melanggar peraturan dan undang-undang dengan sewenang-wenangnya.
"Pegawai-pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat dengan saya pasti tahu sikap dan pendirian saya mengenai pematuhan kepada peraturan dan undang-undang," katanya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga mendakwa keputusan untuk mendakwanya di mahkamah hari ini telah dibuat lebih awal sebelum siasatan dilengkapkan.
"Mereka hanya menggunakan agensi penguat kuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka.
"Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang. It is an organized political persecution. (Ia satu pertuduhan politik terancang)," katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin, 76, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.
Disiarkan pada: Mac 10, 2023 @ 12:32pm
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.