Diterbitkan: Mar 10, 2023 2:14 PM
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hari ini menyampaikan kuliah dhuha mingguan seperti biasa di Masjid Rusila di Marang, Terengganu.
Perkara itu dilaporkan beberapa media dan rakamannya juga dimuat naik di media sosialnya hari ini.
Menurut Facebooknya, dia turut menyampaikan khutbah Jumaat di masjid sama
Hadi berbuat demikian walaupun terdapat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu melarang ahli politik termasuk ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri (Adun) serta senator daripada memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di Terengganu.
Mereka turut dilarang menyampaikan khutbah Jumaat.
Menurut portal Utusan Malaysia, Hadi berbuat demikian di masjid berkenaan selepas Majlis Penyerahan Tabung Bencana Gempa Bumi Turkiye dan Syria, peringkat PAS Terengganu, di situ.
Portal itu juga memetik Pesuruhjaya PAS Terengganu, Husain Awang sebagai berkata parti itu menyarankan semua ahlinya yang belum memiliki tauliah tersebut supaya mengemukakan permohonan bagi membolehkan mereka mengajar agama secara sah.
“Insya-Allah kita mohon (tauliah) . Ada yang telah mohon, ada yang dapat, ada yang tidak dapat,” katanya.
Arahan larangan tersebut - yang bertarikh 2 Mac - dikeluarkan susulan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dukacita apabila ada ahli politik mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Hadi pada 4 Mac lalu, menegaskan bukan menjadi satu kesalahan untuk ahli politik memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau-surau.
Sebaliknya, menurut Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, menjadi satu kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai “politik Islam”.
Malah, katanya, “Nabi SAW pun cakap politik dalam khutbah”.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.