Monday, June 12, 2023

Keputusan KDN lulus usul UMNO tidak pertanding dua jawatan utama dicabar

bharian.com.my
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali 
ajohari@bh.com.my
Jun 12, 2023 
Gambar hiasan - Perhimpunan Agung UMNO
KUALA LUMPUR: Tiga penyokong Barisan Nasional (BN) memohon kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar kelulusan Menteri Dalam Negeri berhubung usul tambahan UMNO tidak mempertandingkan dua jawatan utama dalam pemilihan parti itu.

Ahli UMNO Cawangan Kampung Bukit C2 Lembah Pantai, Satarriah Abdul Karim dan Zaidi Abdul Majid serta ahli MIC Lembah Pantai, P Vellasamy, memfailkan permohonan itu pada 15 Mei lalu menerusi Tetuan Rohaina & Co.

Dalam permohonan kebenaran itu, mereka menamakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Kerajaan Malaysia; Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan UMNO selaku responden.

Mereka memohon kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah certiorari untuk membatalkan kelulusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Mac lalu yang mengecualikan UMNO daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 menurut peruntukan Seksyen 70 akta sama.

Semua pemohon juga memohon perisytiharan bahawa surat RoS bertarikh 3 Mac lalu yang mendapati bahawa usul tambahan UMNO yang diputuskan di Perhimpunan Agung 2022 adalah tidak teratur, bertentangan perlembagaan parti dan tidak sah.

Turut dipohon, ialah satu perisytiharan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO hendaklah dipertandingkan dalam masa 30 hari dari tarikh penghakiman.

Pemohon berkata pada 30 Januari lalu, suatu usul tambahan UMNO dicadangkan ketika Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada 11 hingga 14 Januari lalu, berhubung ketiadaan pertandingan untuk dua jawatan utama pada Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO bagi penggal 2023-2026.

Mereka berkata, pada 2 Mac lalu, RoS mengeluarkan surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO bertajuk Pengesahan Berhubung Usul Tambahan Ucapan Dasar Presiden Di Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang ditandatangani Ketua Pengarah RoS.

Kata mereka, dalam surat itu RoS mendapati usul tambahan UMNO yang diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2022 adalah tidak teratur dan bertentangan dengan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO, oleh itu ia adalah tidak sah.

Menurut pemohon, sewajarnya RoS mewajibkan UMNO untuk mengambil tindakan pembetulan untuk mematuhi Fasal 9.3 perlembagaan parti itu.

"Pada 7 Mac lalu, satu kenyataan media dikeluarkan oleh Saifuddin yang menyatakan bahawa kementeriannya memutuskan untuk memberi pengecualian menurut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) akta sama," katanya.

Permohonan kebenaran semakan kehakiman berkenaan akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh pada 15 Jun ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-