Sunday, May 21, 2023

Tiada siapa berhak arah ahli UMNO undi siapa

bharian.com.my
Oleh Izz Laily Hussein 
bhnews@bh.com.my
Mei 21, 2023 
ISKANDAR PUTERI: Ahli dan penyokong UMNO perlu diberi hak dan kebebasan mengundi mana-mana calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad, berkata mereka tidak boleh dipaksa untuk memberi undi kepada calon DAP.

Beliau berkata ahli dan penyokong UMNO perlu bijak dan berhak membuat pilihan mereka sendiri.

Katanya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan juga tidak mempunyai hak untuk memaksa dan juga tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan sedemikian kepada akar umbi kerana beliau bukan lagi Setiausaha Agung parti.

"Sebenarnya kenyataan dibuat Datuk Seri Ahmad Maslan itu bersifat peribadi, dia tidak menyelami peringkat bawahan bahawa sentimen itu tetap ada, jadi jangan hanya kerana mempertahankan jawatan yang ada sehingga mengabaikan prinsip yang di bawah.

"Kita boleh bekerjasama dalam kerajaan perpaduan tetapi dalam konteks menyeru atau memaksa penyokong UMNO untuk sokong pihak lain, itu bukan kuasa dia, jadi kena hati-hati buat kenyataan.

"Kita tidak mahu keyakinan akar umbi UMNO khasnya orang-orang lama hilang kepada parti," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Pandak yang juga bekas Setiausaha Kerja UMNO Johor berkata, kepimpinan UMNO sepatutnya mengurangkan kenyataan yang membabitkan kepentingan peribadi.

"Rakyat termasuklah penyokong UMNO akan buat pilihan berdasarkan perkembangan semasa dan bukannya secara membuta tuli, mereka akan nilai perubahan yang dilakukan Kerajaan Perpaduan dan sokongan yang diterima.

"Mungkin kenyataan seperti itu bertujuan untuk mengubah suasana kepada meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan, tetapi ia tidak semudah itu," katanya.

Kelmarin, Ahmad Maslan dilaporkan berkata, ahli UMNO perlu memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan termasuk DAP sebagai tanda kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan pada masa ini.

Ahmad juga berkata ia juga selaras dengan pendirian UMNO unuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kestabilan politik pasca PRU15.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-