Diterbitkan: Jun 20, 2023 12:03 PM
Mengandaikan parti politik seperti sebuah kenderaan, Annuar Musa terus mengkritik kepimpinan Umno yang disifatkannya mutakhir ini dikendalikan oleh pemandu yang "mabuk ketum".
Bercakap mengenai 'pengkhianatan' pemimpin Umno terhadap kerjasama dengan PAS sebelum ini, Annuar berkata, dia tidak ada masalah apabila dipecat daripada parti itu.
"Boleh buang ambo (saya), buang ambo takda masalah sebab pegangan ambo parti politik itu adalah (macam) kenderaan.
"Tiap-tiap kenderaan kena ada pemandu, kenderaan ini buatan manusia, pemandu itu manusia. Pada ambo yang penting adalah stesen, kita orang Islam stesen itu penting bukan kenderaan dan pemandunya saja.
"Adik, kakak dah lama pilih kenderaan PAS, ambo pilih kenderaan Umno.
"Pada ambo kesemuanya kenderaan, tetapi kenderaan PAS pergi sampai ke stesen tidak tergelincir, lurus sokmo. Umno pula lurus juga, kemudian akhir-akhir ini boleh pemandu mabuk ketum. Kereta sama tapi pemandu jenis bengon tak sampai ke stesen," katanya.
Annuar berkata demikian semasa berucap dalam program Jelajah Ceramah Pakat Pertahan Kelantan di Pasir Puteh, malam tadi.
Bekas ahli Parlimen Ketereh dan setiausaha agung BN itu berkata Umno sepatutnya memperjuangkan dan menegakkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam, serta mengepalai penyatuan ummah bertepatan dengan namanya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.
Bincang agihan kerusi
Kini menjadi ahli PAS secara rasmi, Annuar turut membuat dakwaan yang didakwanya menjadi punca perpecahan kerjasama di antara Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.
Kata Annuar, PAS tidak tidak pernah menimbulkan masalah sepanjang parti itu bekerjasama dengan Umno dalam membentuk kerajaan sebelum ini.
"Kalau tidak biasa kerja dengan PAS, orang kata macam-macam, PAS susah untuk kerjasama. Namun apabila duduk sekali, pemimpin parti ini sangat mudah untuk berbincang dan buat kerja.
"Sangat jauh perbezaan dalam muafakat antara Umno dan PAS, PAS boleh Umno. Umno kata nak buat perhimpunan di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra), okay.
"Umno kata ini draf nak dibuat perbincangan bersama, PAS ambil baik sikit-sikit, okay. Nak buat sekreatariat dalam bangunan Umno, okay.
"Semasa nak tubuhkan kerajaan orang lain masing-masing tanya jawatan apa, Tok Guru Haji Hadi (Abdul Hadi Awang) awal-awal lagi bagi tahu dia tidak mahu jawatan dalam kabinet walaupun dia presiden PAS," katanya.
Annuar yang pernah dilantik sebagai pengerusi Umno Kelantan dalam usaha BN merampas negeri itu dari PAS berkata, dalam perbincangan kerusi untuk menghadapi PRU ke-15 lalu juga tidak timbul masalah berbanding berbincang sesama Umno sendiri.
"Bersatu kata, Umno ambillah kerusi paling banyak sebab Umno parti besar dan kena runding dengan PAS sebab parti ini ada 18 kerusi (Parlimen). PAS tak minta 50, 60 kerusi pun.
"PAS kata yang mana parti itu menang, dia akan bertanding, kalau kerusi Umno menang, Umno akan tanding.
"Jika kerusi Umno dan PAS kalah, tapi undian banyak kepada Umno, maka Umno yang akan tanding di lokasi itu, dan sebaliknya jika banyak undian kepada PAS, maka PAS akan bertanding di kerusi itu, manakala baki, Umno dan PAS akan berbincang agihan kerusi.
"Mudah untuk berbincang dengan PAS. Saya bagi tahu Umno jika mengikut formula ini, Umno ada peluang untuk bertanding antara 65 ke 85 kerusi, PAS antara 25 hingga 35 kerusi dan Bersatu pula antara 40 hingga 45 kerusi.
"Daripada 140 kerusi majoriti orang Melayu dan Islam, kita yakin boleh menang semua kalau kita tidak berpecah-belah," katanya.
Akhirnya dakwa Annuar, bukan setakat perjanjian tidak dihormati Umno, malah fitnah pula direka mengatakan PAS belot.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.