Showing posts with label Pilihan Raya Negeri (PRN). Show all posts
Showing posts with label Pilihan Raya Negeri (PRN). Show all posts

Sunday, August 13, 2023

Kalah teruk PRN, Zahid perlu letak jawatan: Idris

agendaily.com
13/08/2023
Tan Sri Idris Jusoh.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu meletak jawatan sebagai Presiden UMNO selepas kekalahan teruk enam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

Gesaan supaya Zahid berundur itu disuarakan bekas Pengerusi UMNO Terengganu, Tan Sri Idris Jusoh yang mahu beliau mengambil tanggungjawab kerana kegagalannya mengetuai parti tersebut.

“UMNO kalah teruk di PRN semalam. UMNO kalah 100 peratus di Terengganu.

“Zahid Hamidi perlu letak jawatan,” katanya dipetik laporan media.

Pilihan raya bagi enam negeri semalam menyaksikan UMNO hanya meraih 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Keputusan menunjukkan gabungan Pakatan Harapan (PH)-UMNO hanya berjaya di Negeri Sembilan apabila menang majoriti dua pertiga dengan Barisan Nasional (BN) menyumbang 14 dari 30 kerusi untuk kerajaan negeri.

BN gagal menyumbang lebih dari dua kerusi kepada gabungan itu di semua negeri lain, termasuk di Kedah.

Di Terengganu, kedua-dua BN dan PH gagal meraih kemenangan dan Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih semua kerusi DUN.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menjangkakan Zahid tidak akan berundur walaupun BN menunjukkan prestasi buruk dalam PRN.

Kemenangan 146 kerusi DUN bukti sokongan padu pengundi Melayu pada PN

hmetro.com.my
Muhamaad Razis Ismail dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com
MUHYIDDIN dan ketua Parti Komponen PN serta calon ketika sidang media selepas keputusan rasmi PRN. FOTO Aswadi Alias

Shah Alam: Kemenangan sebanyak 146 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan mempertahankan Kelantan, Kedah dan Terengganu dengan suatu kemenangan yang besar membuktikan sokongan padu pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasssin berkata, PN mengucapkan tahniah kepada 146 calon yang memenangi pilihan raya ini di mana ia satu pencapaian yang memberangsangkan kepada PN yang bertanding sebanyak 245 kerusi.

Menurutnya, ini bermakna PN memenangi sebanyak 60 peratus kerusi yang ditandingi.

"Kejayaan PN mempertahankan Kelantan, Kedah dan Terengganu dengan suatu kemenangan yang besar membuktikan sokongan padu pengundi-pengundi Melayu kepada PN.

"Pada masa yang sama, Perikatan Nasional juga membuat major inroads di Negeri Selangor dengan memenangi 22 kerusi berbanding hanya lima kerusi yang disandang oleh PN sebelum ini," katanya pada sidang media di sebuah hotel, di sini.

Muhyiddin berkata, kesemua 22 kerusi ini ialah kerusi majoriti Melayu yang membuktikan bahawa PN mendapat sokongan besar pengundi pengundi Melayu di negeri Selangor.

"Kejayaan memenangi 22 kerusi ini juga bermakna Perikatan Nasional berjaya menafikan majoriti 2/3 kerajaan PH-BN di Selangor, yang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuat mereka.

"Saya percaya sekiranya peratusan keluar mengundi lebih tinggi, Perikatan Nasional akan berjaya merampas negeri Selangor," katanya.

Beliau berkata, di Pulau Pinang, seperti mana dijangka gelombang sokongan pengundi Melayu di negeri itu membawa kejayaan besar kepada PN dengan memenangi 11 daripada 15 kerusi majoriti Melayu.

"Ini adalah satu tamparan hebat kepada Anwar Ibrahim apabila semua kerusi DUN dalam Parlimen Permatang Pauh dimenangi oleh Perikatan Nasional.

"Kejayaan besar Perikatan Nasional meraih sokongan pengundi Melayu menandakan bahawa Perikatan Nasional adalah wadah utama politik bangsa Melayu pada masa kini," katanya.

Katanya, Umno menjadi tidak relevan lagi dengan hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.

"Ini bermakna Umno kalah 82 peratus daripada keseluruhan jumlah kerusi terbabit," katanya.

Disiarkan pada: Ogos 13, 2023

‘Gelombang Hijau’ terus landa Semenanjung

freemalaysiatoday.com
Robin Augustin
 - 13 Aug 2023, 1:40am

PN berjaya mengukuhkan kedudukan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, serta meluaskan pengaruh di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Umno terus mencatatkan prestasi buruk pada pilihan raya, manakala PAS dan Bersatu memperoleh keuntungan di kerusi majoriti Melayu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: “Gelombang Hijau” yang mencetuskan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di 74 kerusi Parlimen pada PRU meneruskan momentumnya pada PRN semalam.

Bersatu dan PAS berjaya mengukuhkan kedudukan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, melemahkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), terutamanya Umno yang menjadi tonggak BN.

Berdasarkan keputusan rasmi dan tidak rasmi setakat ini, jelas bahawa “Gelombang Hijau” semakin kuat apabila turut melanda negeri pantai barat Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Walaupun gabungan perpaduan berjaya mengekalkan kuasa di ketiga-tiga negeri itu, kedudukan PN mengukuh, khususnya di kawasan Melayu di Pulau Pinang dan Selangor, yang selama bertahun-tahun dikuasai oleh PH dan BN.

Saguhati bagi PH-BN sebahagian besarnya adalah apabila PN diketepikan di Negeri Sembilan, hanya memenangi tiga kerusi. Bagaimanapun, gabungan itu memberikan persaingan hebat, terutamanya terhadap calon Umno, di kerusi-kerusi lain.

Sebelum pilihan raya, beberapa pemimpin PN, termasuk Presiden PAS Hadi Awang, meramalkan bahawa kemenangan bagi pakatan pembangkang boleh membawa kepada pertukaran kerajaan persekutuan.

Walaupun pemimpin PH dan BN menyangkal dakwaan itu, pemerhati politik menjangkakan timbul akibat daripada prestasi buruk Umno, yang akan dirasai dalam parti itu, dan sebagai lanjutan, juga dalam gabungan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, memandangkan Anwar mempunyai majoriti di Parlimen, wujudnya undang-undang anti-lompat dan hakikat bahawa Zahid Hamidi menerajui Umno dan BN, sebarang perubahan di peringkat persekutuan mungkin tidak berlaku dalam sekelip mata.

Prestasi kukuh PN pada PRN kali ini akan menyembunyikan isu-isu yang dihadapi gabungan itu sebelum pilihan raya, termasuk dakwaan wujudnya “kartel” dalam Bersatu, rasa tidak senang terhadap pencalonan, dan kekurangan sokongan daripada golongan bukan Melayu.

Mungkin salah satu isu terbesar yang perlu dihadapinya sebelum PRU akan datang adalah kononnya PAS lebih dominan daripada Bersatu, seperti yang didakwa oleh bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Faiz Na’aman.

PAS mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen berbanding rakan kongsinya itu, selain bertapak lebih kukuh di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Bagaimana keputusan pilihan raya akan mengubah dinamik dalam PN masih belum dapat dilihat, tetapi buat masa ini, pakatan pembangkang mampu membelakangkan isu dalaman mereka.

Saturday, August 12, 2023

PRN: Mahfuz kalah di tangan Radhi

hmetro.com.my
BERNAMA
Mahfuz Omar tewas di kerusi DUN Alor Mengkudu kepada Radhi Mat Din.

Sik: Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah hari ini.

Berdasarkan data keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mahfuz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah kalah kepada calon Perikatan Nasional (PN) Muhamad Radhi Mat Din dengan majoriti 10,104 undi.

Muhamad Radhi yang juga bekas pemain bola sepak Kedah memperoleh 18,936 undi manakala Mahfuz yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah memperoleh 8,832 undi.

Kedua-dua mereka pernah bersaing pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 di kerusi Parlimen Pokok Sena yang menyaksikan Mahfuz menang dengan majoriti 5,558 undi.

Disiarkan pada: Ogos 12, 2023 @ 10:06pm

Peratusan undi rendah, PAS tumbang di Kelantan?

bharian.com.my
Oleh Nazmi Yaakub 
nazmi@bh.com.my
- Ogos 12, 2023
Menteri Besar Kelantan yang juga calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N03 Pasir Pekan, Datuk Ahmad Yakob (tengah) selesai melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Laut hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik menjangkakan peratusan keluar mengundi rendah di Kelantan sekiranya di bawah 65 peratus bukan sahaja menyebabkan kerajaan negeri hanya dibentuk dengan majoriti mudah, bahkan tidak mustahil PAS tumbang di negeri itu.

Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan, berkata ia mungkin diburukkan lagi dengan berita kemungkinan wujudnya undi rosak sebagai protes.

"Antara lain faktor yang mungkin menyebabkan peratusan rendah adalah pengundi di Kelantan merasakan tidak ada gunanya mengundi kerana PAS tetap menang.

"Bagaimanapun, tanggapan sebegini boleh memakan diri sekiranya undi diperoleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak terjejas," katanya kepada BH.

Muhammad Ariff Asyrul yang juga Timbalan Pengerusi Pertubuhan Naratif Malaysia (NARATIF) berkata, peratusan mengundi ini juga berbeza dengan senario malam tadi apabila ramai penduduk keluar hingga menyebabkan jalan utama antara Pasir Puteh dengan Kubang Kerian mengalami kesesakan.

Beliau turut menjangkakan kebimbangan itu menyebabkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan merayu semua pengundi untuk keluar mengundi kerana ini bukan masanya untuk menunjukkan protes terhadap proses pilihan raya atau cubaan merosakkan undi.

"Tidak mustahil berlaku protes ekoran daripada kenyataan mengejutkan dikeluarkan PAS malam tadi yang dianggap menggugurkan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar, sekali gus mencalonkan teknokrat serta ahli agama untuk kedua-dua kerusi berkenaan," katanya.

Friday, August 11, 2023

Anwar enggan terima badan kajian kata tiada sokongan orang Melayu

satuberita.my
By Admin
-August 11, 2023
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim GAMBAR: Warta Rakyat

Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan menerima laporan satu tinjauan pendapat yang mendakwa beliau hanya mendapat 24% sokongan orang Melayu.

Perdana Menteri tidak dapat menerima hakikat laporan kajian dibuat oleh Ilham Centre yang berlangsung pada 11 hingga 27 Julai itu menganalisis maklum balas 2,416 responden di enam negeri yang akan berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

“Saya tidak bersetuju. Ia satu analisis yang cacat, mungkin mereka (Ilham Centre) mengambil data di Kelantan dan membandingkan di Selangor.

“Tetapi di banyak lagi negeri, prestasi kita (kerajaan perpaduan) sangat baik. Saya sangat optimis,” katanya dipetik laporan FMT.

Dalam rumusan kajian itu, Ilham Centre berkata PRN akan menjadi ujian lapangan untuk menentukan corak sokongan orang Melayu di Semenanjung susulan perubahan trend pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, 24% sokongan Melayu oleh responden berbeza dengan sokongan orang Cina (88%) dan India (81%) serta lain-lain (75%).

Secara keseluruhan 42% responden berkata mereka berpuas hati dengan prestasi Anwar.

Dalam segi populariti, kajian mendapati Anwar, kerajaan perpaduan dan polisi Madani mendapat markah tinggi di negeri dikuasai Pakatan Harapan iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Ilham Centre - Ramai penyokong Umno akan undi PN

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 11
Badan Pemikir Ilham Centre menjangkakan antara 27 hingga 58 peratus penyokong Umno akan mengundi Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya di enam negeri, esok.

Menurutnya, peratusan penyokong Umno yang akan berpindah itu adalah berbeza di seluruh kawasan dan didorong oleh faktor berbeza.

“Umno kalah di semua kerusi parlimen majoriti Melayu di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor namun cemerlang di Negeri Sembilan dalam PRU15.

“Justeru keupayaan Umno untuk menarik sokongan orang Melayu dalam PRN ini masih disangsikan,” katanya.
Ilham Center seterusnya berkata penyokong Umno yang tidak berpuas hati secara umumnya boleh dibahagikan kepada tiga kelompok

Kelompok pertama adalah yang menentang Ahmad Zahid Hamidi dan menyalahkan presiden Umno itu atas apa yang berlaku ke atas parti semasa pilihan raya umum 2022.

“Kedua kelompok yang tiada masalah dengan Zahid tapi marah Umno bekerjasama dengan PH.

“Kelompok ini masih tidak dapat menerima kerjasama tersebut khususnya dengan DAP yang dianggap ekstrim dan cauvinis Cina yang anti-Melayu,” katanya.
Kelompok penentang terakhir ialah mereka yang menerima Zahid dan kerjasama dengan Harapan tetapi tidak berpuas hati dengan pemilihan calon.

“Keadaan ini boleh terubat dengan pemimpin Umno turun bertemu mata dengan ahli akar umbi menjelaskan dengan tuntas keputusan bersama (seteru utama Umno) DAP dan (perdana menteri) Anwar Ibrahim,” kata Ilham Centre.

Badan pemikir itu membuat rumusan tersebut berdasarkan tinjauan selepas hari penamaan calon yang bermula pada 29 Julai sehingga 8 Ogos lalu membabitkan 2,416 responden di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang.
Responden dipilih melalui persampelan berstrata rawak.

Ia bagaimanapun, tidak menyatakan jumlah responden yang dikenal pasti sebagai penyokong Umno.

Sementara itu, Ilham Center menjangkakan peratusan keluar mengundi pada pilihan raya esok adalah "rendah" berbanding pilihan raya parlimen 2022, kecuali di Selangor dan Kedah.

“Bagi responden yang mengundi di Terengganu dan Kelantan kelihatan selesa dengan kemenangan besar PAS dalam PRU lalu melihat parti itu akan menang walaupun mereka tidak pulang mengundi.

“Ini membentuk sikap selesa pada pengundi di dua negeri berkenaan.
“Selangor dan Kedah mencabar dan panas mengundang keterujaan tinggi untuk pengundi berpartisipasi dalam proses demokrasi kali ini,” kata Ilham Centre.

Peratusan keluar mengundi negara semasa pilihan raya umum ke-15 pada 2022 adalah 74.04 peratus. Pecahan peratusan keluar mengundi peringkat negeri adalah seperti berikut:

Selangor - 78 peratus

Terengganu - 78 peratus

Negeri Sembilan - 76 peratus

Pulau Pinang - 76 peratus

Kedah - 75 peratus

Kelantan - 69 peratus

ANALISIS | PRN seri 3-3 jika pengundi luar kawasan tak buat kejutan

malaysiakini.com
Pasukan Malaysiakini
Diterbitkan: Aug 11, 2023
ANALISIS | Enam pilihan raya negeri (PRN) berkemungkinan akan menyaksikan keputusan seri untuk Pakatan Harapan-BN dan Perikatan Nasional, dengan setiap pakatan memenangi tiga negeri sama yang ditadbir sebelum ini.

Kedua-dua gabungan utama yang bertanding dalam PRN berharap untuk menawan sekurang-kurangnya satu negeri tambahan. Dengna PH-BN menyasarkan Kedah, dan PN menyasarkan Selangor.

Walau bagaimanapun, kempen kedua-duanya nampaknya tidak menunjukkan isyarat yang ketara.

Namun, faktor yang mungkin mengubah keputusan yang memihak kepada PH-BN ialah pengundi luar kawasan - yang sentimennya masih tidak dapat diramalkan.

Bagi PH-BN, kerjasama dan usaha mereka sebagai kerajaan persekutuan nampaknya memberi kesan kecil kepada pengundi yang tinggal di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Tinjauan Ilham Center pada Julai lalu menunjukkan majoriti pengundi di Kedah, Kelantan, dan Terengganu tidak cenderung kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Tinjauan yang sama menunjukkan bahawa hanya satu daripada empat orang Melayu berpuas hati dengan prestasi perdana menteri itu.

Perbualan Malaysiakini dengan lebih 70 pengundi di seluruh Kedah nampaknya menunjukkan bahawa kebanyakan pengundi telah membuat keputusan, dan akan berpegang kepada pilihan yang mereka buat pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Pada masa yang sama, terdapat tanda-tanda bahawa sebilangan besar mereka yang mengundi BN tahun lepas, mungkin sama ada tidak mengundi atau beralih kepada PN.

Rasa tidak puas hati terhadap BN ini nampaknya merupakan gabungan rasa tidak senang dengan kepimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi serta rasa tidak puas hati terhadap kerajaan secara amnya.

PN masih dominan di Kedah, K’tan, T’ganu

Di Kedah, menteri besar sementara Muhammad Sanusi Md Nor juga menjadi cabaran utama kepada PH dan BN.

Sanusi meraih sokongan yang begitu kuat di Kedah sehinggakan ada pengundi di negeri itu yang akan mengundi PN kerana mahu Sanusi kembali memegang jawatan menteri besar.

Pada masa ini, PH-BN dilihat berisiko kehilangan kerusi dan memenangi lebih sedikit kerusi berbanding potensi menawan negeri itu.

Di Kelantan, PH-BN dijangka memberi cabaran sengit di beberapa kerusi, seperti Kota Lama, Wakaf Bharu, Pulai Chondong, Temangan, Kemuning, Galas, Nenggiri, dan Paloh.

Bagaimanapun, harapan terbaik gabungan itu ialah menghalang PN daripada menang semua kerusi di Kelantan seperti yang berlaku pada PRU15.

Keadaan itu nampaknya sama di Terengganu, dengan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli - pakar strategi utama PH - dilaporkan mengakui bahawa PN masih mendahului.
“Di Terengganu pada pandangan saya, PN masih mendahului kita, dan saya mengakui ini secara terbuka,” katanya pada ceramah di Telok Ayer Tawar, Pulau Pinang pada Ahad.

Sebarang peluang untuk gabungan Madani memintas PN di Kelantan kemungkinan terletak pada pengundi luar kawasan - terutamanya pengundi atas pagar yang tinggal di negeri PH-BN.

Jika 20 peratus daripada pengundi atas pagar ini - yang sebelum ini mengundi PN - beralih kepada PH-BN, terdapat peluang untuk gabungan itu menang di Kedah, pada masa sama meraih kerusi di Kelantan dan Terengganu.

Taktik gesa pengundi keluar mengundi

Untuk menggalakkan kehadiran penyokong luar dan pengundi atas pagar, PH menggunakan taktik menakutkan pengundi.

Sama seperti PN yang memainkan sentimen Melayu-Islam dikatakan berada di bawah ancaman, PH juga menggunakan taktik yang hampir sama.

DAP Pulau Pinang misalnya, telah mendakwa bahawa 20 peratus pengundi Cina di negeri itu mungkin beralih kepada PN, tidak mengundi, atau merosakkan undi mereka.

Sementara itu, pengundi juga ditakutkan dengan kemungkinan orang bukan Islam akan kehilangan kebebasan peribadi seperti boleh memakai seluar pendek jika PN berkuasa.

Malah Anwar pernah terlibat dalam retorik sedemikian.
Dalam program bersama pelajar matrikulasi, Anwar menimbulkan kontroversinya susulan jawapannya terhadap soalan yang diajukan pelajar bukan Melayu yang mahukan kuota pendidikan digantikan dengan sistem meritokrasi.

Anwar berkata, penghapusan kuota pendidikan akan menyebabkan PH dan BN kalah dalam semua pilihan raya.

“Kalau saya nak puas kan hati awak, hari ini Anwar kata tamatkan sistem kuota, kami akan kalah semua pilihan raya di negara ini dan anda akan lebih menderita di negara ini. Itu kena faham.

"(Negara akan) diperintah PAS dan Bersatu, kena faham. Tapi, janganlah umpanya nak suruh batal sistem kuota ini. Akan berlaku pergolakan dalam negara…ini persefahaman dibuat sejak sekian lama,” katanya seperti dilapor media pada 5 Ogos.

Sementara itu, Anwar juga memberi amaran bahawa jika pengundi di Selangor "salah mengundi" maka negeri itu mungkin akan jadi seperti Kedah atau Kelantan.

Sama ada taktik menakutkan itu akan berkesan untuk PH dan BN masih belum dapat dilihat.

Walau bagaimanapun, ia menghadapi risiko meminggirkan pengundi di negeri yang dikuasai PN.

“Rasa marah sebab mana boleh bandingkan dengan negeri negeri tu sebab kat Kedah ni banyak dah tempat yang dah maju sekarang," kata Muhamad Abid Najimi Ahmad, seorang pengundi Kedah berusia 19 tahun.

Di sebalik taktik menakut-nakutkan, kerajaan Madani juga nampaknya mengambil langkah untuk memenangi pengundi Melayu konservatif.

Antara lain, ini termasuk peningkatan subsidi untuk pesawah, serta langkah Kementerian Dalam Negeri mengharamkan jam tangan Swatch yang mengandungi unsur LGBT.

Gelombang PN melimpah ke Selangor

Sementara itu, kempen PN di Selangor kelihatan lebih baik daripada PH-BN di Kedah.

Di timur laut negeri ini, PN nampaknya membuat kehadiran yang ketara di kawasan pantai dari Sabak Bernam ke Tanjong Karang dan telah menjadikannya tumpuan kempen.

Lima kerusi PH-BN di kawasan ini berisiko ditawan PN iaitu Sungai Air Tawar, Sabak, Sungai Panjang, Sungai Burung, dan Permatang.

PN juga dilihat aktif di Kuala Selangor, dengan kemungkinan memenangi semula kerusi Jeram.

Sumber dalam PH pula menyatakan kebimbangan mengenai peluang untuk mengekalkan kerusi Bukit Melawati dan Ijok.

Kerusi lain PN dijangka memberi saingan sengit di Selangor termasuk Kuang di bawah parlimen Selayang, Sungai Ramal di Bangi, Selat Klang di Kapar, serta Sijangkang dan Morib di Kuala Langat.

Kerusi majoriti Melayu yang lain juga akan menyaksikan saingan sengit.

Walau bagaimanapun, di beberapa kawasan, ia tidak berjalan lancar.

Ini terutamanya di Gombak, kerusi yang ditandingi bekas menteri besar Selangor Azmin Ali dan pembantunya Hilman Idham masing-masing di Hulu Kelang dan Gombak Setia.
Jentera PAS tempatan di sana dilaporkan kecewa kerana dua kerusi itu diberikan kepada Bersatu untuk bertanding, dan mereka dilhat tidak berusaha keras untuk menggerakkan penyokong untuk kempen Azmin dan Hilman.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata bahawa gabungan itu tidak mendedahkan siapa calon menteri besar Selangor mereka kerana dibimbangi kalah.
Sementara itu, PN juga sedang berhadapan dengan konflik dalaman di Batang Kali, dengan bahagian Bersatu Hulu Selangor menolak pilihan calon parti itu.

Terdapat juga rasa kurang senang di kalangan akar umbi PN tempatan di Bukit Malawati kerana calon gabungan itu adalah bekas ketua Pemuda Umno yang baru menyertai PN.

Berdasarkan situasi semasa, PN mungkin akan memenangi sekitar 10 hingga 15 kerusi di Selangor.

Ini adalah peningkatan daripada lima kerusi yang dimiliki PN di Selangor, dengan empat daripadanya dimenangi ketika Bersatu menjadi sebahagian daripada PH pada 2018.

Walaupun PN dijangka mengurangkan jumlah keseluruhan kerusi yang dikuasai PH dan BN di negeri itu, kemungkinan besar ia tidak akan mencukupi untuk menafikan penguasaan gabungan Madani di Selangor.

PN kalah semua kerusi di Negeri Sembilan?

Di Negeri Sembilan, jika corak pengundian PRU ke-15 berterusan, PH dan BN boleh menyapu bersih negeri itu.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa kerusi untuk PN tampil sebagai pemenang, meski dengan peluang yang tipis.

Salah satu daripada kerusi ini ialah Jeram Padang - kerusi campuran dengan lebih 30 peratus pengundi adalah India.

Secara tradisinya, BN diwakili oleh MIC di kawasan itu, tetapi dengan MIC tidak menyertai PRN, seorang calon Umno telah diletakkan untuk mempertahankan kerusi itu.

PN pula meletakkan bekas ahli MIC, Surash Sreenivasan, yang sebelum ini menduduki tempat kedua ketika bertanding sebagai calon bebas pada 2018 di kerusi berkenaan.

MIC telah menyaksikan ahli dan pemimpinnya berpaling tadah kepada PN, yang mungkin memberi manfaat kepada Surash dan membantu meningkatkan bahagian undi pembangkang di kawasan itu daripada 21 peratus yang diterimanya pada PRU15.

Saingan di kerusi Melayu di Pulau Pinang

Di utara Pulau Pinang, pertelingkahan antara Gerakan dan PAS merencatkan kempen PN sedikit sebanyak. Namun gabungan itu masih dijangka akan menembusi negeri itu.

Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata bahawa tiga kerusi majoriti Melayu di Balik Pulau akan menyaksikan pertarungan sengit dengan pemenang hanya meraih majoriti tipis.
Menurut Chow ini termasuk Bayan Lepas, kerusi yang ditandingi Presiden Gerakan Dominic Lau.

Kempen Lau tidak berjalan lancar, dengan PAS tempatan meminggirkannya.

Walaupun kepimpinan PAS pusat telah mengeluarkan arahan untuk membantu Gerakan, sama ada ia akan mendorong penyokong PAS Bayan Lepas untuk keluar mengundi atau tidak masih belum dapat dipastikan.

Sementara itu, PN juga dijangka meraih kemenangan di kerusi majoriti Melayu di kawasan Parlimen Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Permatang Pauh.

Satu lagi faktor yang mungkin menguntungkan PN ialah perbalahan di kalangan DAP Pulau Pinang, terutamanya selepas P Ramasamy dan pengikutnya digugurkan sebagai calon.

Dua daripada rakan rapat Ramasamy bertanding sebagai calon bebas di kerusi DAP.

Faktor Muda-PSM

Bagi Muda dan PSM, kedua-dua parti itu berkemungkinan akan menjadi mangsa sistem first-past-the-post (pemenang undi terbanyak).

Dengan pengundi terpaksa membuat pilihan strategik, Muda dan PSM - yang kebanyakannya bertanding di kerusi PH - tidak mungkin meraih sebarang kemenangan jika pengundi bertekad untuk menghalang PN.

Sebaliknya cabaran utama bagi kedua-dua parti itu ialah sama ada mereka boleh mengekalkan deposit pertandingan atau tidak.

Kedua-dua parti nampaknya tidak mendapat respons yang kuat terhadap usaha kempen dan ceramahnya.

Bagaimanapun, Muda sekurang-kurangnya, dilihat meletakkan sumber yang besar dalam kempen media di media sosial, dan juga slot iklan di stesen radio bandar BFM.

Pengundian untuk enam negeri akan diadakan Sabtu ini.

Laporan oleh B Nantha Kumar, Cha Zhi Ting, Hariz Mohd, Haspaizi Zain, Hoi Jia Xuan, Isabelle Leong, Low Choon Chyuan, Nadjwatul Huda Mohd Zuraidi, Noor Faizal Ghazali, Raveena Nagotra, Wang Ping, Yap Si Err, Zikri Kamarulzaman.

Tuesday, August 8, 2023

PRN 6 negeri: 8 daripada 10 pemerhati politik ramal 3-3

bharian.com.my
Oleh Farah Marshita Abdul Patah dan Fahmy A Rosli
bhnews@bh.com.my
 - Ogos 8, 2023
KUALA LUMPUR: Memasuki minggu kedua kempen, suasana di enam negeri yang terbabit dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin rancak dengan pelbagai aktiviti dalam usaha mendekati pengundi, menggunakan strategi berbeza demi mengukuhkan sokongan untuk calon masing-masing.

Walaupun, ada banyak parti yang menyertai PRN kali ini, pertembungan sebenar hanya membabitkan dua gabungan, iaitu Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Selain ceramah bersifat mega yang menghimpunkan ramai pemimpin utama parti masing-masing di atas satu pentas bagi mengukuhkan lagi pendirian dan sokongan penyokong masing-masing, setiap calon gigih meneruskan usaha bertemu seramai mungkin pengundi sekitar kawasan yang ditandingi, bagi memperkenalkan diri sambil merayu sokongan dan undi khususnya yang masih di atas pagar.

Ketika kebanyakan calon kini sudah melawat lebih 50 peratus daripada kawasan ditandingi, penganalisis dan pemerhati politik mula menganalisis maklumat dan data yang diterima dari lapangan sebelum melontar sebarang pandangan.

BH mendapatkan pandangan 10 pemerhati politik termasuk pensyarah, tokoh media, peguam, bekas menteri untuk meramalkan apa kemungkinan keputusan Sabtu ini, berdasarkan pemerhatian dan analisis masing-masing sejak kempen bermula Sabtu minggu lalu.

Hasilnya, daripada 10 ramalan yang dikumpul, lapan berpendapat PRN ini akan mengekalkan status quo, bermaksud kekal seperti sebelum DUN dibubarkan, iaitu PN akan kekal menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala PH-BN terus berkuasa di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Dr Mohammad Tawfik Yaakub.
Dr Mohammad Tawfik Yaakub
- Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Fakulti Ekonomi Pentadbiran Universiti Malaya (UM),

Ramalan: (PH-BN: 3, PN: 3)

- Saya jangkakan Kedah, Kelantan dan Terengganu kekal didominasi PN, manakala gabungan PH-BN akan terus membentuk kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, namun dengan perkiraan majoriti mudah.

Ia berdasarkan kajian dan temubual di lapangan, termasuk mengambil kira isu-isu semasa, gelombang alternatif, penolakan kerjasama politik antara ahli DAP-PH dengan UMNO-BN.

Jangkaan juga mengambil kira isu dalam parti politik berkenaan yang bertukar menjadi krisis sehingga mewujudkan peralihan sokongan kepada parti politik lain.

Memang benar ada beberapa parti politik berteraskan asas penubuhan kepada corak kaum dan agama seperti BERSATU, PAS dan UMNO, bakal terjejas kerana senjata tradisi untuk meraih undi menerusi 3R (isu berkait agama, kaum dan institusi diraja) dilarang digunakan untuk berkempen.

Namun, ia tidaklah menyebabkan parti berkenaan kesukaran untuk berkempen kerana banyak lagi bahan kempen yang boleh menambat hati rakyat boleh diketengahkan.

Bagi saya, kedua-dua gabungan parti berhadapan krisis politik setempat kerana ada pemimpin parti dan ahli akar umbi kecewa dengan calon diketengahkan kepemimpinan tertinggi. Malah, ada segelintir pemimpin bertindak menentang parti asalnya dengan bertanding sebagai calon BEBAS kerana tidak dicalonkan semula dalam PRN kali ini.
Prof Dr Kartini Aboo Talib.
Prof Dr Kartini Aboo Talib
- Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia

Ramalan: (PH-BN: 3, PN: 3)

- Apa yang pasti PN sedang memberi saingan sengit khususnya di negeri yang majoriti pengundinya Melayu.

Atas faktor itu, saya jangkakan akan berlaku peralihan undi yang ketara daripada BN kepada PN, tetapi bagi kerusi campuran pula, status quo kekal kepada PH.

Isu (dakwaan menghina) institusi Raja dan REE tidak akan meminggirkan PN, malah pendedahan fakta yang sering dikemaskini melalui media sosial, mencabar peluang PH mengekalkan Selangor atau menawan Kedah.

Bahkan, saya berpendapat isu air di Kelantan juga tidak akan mengubah sokongan pengundi negeri itu terhadap PAS-PN kerana rakyat Kelantan mempunyai persepsi bahawa mereka dianaktirikan oleh Kerajaan Pusat.

Sebaliknya, usahawan dari Kelantan di luar Kelantan yang berjaya, sentiasa bersedia menyumbang kembali kepada negeri itu atas semangat anak negeri.

Isu 3R juga bukan isu utama kerana isu perut lebih diutamakan pengundi. Bagaimana mengurus kos hidup yang tinggi dan menekan kehidupan harian rakyat dapat diatasi dalam kemelut inflasi dan kejatuhan nilai ringgit.

Rakyat Malaysia mempunyai literasi politik yang tinggi dan lebih matang. Mereka faham manifesto bersifat 'non legal binding'. Janji politik belum tentu tertunai. Buat masa ini bagi pengundi tegar keputusan memilih siapa dan parti mana telah terpahat dalam hati dan minda mereka. Hanya tinggal pengundi atas pagar saja yang belum pasti.
Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian.
Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian
- Pensyarah Sosiologi Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM

Ramalan: (PH-BN: 3, PN: 3)

Jika dilihat isu di Selangor berkait kestabilan ekonomi kerana di antara negeri pesat membangun tetapi kini ada sebahagian bermain dengan sentimen yang keterlaluan, sebagaimana yang kita lihat di Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Seandainya pengundi yang rasional dan praktikal, ia akan menjadi kayu ukur berbanding dengan pengundi yang melihat sentimen atau emosi.

Jika ada yang melihat mahukan hubungan baik negeri dan pusat, barangkali dasar dan inisiatif ini penting untuk kesejahteraan masyarakat.

Bagaimanapun, keputusan pilihan raya di enam negeri itu nanti banyak bergantung pada peratusan keluar undi.

Persoalannya siapakah kelompok yang akan keluar mengundi nanti? Dalam masa sama, saya juga tidak menolak kemungkinan berlaku undi rosak mahupun protes pengundi atas pagar.

Cabaran sebenar adalah untuk meningkatkan peratusan pengundi keluar apabila ada yang selesa dengan pembentukan kerajaan di Pusat sudah selesai dan melihat tidak perlu undi lagi.

Ada yang barangkali sengaja merosakkan undi atau protes serta pengundi atas pagar yang semakin membesar sejak 2018.

Cabaran lain adalah memastikan calon memahami aspirasi kawasan setempat.
Dr Abdul Aziz Azizam.
Dr Abdul Aziz Azizam
- Pensyarah Kanan Komunikasi Liberal Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM

Ramalan: (PH-BN: 3, PN: 3)

Saya boleh katakan, tiga negeri kekal dimiliki PN, manakala tiga lagi negeri dimiliki PH-BN. Pun begitu, dalam membuktikan keberkesanan gabungan PH dan BN, mereka perlu menambah satu lagi negeri daripada tiga negeri yang sedia.

Ini bagi membuktikan kesan positif bahawa mereka mendapat sokongan dan segala program serta kempen yang dijalankan memberi impak yang baik.

Cukup untuk melihat reaksi masyarakat terhadap keyakinan mereka kepada kerajaan semasa. Ini kerana, keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Kerajaan Pusat boleh diukur pada satu indikator yang bersifat dikotomi.

Ia bermaksud jika rakyat yakin pada Kerajaan Pusat hari ini, maka mereka akan memilih parti kerajaan pada hari mengundi kelak. Jika rakyat tidak yakin pada kerajaan yang ada hari ini, mereka akan memilih selain daripada parti kerajaan.

Ia didukung bagaimana Kerajaan Pusat pada hari ini mengendalikan isu akar umbi dan tahap keselesaan rakyat terhadapnya. Apabila rakyat yakin dan selesa dengan kerajaan semasa, maka rakyat berkemungkinan akan memilih parti kerajaan. Namun, jika cara dan kaedah pengendalian ini tidak memberi rasa selesa kepada masyarakat, maka mereka akan memilih yang lain.
Prof Wong Chin Huat.
Prof Wong Chin Huat
- Pensyarah Sains Politik Institut Asia Tenggara Jeffrey Cheah Universiti Sunway

Ramalan: (PH-BN: 3, PN: 3)

Keputusan pada PRN nanti bergantung kepada kadar peratusan keluar mengundi. Kalau angin 'Parti Aku Malas Undi' (PAMU) kencang yakni kadar mengundi rendah, maka keputusan boleh ke mana-mana arah.

Kalau kadar mengundi tidak terlalu rendah berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), parti yang menyandang enam negeri, nampaknya tidak akan berubah.

Faktor yang mempengaruhi situasi itu bergantung pada kuasa PAMU yang dilihat semakin membesar. Istilah itu merujuk jenis pengundi yang celik politik dan membuat keputusan mengundi mengikut 'gerak hati' serta mereka yang tidak berminat langsung tentang politik dan kumpulan itu menjadi penentu kadar peratusan keluar mengundi pada 12 Ogos ini.

Parti-parti utama hari Ini gagal bersikap jujur mengenai evolusi politik tanah air yang tidak lagi berdasarkan dua khemah besar dan penjajaran baharu akan berterusan sungguhpun bukan serta-merta.

Mereka menyerang sekutu lama seolah-olah mereka dahulu tidak pernah bersama. Penjajaran seharusnya mengurangkan permusuhan di antara semua parti kerana semua parti mungkin menjadi sekutu baharu suatu hari nanti.

Tanpa bersikap lebih jujur dan objektif mengenai perubahan Ini, ahli-ahli politik yang terlalu lantang menyerang berbau munafik dan menyinggung kecerdikan pengundi yang bijak menilai
Datuk Dr Jeniri Amir.
Datuk Dr Jeniri Amir
- Felo Kanan Majlis Profesor Negara

Ramalan: (PH-BN: 2, PN: 4)

Berdasarkan sentimen akar umbi yang kita dapat lihat menerusi media sosial dan kedai kopi terutama bagi pengundi Melayu, ada kecenderungan untuk mereka memihak kepada PN.

Saya fikir ini adalah susulan isu-isu berkaitan dengan 3R. Jadi mereka fikir PN ini khususnya PAS dapat memperjuangkan isu dan kepentingan berkaitan dengan agama, bangsa dan institusi diraja.

Ia di sebalik masalah yang membelenggu negara berkaitan inflasi dan juga kos sara hidup, walaupun hakikatnya kerajaan telah berupaya untuk tangani isu berkaitan inflasi berdasarkan rekod beberapa bulan lalu.

Jadi persaingan sebenarnya berebut untuk menakluki hati pengundi Melayu kerana yang jelas saya fikir, berdasarkan apa yang berlaku di bawah, pengundi Cina dan India pada amnya cenderung pada PH.

Negeri sekarang di bawah PAS iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu akan terus di bawah parti itu. Saya juga jangkakan Pulau Pinang akan terus ditakluki oleh PH walaupun jumlah kerusi DUN akan berkurangan.

Di Selangor, saya fikir persaingan memang sengit dan saya percaya masih memihak kepada PH. Bagi Negeri Sembilan, mungkin PN akan dapat kuasai negeri itu, kalau PN dapat tingkatkan jumlah pengundi Melayu ke paras yang tinggi, ini akan menimbulkan masalah kepada PH.

Jadi, jumlah peratusan keluar mengundi nanti akan memberi kesan tentang bagaimana keputusan pada 12 Ogos nanti.
Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin
- Pengacara Podcast Keluar Sekejap yang juga Bekas Ketua Pemuda UMNO,

Ramalan: (PH-BN: 3, PN: 3)

Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan kekal menjadi milik Pakatan Harapan (PH). Pulau Pinang adalah kerusi selamat untuk PH, memandangkan ia dikuasai masyarakat Cina.

Negeri Sembilan dijangka kekal dalam tangan PH, berikutan UMNO negeri itu banyak membantu dan agak kuat, selain PN sendiri tidak mempunyai 'poster boy'.

Selangor juga dijangka kekal di tangan PH kerana ramai pengundi bukan Melayu yang akan keluar untuk membantu dan menyelamatkan PH. Selain itu, prestasi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari agak bagus.

Bagaimanapun, Kedah, Kelantan dan Terengganu adalah kubu kuat PAS dan "mood" masyarakat Melayu tidak memihak kepada PH.

Walaupun Pulau Pinang adalah kubu kuat PH, namun kerusi PN di sebelah Seberang Perai dijangka akan bertambah, begitu juga dengan Selangor.
Datuk M Reza Hassan.
Datuk M Reza Hassan
- Peguam Kanan

Ramalan: (PH-BN: 3, PN: 3)

Saya percaya semua enam negeri akan mengekalkan status quo masing-masing pada PRN kali ini, tetapi PN mungkin menambah beberapa kerusi di Selangor.

Polemik perkauman yang digunakan kedua-dua pihak akan menyebabkan pengundi lebih cenderung untuk membuang undi mengikut kaum.

Sepatutnya calon dan parti politik memberi tumpuan kepada apa yang boleh dilakukan kepada rakyat, namun sebaliknya mereka terjerumus ke dalam jurang yang mengutuk antara satu sama lain dan melakukan serangan bersifat peribadi.

Tindakan ini adalah tidak sihat untuk perkembangan politik dan kestabilan negara kerana ia hanya akan memecah belahkan rakyat yang selama ini hidup bersatu padu.
Datuk Yong Soo Heong.
Datuk Yong Soo Heong.
Bekas Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Yong Soo Heong

Ramalan : (PH-BN: 4, PN: 2)

Empat negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah berkemungkinan menjadi milik PH. Walaupun ada pertelingkahan dalaman yang kecil, namun Pulau Pinang masih kerusi selamat kepada PH.

Bagaimanapun persaingan sengit dijangka dapat di lihat di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan. Semuanya bergantung kepada apa yang pengundi ingin lihat dalam kehidupan mereka setiap hari.

PRN enam negeri kali ini adalah penting untuk masa depan Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang dan seterusnya.

Sebagai seorang dari era sebelum dan selepas Merdeka yang sudah menyaksikan keharmonian hubungan antara kaum, saya percaya usaha Kerajaan Perpaduan membina negara lebih bersatu adalah perkara terbaik untuk rakyat Malaysia yang berfikiran progresif.
Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir.
Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir
Peguam

Ramalan: PH-BN: 3, PN: 3)

Saya meramalkan PN akan kekal mengetuai pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan kekal di bawah PH.

Gelombang Hijau masih mempunyai pengaruh yang ketara di Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala bagi pengundi Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang sudah biasa dengan parti di bawah PH, rata-rata pengundi matang lebih selesa untuk tidak memberi undi mereka kepada parti berteras gelombang hijau.

Selangor walaupun ketika ini dikuasai PH, namun ia mungkin menjadi negeri bakal memberi suatu 'upset', sekiranya PN pandai mengolah strategi kempen pilihan raya.

Bagaimanapun, setakat ini tidak wujud kempen oleh mana-mana parti lain yang begitu berkesan sehinggakan mampu mencipta suatu 'upset' dalam PRN ini.

Monday, August 7, 2023

ULASAN | Orang politik tak hirau nasihat Agong jaga adab, bicara

malaysiakini.com
Atriza Umar
Diterbitkan: Aug 7, 2023 8:00 PM
ULASAN | Masihkah kita ingat bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ulama dan tokoh agama sebelum ini berulang kali mengingatkan orang politik supaya menjaga adab, bicara dan lidah ketika berkempen?

Namun, nasihat yang diberikan itu seakan 'masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.’

Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu semakin mendekat.

Menjelang tarikh ‘pesta demokrasi’ itu berlangsung, setiap calon, parti yang bertanding gigih turun ke lapangan untuk berkempen dan mendekati para pengundi.

Tidak terkecuali, media sosial turut diperhangatkan dengan bahan-bahan kempen memperkenalkan calon-calon yang bertanding.

Paling banyak keluar dalam layar ‘muka buku’ ialah berkaitan biodata calon.

Setiap pengundi yang belum mengenali siapakah calon wakil rakyat mereka, tentunya ingin mengenali latar belakang calon agar dapat membuat pilihan yang terbaik.

Sentimen 3R

Parti yang bertanding berusaha ingin calonnya menang dalam pilihan raya. Namun, masih terdapat lagi segelintir calon dan ahli-ahli mahupun pimpinannya tidak mengamalkan politik yang matang.

Apa tidaknya, sikit-sikit akan mengaitkan sesuatu yang tidak sewajarnya terhadap parti lawan.

Sedarkah kita, antara tonggak utama dalam amalan demokrasi adalah dengan meraikan perbezaan?

Malah, berbeza pendapat dianggap sebagai hak yang harus sentiasa diraikan.

Sebab itu, ia antara komponen yang penting dalam perjalanan demokrasi sesebuah negara selain pilihan raya.

Namun, sangat berbeza dengan situasi politik di negara ini sewaktu berkempen.

Sesetengah calon, ahli mahupun pemimpinnya, masih menggunakan sentimen yang tidak sewajarnya iaitu 3R iaitu kaum (race), agama (religion) dan institusi diraja (royal) semata-mata untuk meraih sokongan para pengundi.

Hakikatnya, perkara itu tidak wajar kerana ia akan mencetuskan suasana yang tidak harmoni mahupun sejahtera.

Barangkali amalan demokrasi setiap kali pilihan raya diadakan ini masih belum difahami oleh semua peringkat terutamanya pucuk pimpinan parti, calon, ahli dan masyarakat.

Apa tidaknya, walaupun berkempen adalah sebahagian daripada proses demokrasi itu, namun masih wujud perbuatan saling mencela, menghina, mengutuk dan memburukkan pesaing.

Perbuatan ini amat bertentangan dengan seruan supaya semua parti serta calon berkempen secara berhemah dan beradab, bahkan ia amat bertentangan dengan ajaran Islam serta kepercayaan lain.

Kematangan politik Indonesia

Memetik kata-kata Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis, mungkin kita harus mencontohi Indonesia.

“Satu ketika dahulu kita jauh meninggalkan mereka dari segenap sudut.

Namun, Indonesia semakin dekat mengejar kita. Lihatlah bagaimana laporan Bank Dunia 2019 terhadap Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang berkembang sekitar 5.1 peratus berbanding Malaysia (4.6 peratus).”

Tambahnya lagi, KDNK itu berkembang walaupun ranking Indeks Daya Saing Global (GCI) World Economic Forum (WEF) 2019 meletakkan Malaysia di tangga ke-27 berbanding Indonesia (50).
“Apakah semua itu berlaku dengan secara tiba-tiba? Jawapannya sudah tentu tidak. Hal itu terjadi disebabkan adanya kematangan politik dan perasaan mendahulukan negara dalam setiap perkara,” ujarnya.

Indonesia pasca-Orde Baharu telah menukar cara berpolitik negara itu kepada yang lebih matang dan terbuka.

“Perubahan drastik sistem pemerintahan dan pendekatan baharu menggantikan cara lama mengubah hala tuju politik negara itu yang sinonim dengan amalan korupsi, kronisme dan nepotisme (KKN) kepada ketelusan dan keberhasilan.”

Dalam pada itu, tentunya semua itu berlaku kerana amalan politik yang matang dan budiman. Politik Indonesia selepas era reformasi berjaya membentuk nuansa baharu yang melihat politik sebagai medan membaiki negara.

Disebabkan itulah kita dapat menyaksikan peningkatan ketara dalam politik Indonesia hasil daripada perubahan itu.

Malaysia yang lebih baik

Terdahulu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengingatkan semua pihak yang berkempen supaya menjaga adab dan tata susila sepanjang berkempen.

Begitu juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Dr Mohd Na'im Mokhtar turut memberikan peringatan yang sama meminta calon PRN di enam negeri menjaga adab dan mengelak menghina orang lain ketika berkempen, termasuk menjauhkan perbuatan memfitnah apatah lagi tingkah laku yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Perlu disedari oleh setiap parti, calon dan jentera kempen, pilihan raya bukanlah medan memaki hamun, memburukkan orang lain dengan memfitnah.

Sebaliknya, ia adalah pentas untuk ‘mempromosikan’ calon dan parti dengan sesuatu tawaran yang baik dan menarik, agar rakyat memberi percaya untuk mengundi mereka, selain menerangkan perancangan ekonomi dan hal berkaitan kebajikan rakyat.

Dengan kata lain, pilihan raya adalah ruang untuk memberikan kefahaman yang jelas hasrat calon dan parti, apakah yang ingin dipersembahkan mereka bagi melihat kawasan yang ditandinginya lebih menyerlah daripada biasa, jika mereka menang nanti.

Justeru, kita sebagai rakyat khususnya calon yang bertanding seharusnya mengambil pedoman agar melaksanakan politik matang bagi merealisasikan negara Malaysia yang lebih baik.

Antaranya ketika berkempen, ceramah politik menyampaikan hasrat dan sasaran yang ingin dicapai jika menjadi calon yang menang di sesuatu kawasan tersebut, selain menghentikan budaya menghina, memfitnah dan memperlekehkan calon semata-mata unsur kebencian atau saingan.

Tinggalkanlah segala amalan buruk yang tidak memberi manfaat kepada parti dan pengundi.

ATRIZA UMAR ialah pegawai Jabatan Komunikasi dan Media, Pertubuhan Ikram Malaysia.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Kerajaan BN-PH tetap utuh tak kira apa pun keputusan PRN: Tok Mat

ismaweb.net
Ainul Illia

Mahu Negeri Sembilan diwakili parti sama dengan pentadbiran Persekutuan
SEREMBAN, 20 Muharam 1445H, Isnin – Kerajaan Madani Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan akan kekal utuh tanpa mengira keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam negeri.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan hakikat bahawa pentadbiran Persekutuan menguasai dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat membabitkan sokongan 148 Ahli Parlimen daripada 19 parti yang sealiran.

“Kerajaan Persekutuan sudah pun dibentuk (sebelum enam negeri pergi mengundi). Apa pun yang berlaku (keputusan pilihan raya negeri), ia tidak akan menjejaskan (kestabilan) kerajaan Pusat.

“Kerajaan Pusat dibentuk dengan majoriti dua pertiga berikutan sokongan 148 Ahli Parlimen,” katanya ketika berdialog dengan penduduk kampung di Kampung Bemban.

Klip petikan dialog itu dikongsikan oleh pasukan jentera pilihan rayanya bagi kerusi DUN Rantau.

Walaupun keputusan pengundian tidak akan menjejaskan kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, adalah lebih baik jika kerajaan Negeri Sembilan yang dibentuk selepas PRN diwakili parti yang sama dengan pentadbiran Persekutuan.

“Contohnya di Negeri Sembilan, negeri kita kecil dan hasil kita tidak seberapa (berbanding negeri kuasa ekonomi lain).

“Jika kita tidak bersama pentadbiran persekutuan (jika negeri ditadbir parti lawan), negeri tidak mungkin menikmati limpahan daripada program pembangunan (yang dilaksanakan di peringkat nasional).

“Untuk memberi gambaran kepada anda semua, ia akan menelan belanja RM300 juta untuk membina hospital berbanding hasil yang dijana negeri setiap tahun iaitu RM430 juta. Sebab itu ada negeri yang ditadbir parti yang sama selama 33 tahun.. tetapi negeri ini menghadapi masalah berkaitan bekalan air,” kata Mohamad.

Walaupun tidak menamakan negeri itu, difahamkan beliau merujuk kepada Kelantan yang turut terlibat dalam pilihan raya.

Selain Negeri Sembilan dan Kelantan, pilihan raya negeri itu turut melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Sunday, August 6, 2023

Gelombang ahli UMNO keluar parti tidak akan berhenti: Nik Zawawi

agendaily.com
06/08/2023
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Datuk Dr Ustaz Nik Zawawi Salleh menjangkakan lebih ramai ahli-ahli UMNO akan meninggalkan parti itu dalam masa yang terdekat.

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkata pengumuman langkah keluar parti yang berlaku di Ketereh baru-baru ini hanya permulaan dan gelombang tersebut tidak akan berhenti, malah akan berjangkit ke kawasan lain selepas ini.

“Gua Musang sebelum ini adalah kawasan yang tidak pernah dimenangi oleh parti pembangkang daripada dulu sampai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tetap menjadi milik UMNO-Barisan Nasional (BN).

“Kali pertama Tengku Razaleigh Hamzah gagal tewas di Parlimen itu dan menyebabkan di Kelantan tiada lagi Parlimen dikuasa parti itu. Di sana gerakan mengumpul seramai mungkin ahli baru untuk menyertai PN sama ada masuk Pas atau Bersatu dijangkakan berlaku begitu ramai,” katanya ketika Ceramah Kelompok Jelajah Selangor Baharu di Flat PKNS, Seksyen 7, di sini, malam tadi.

Nik Zawawi berkata perkara berkenaan dijangka diumumkan oleh bekas pemimpin UMNO yang kini bersama-sama Bersatu, iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ceramah malam tadi turut dihadiri calon PN DUN Batu Tiga, Datuk Seri Rina Harun dan calon DUN Kota Anggerik, Sukri Omar.

Tambah Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu, apa yang diusahakan oleh Perikatan Nasional (PN) adalah demi rakyat dan memastikan aset-aset negara tidak disalah guna.

Sementara itu, Zawawi membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sering kali melaungkan perjuangan kerajaan di bawah pimpinannya untuk memasmi kemiskinan tegar.

Namun beliau mendakwa setelah lapan bulan berlalu sehingga kini tiada hasil untuk membantu rakyat keluar daripada garis kemiskinan, khususnya di Kota Anggerik.

“Ketika pembentangan Bajet 2023 dia kata dia akan pastikan akan noktahkan kemiskinan tahun ini juga.

“Kita sudah masuk Ogos baki empat bulan lagi untuk 2024, ucapan belanjawan sudah hampir lapan bulan tetapi di DUN Kota Anggerik apa tindakan kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan, saudara nampak tak? Nak cakap senang, nak buat yang susah,” ujarnya.

PRN uji penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan

bharian.com.my
Oleh Prof Datuk Dr Jayum Jawan 
bhrencana@bh.com.my
- Ogos 6, 2023 @ 10:00am
 Foto hiasan

Apa ada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan apa kaitannya dengan perjalanan politik Malaysia. Hakikatnya, PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 12 Ogos ini amat penting kerana beberapa faktor.

l Pertama, PRN akan menguji kelangsungan Kerajaan Perpaduan di negeri terbabit dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kerjasama Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

l Kedua, pola pengundian orang Melayu di Semenanjung akan menjadi lebih nyata pada PRN nanti selepas berlaku kalih undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) khasnya kepada Perikatan Nasional (PN) dianggotai BERSATU, PAS dan GERAKAN.

Persoalan berbangkit ialah sama ada pola itu akan kekal seperti PRU15 atau berubah. Sekiranya berubah, siapakah akan mendapat kelebihan daripada sokongan Melayu selepas PRN kelak.

l Ketiga, apakah peluang UMNO untuk bangkit semula sebagai parti utama Melayu seperti PRU atau PRN sebelum ini di bawah kepemimpinan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

l Keempat, sejauh manakah 'gelombang hijau' atau PAS dapat bertahan atau mampu mengembangkan tarikannya ke negeri Melayu lain seperti Kedah yang mempunyai penduduk Melayu majoriti, lebih kurang 75 peratus daripada populasinya.

Sebelum ini, PAS mampu menguasai Kelantan dan Terengganu apabila parti berkenaan menang dengan majoriti sendiri. Di Kedah, PAS memimpin dengan sokongan BERSATU selepas menjadi parti memenangi kerusi DUN dengan jumlah terbesar pada PRU14.

PH-BN kini masing-masing menguasai Selangor dan Negeri Sembilan. Berbeza dengan PAS, PH-BN tidak menguasai negeri terbabit dengan majoriti sendiri, tetapi menerusi lambakan sokongan kerusi rakan komponen mereka.

Di Selangor PKR berkuasa kerana sokongan DAP dan di Negeri Sembilan, PH semakin utuh selepas UMNO bekerjasama dengan mereka. Justeru, beberapa persoalan boleh terjawab berdasarkan persediaan parti bertanding dalam PRN tanpa perlu menunggu keputusan PRN nanti.

Pertama, UMNO dilihat tidak mampu untuk bangkit semula sebagai parti dominan Melayu seperti sebelum PRU 2018. UMNO perlu menerima sejumlah kerusi diperuntukkan kepadanya untuk ditandingi pada PRN ini. Maka, UMNO dilihat hanya mampu bertahan kuasa di Negeri Sembilan dan tidak ada peluang langsung untuk bangkit semula di Selangor dan Kedah.

Di Selangor, jumlah kerusi ditandingi UMNO tidak mencukupi untuk mengembalikannya menawan semula Selangor seandainya parti mampu menang semua 12 kerusi ditandinginya. Soalnya, mampukah UMNO.

Oleh itu, UMNO tidak berpeluang mencalonkan pemimpin mereka sebagai Menteri Besar kelak. Begitu juga negeri lain kerana pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan memihak kepada jumlah kerusi sedia ada dimenangi parti asal dan perlu dipertahankan pada PRN nanti.

UMNO perlu tanding solo

Justeru, sekiranya UMNO mahu bangkit semula dan menguji kebolehan Ahmad Zahid untuk membawa kembali keagungan lampau UMNO, parti itu perlu keluar daripada blok Kerajaan Perpaduan dan bertanding atas nama parti sendiri, berlawan sendiri di semua kerusi DUN dalam enam negeri terbabit.

Di Selangor, kemungkinan PKR kembali semula memerintah adalah cerah dengan sokongan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH). Umumnya, DAP dijangka akan kekal menguasai DUN dimenangi pada PRU14 dan sebelumnya. Keadaan ini juga bakal berlaku di Pulau Penang.

Namun, peluang untuk PH-BN menawan Terengganu, Kelantan bahkan di Kedah juga amat tipis. BERSATU dan PAS memiliki kekuatan secara bersama untuk menarik sokongan tidak kurang separuh pengundi Melayu.

Tidak dapat dinafikan, sebahagian besar masyarakat Melayu bersama BERSATU dan PAS ketika ini. PRN nanti akan menentukan sama ada sokongan ini berkekalan atau sebaliknya.

Keputusan PRN nanti bukan sahaja penting untuk blok parti mana sama ada PH-BN atau PN mampu menubuhkan kerajaan negeri, bahkan ia akan menentukan keutuhan dan kelangsungan Kerajaan Perpaduan dan kepemimpinan Anwar.

Sekiranya Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang kekal di bawah PH-BN, maka Kerajaan Perpaduan akan terus hidup sehingga tamat tempoh penggal empat tahun lagi. Gagal mempertahankan satu atau dua negeri terbabit, maka kelangsungan Kerajaan Perpaduan akan 'dihitung hari' sahaja.

Sekiranya, PH-BN mampu menawan Kedah, ia sudah cukup menjadi tanda sokongan pengundi Melayu kepada Kerajaan Perpaduan serta Anwar memihak kepada mereka.

Keputusan PRN jadi petunjuk

Keputusan PRN nanti bakal menjadi petunjuk pengundi Melayu nanti mengundi bukan untuk calon ditampilkan PKR, UMNO, BERSATU dan PAS sebaliknya mengundi untuk Anwar, Ahmad Zahid, Muhyiddin atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS.

Boleh dikatakan PRN kali ini menunjukkan calon muka baharu ditampilkan parti tidak memiliki tarikan, tiada rekod untuk dijadikan panduan bagi menarik pengundi serta tiada pengalaman menunjukkan mereka layak menjadi wakil rakyat atau EXCO negeri.

Oleh itu, menang atau kalah calon muka baharu akan menjadi pedoman bahawa pengundi menerima atau menolak Anwar, Ahmad Zahid, Muhyiddin atau Abdul Hadi.

Pengundi dijangka tidak akan peduli, menilai atau memberi peluang kepada orang baharu seperti dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang masih tiada pengalaman dan rekod untuk dinilai, sama ada berasaskan parti atau pemimpin utama parti berkenaan.

Friday, August 4, 2023

‘Saya harap tidak ada permohonan maaf ketiga daripada PAS’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 4, 2023 12:03 PM
Seorang pemimpin Gerakan Pulau Pinang mengalu-alukan permohonan maaf PAS kepada parti rakannya dalam gabungan PN berikutan insiden presidennya Dominic Lau dihalang dan dihalau dari majlis ceramah di Tasek Gelugor, Rabu lalu.

Pengerusi Gerakan Bahagian Tanjong, H'ng Khoon Leng dalam satu kenyataan berkata dia turut berharap agar kejadian serupa tidak berulang.

“Ini kali kedua PAS memohon maaf kepada Gerakan. Kali pertama secara dalaman atas sebab yang hampir serupa.
H'ng Khoon Leng
“Setahu saya, PAS tidak pernah memohon maaf kepada parti lain sebelum ini. Pimpinan parti perlu membuat semakan selepas pilihan raya negeri bagi menyelesaikan masalah disiplin ini.

"Dan saya harap tidak akan ada permohonan maaf ketiga," kata H'ng, yang juga calon PN bagi kerusi DUN Padang Kota.

Menurutnya, pendekatan “rendah hati dan diplomatik” pemimpin Gerakan untuk mencapai matlamat politik parti tidak seharusnya dianggap sebagai kelemahan yang boleh dipijak.

"Kami mahukan keputusan untuk rakyat Malaysia, bukan pertengkaran antara satu sama lain mengenai peruntukan kerusi, mengenai perbezaan pendapat mengenai isu asas, dan mengenai perbezaan ideologi."
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, mengemukakan permohonan maaf kepada parti rakannya itu.

Dalam kenyataan lewat malam tadi Takiyuddin berkata Lau sepatutnya disambut baik dan diberikan penghargaan sebagai tetamu parti sesuai dengan akhlak Islam.

Rasa tidak puas hati PAS Pulau Pinang terhadap Lau bermula sejak menjelang hari penamaan calon apabila namanya dikaitkan dengan beberapa kerusi DUN yang merupakan kawasan majoriti Melayu.

Malah, sebelum hari penamaan calon, ada di kalangan ahli PAS Bayan Lepas yang mengugut untuk memboikotnya.
Bagaimanapun akhirnya kepemimpinan tertinggi PN tetap meletakkan Lau di kerusi yang disebut-sebut sepatutnya ditandingi Setiausaha Perhubungan PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim.

Rasa tidak puas hati itu memuncak apabila Lau dihalau dari menghampiri pentas ceramah di Tasek Gelugor pada Rabu lalu walaupun sebelum itu dia ditemani Naib Presiden PAS Idris Ahmad.

Iszuree sendiri 'menghalau' Lau dari situ atas alasan dia tidak diundang.

Walaupun begitu Lau meredakan keadaan dengan menganggap dia sebenarnya tidak dihalau oleh PAS negeri terbabit sebaliknya hanya kesilapan teknikal apabila dia mahu bertemu serta berbincang dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-