Sunday, June 11, 2023

Takut kalah PRN? Zahid kata UMNO sedia pertimbang rayuan ahli digantung

agendaily.com
11/06/2023
Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi.

Kebimbangan UMNO bakal kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan sedia menimbang rayuan bekas ahlinya yang digantung sebelum ini.

Pengumuman Presiden UMNO untuk menimbang rayuan bekas ahlinya yang dikenakan tindakan disiplin itu dibuat menjelang PRN di enam negeri yang bakal diadakan tidak lama lagi dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) akan membuat keputusan muktamad selepas diteliti Lembaga Disiplin.

“Setakat ini banyak rakan yang digantung keahlian telah mengemukakan surat rayuan untuk diterima semula sebagai ahli UMNO. MT sangat terbuka untuk ambil sebarang cadangan Lembaga Disiplin.

Lazimnya laporan daripada Lembaga Disiplin untuk sokong atau tolak akan dibawa kepada Jawatankuasa Pengurusan seterusnya dibawa ke MT kerana hanya MT yang boleh membuat keputusan muktamad mengenai apa juga keputusan sama ada amaran, gantung atau pecat,” katanya dipetik laporan Bernama.

Zahid mengumumkan perkara itu semasa sidang media selepas ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 hari ini.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mengesahkan setakat ini UMNO tidak menerima sebarang rayuan daripada bekas ahli yang telah dipecat untuk kembali ke pangkuan parti itu.

UMNO sebelum ini antaranya menggantung keahlian Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan, bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk tempoh enam tahun.

Turut digantung keahlian ialah Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff manakala antara yang dipecat ialah bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang juga bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Rembau dan bekas Ketua Bahagian UMNO Ketereh Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua Bahagian UMNO Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-