malaysiakini.com
Fakhrurrazi Rashid
Diterbitkan: Jun 11, 2023
ULASAN | Entah kenapa, Ketua Pemuda Umno Malaysia Dr Akmal Saleh meminta DAP memohon maaf kepada semua ahli Umno atas segala cacian terhadap parti keramat itu kerana mengguris hati mereka bertahun-tahun lamanya.
Bagi dia, cara ini sahaja dapat melembutkan hati pengundi Umno dan Melayu untuk menyokong Pakatan Harapan menjelang pilihan raya negeri (PRN).
Desakan ini kemudian disokong Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yang melihat permohonan maaf DAP kepada Umno adalah satu langkah yang baik. Mohamad menggunakan contoh permohonan maaf DAP kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai contoh menyokong pendirinya itu.
Namun, cadangan permohonan maaf ini terus dipatahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menganggap polemik itu tidak perlu dibangkitkan lagi kerana sudah ada persepakatan ketika berunding
Bunyi dan nada ucapan Dr Akmal tidak tumpah samanya dengan pemuda Bersatu yang bertubi-tubi memomokkan DAP sewaktu menjadi kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018 yang menyaksikan kerajaan itu bertahan selama 22 bulan.
Pandangan ‘melawan’ arus ketua Pemuda ini disambut oleh bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang terang-terang anti Zahid Hamidi. Soalnya, apakah mereka tidak berbincang tentang isu-isu ini sebelum Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 bermula?
Pandangan menangkuh arus sayap pemuda bukanlah sesuatu perkara janggal dalam parti politik di Malaysia. Cuma, dalam konteks Kerajaan Perpaduan, ucapan seperti ini sedikit-sebanyak menimbulkan persoalan. Adakah ini plot untuk ‘sabotaj’ kerajaan atau lebih ditujukan kepada usaha menyingkirkan Presiden Umno?
Presiden terpaksa jual cerita Najib
Dalam banyak hal yang boleh dibahaskan, PAU kali ini dibanjiri dengan naratif hasrat membawa ‘Bossku’ keluar dari tirai besi. Soal PRN dan mengukuhkan Kerajaan Perpaduan terus tenggelam. Fanatik untuk mengembalikan Najib Razak ke pangkuan Umno tanpa segan silu disebut di hadapan muka Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Tetapi, naratif memperjuangkan ‘Bossku’ dalam PAU lebih terarah untuk melawan Zahid Hamidi dalam senyap-senyap. Mengapa?
Pertama, pemimpin Umno yang tidak berkenan dengan presiden, baik digantung atau dibuang Umno, sudah mati akal untuk menyingkirkan Zahid yang selesa dengan Kerajaan Perpaduan.
Justeru, mengembalikan Najib adalah satu-satunya jalan untuk meraih sokongan dan simpati akar umbi dan kemudian menaikkan tekanan kepada Zahid berundur.
Tekanan naratif ‘Bossku’ ini sehingga Zahid terpaksa menjual cerita makan bersama Najib sewaktu melawatnya di Penjara Kajang dalam ucapan penggulungan PAU di hadapan perwakilan Umno untuk memastikan dia masih geng bossku.
Kedua, PRN adalah peluang terbaik untuk meruntuhkan blok Presiden Umno. Ahli-ahli Umno seperti tahu yang mereka akan ‘bungkus’ dalam enam PRN ini. Kekalahan teruk ini akan menjadi kemenangan besar buat pemimpin Umno terpinggir untuk memanjat tangga kepimpinan tertinggi parti itu.
Ini juga menunjukkan bahawa pemimpin dan ahli Umno yang dipinggir dan disingkirkan hanya menumpang dalam Perikatan Nasional (PN). Sekiranya presiden Umno digulingkan, aktor-aktor ini akan kembali ke pangkuan Umno.
Dan, mungkin sebab itu proses Annuar Musa masuk PAS agak lama jika dibandingkan dengan Eizlan Yusof (artis) yang baharu sahaja menyertai PAS. Mungkin PAS tahu, kumpulan ini tidak akan membawa impak kepada parti yang sudah menjadi parti berpengaruh buat orang Melayu sekarang.
Menunggu peluang naik takhta
Soalnya siapa yang akan ganti Zahid sambil menunggu Najib keluar penjara?
Ada yang kata Hishammuddin Hussein, kononnya kerana rapat dengan ‘Bossku’ dan popular dalam kalangan akar umbi. Namun, calon yang boleh menggantikan Zahid dalam waktu terdekat mungkin juga timbalannya, Mohamad.
Barisan Nasional (BN) nampaknya akan kembali memenangi kerusi ditandingi di Negeri Sembilan dengan selesa. PRU15 telah menyaksikan BN negeri itu dapat merampas semula kerusi Kuala Pilah dan Tampin yang dimenangi Pakatan Harapan pada PRU14.
PH Negeri Sembilan kekal di kerusi tradisi sejak PRU12 (Seremban, Rasah, dan Port Dickson) dan PN pula tidak memenangi sebarang kerusi.
Sebab itu, BN Negeri Sembilan ingin menambah dua kerusi DUN, daripada 16 kerusi menjadi 18 kerusi bagi PRN akan datang. Bermaksud, PH akan hilang dua kerusi daripada 20 kerusi yang dimenangi pada PRU14.
Kemenangan selesa BN di Negeri Sembilan akan menjadi ‘senjata’ utama buat Mohamad membuktikan bahwa dirinya mampu memikul tugas yang baik sebagai Presiden Umno.
Malah, rekod Mohamad dalam PRN Melaka dan Johor sebagai Pengarah pilihan raya bersih kerana berjaya mengembalikan BN sebagai kerajaan negeri dengan majoriti besar.
Jika BN menang besar di Negeri Sembilan dan jawatan Menteri Besar dikembalikan kepada parti itu, boleh dikatakan BN menguasai negeri-negeri di bahagian Selatan tanah air dengan bersih. Mohamad akan diangkat sebagai ‘kepala BN di Selatan.
Apa harapan yang ada?
Jika PAU hanyalah persediaan Umno untuk membersihkan rumah sendiri tetapi masih tunggang-langgang menghadapi PRN, suka atau tidak, Kerajaan Perpaduan perlu dipertahankan PH sendiri.
Bekerjasama dengan Umno bukan mudah. Lihat sahaja rundingan pengagihan kerusi, Umno akan mendesak lebih banyak kerusi diberikan berbanding PH kerana itu simbol dominan BN dalam politik Melayu, berpaksikan mentaliti Abang Besar.
Sebab itu, BN sukar bekerjasama dengan PN kerana peluang Umno bertanding dengan kerusi yang lebih banyak agak tipis. PRN Johor dan Melaka juga menyaksikan BN ‘solo’ dan memang besar. Tidak terkejut sekiranya rundingan kerusi akan menjadi sukar untuk Kerajaan Perpaduan.
Umno sebenarnya paling untung dalam PRN. Undi penyokong PH dalam PRN sekurang-kurangnya dapat memastikan parti itu tidak hilang deposit dan kalah majoriti besar kepada PN. Malah, ia juga dapat memenangkan BN seperti yang berlaku di DUN Tioman pada Disember 2022 meskipun tipis.
Nampaknya, Umno memasuki PRN kali ini dengan kecelaruan dan kurang yakin akan dinamik politik semasa. Apa yang mampu dibuat Umno sekarang adalah mengekang undi protest akar umbi untuk mengundi PN dalam PRN.
Jika itu pun tidak mampu, lebih molek jika Umno memberi tumpuan dan kerjasama untuk kekal menjadi Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal. Boleh Umno mencongak semula langkah pada PRU16 dengan baik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-
-
Anne Muhammad Diterbitkan Hari ini 3:53 petang Rancangan antara PAS dan Umno untuk mewujudkan kerajaan perpaduan (UG) di empat negeri...
-
hmetro.com.my Mohd Roji Kawi mdroji@bh.com.my JABIDAH menunjukkan laporan polis mengenai kehilangan wang simpanannya. FOTO Mohd Roji Kawi...
-
RIDAUDDIN DAUD 28 JULAI 2018 Dr Mahathir bergambar di ‘photobooth’ sebelum merasmikan majlis makan malam tersebut. SERI KEMBANGAN - ...
-
bharian.com.my Rozdan Mazalan rozdan@bh.com.my PENJAGAAN kesihatan kepada pesakit diabetes wajar diberi keutamaan bagi mengelak risiko jan...
-
Diterbitkan 13 Sep 2018, 6:02 petang Siasatan polis mendapati sejumlah AS$972 juta (RM2.973 bilion) dipindahkan ke akaun bank AmIslamic...
-
Anne Muhammad Diterbitkan 27 Sep 2018, 4:03 petang Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tida...
-
agendaily.com 12/05/2023 Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh. Selepas dikritik rakan seangkatannya dari PKR berkait keputusan lantikan...
-
ULASAN Al-Abror Mohd Yusuf | Diterbitkan 17 Sep 2018, 12:15 tengah hari PULASAN | Jika kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) mencadang...
-
Bernama - September 27, 2018 8:01 AM Anwar berkata, baik dalam kalangan orang Islam, Kristian, Hindu dan Buddha, semua berpakat dalam p...
-
Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, beliau bertanding melawan penyandang Datuk Seri Azmin Ali dan sekutunya kerana rekod me...
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.