Monday, June 5, 2023

Gabungan Mahathir-Muhyiddin tingkat peluang PN dalam PRN, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Elill Easwaran
05 Jun 2023

Azmi Hassan berkata status quo boleh berubah jika Perikatan Nasional dan Dr Mahathir Mohamed dapat menarik pengundi Melayu di negeri dikuasai Pakatan Harapan.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamed dan Muhyiddin Yassin mungkin bergandingan sekali lagi untuk PRN di enam negeri walaupun pernah bertelagah susulan ‘Langkah Sheraton’ tiga tahun lalu. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Peluang Perikatan Nasional (PN) dalam PRN akan datang lebih cerah jika pengerusinya Muhyiddin Yassin bergabung dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menarik pengundi Melayu, kata seorang penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata PN boleh memanfaatkan Mahathir, yang memperjuangkan “untuk terus memelihara” kepentingan Melayu, bagi menarik lebih ramai pengundi Melayu.

PN sebelum ini mendakwa ia memperoleh 54% undi Melayu pada PRU lalu.

“Inilah sebabnya Muhyiddin dan Mahathir sanggup melupakan apa yang berlaku semasa ‘Langkah Sheraton’,” katanya kepada FMT, merujuk kepada himpunan yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu diketuai oleh Mahathir, pada 2020.

Mahathir yang juga bekas pengerusi Bersatu kemudiannya berkata beliau rasa “sangat dikhianati” dengan tindakan Muhyiddin membawa keluar Bersatu daripada PH bagi membentuk kerajaan baharu dengan pihak lain, malah menggelarkan Muhyiddin sebagai “pengkhianat”.

Azmi berkata pakatan antara dua bekas perdana menteri itu boleh menjejaskan peluang kerajaan perpaduan pada PRN.

“Jika PN, dengan Mahathir, boleh menarik pengundi Melayu di negeri PH, maka mungkin status quo akan berubah.”

Keputusan Mahathir untuk bergabung dengan PN juga boleh menyebabkan Pejuang, parti yang diketuai oleh anaknya Mukhriz Mahathir, diterima masuk ke dalam pakatan pembangkang.

Pada Khamis, Mahathir dilaporkan berkata, beliau bersedia untuk bekerjasama dengan Muhyiddin sekali lagi, dengan syarat mereka boleh mencapai kata sepakat mengenai objektif bersama mereka.

Sehari kemudian, Muhyiddin berkata beliau bersedia bekerjasama dengan Mahathir demi “bangsa, agama dan negara”, sambil menambah bahawa masyarakat Melayu-Islam di Malaysia berada di ‘persimpangan getir’ berikutan perkembangan politik baru-baru ini.

Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir, berkata Mahathir mencadangkan kerjasama dengan PN kerana dia tidak mempunyai pilihan lain dan ingin menjadikan dirinya relevan sekali lagi.

“Tanpa kerjasama dengan PN, beliau langsung tidak mempunyai pengaruh kerana reputasinya telah tercalar,” kata Jeniri.

Mahathir gagal mempertahankan kerusi Langkawinya pada PRU lalu, malah hilang deposit.

Jeniri berkata PN boleh meningkatkan sedikit sokongannya melalui kerjasama dengan Mahathir. Bagaimanapun, impak Mahathir tidak akan begitu ketara seperti pada pilihan raya 2018. Senario itu berubah selepas “Langkah Sheraton”, katanya.

“Mungkin ia sedikit sebanyak akan memperkukuhkan kedudukan PN di negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan, tetapi tidak di Pulau Pinang,” kata Jeniri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-