Sunday, June 4, 2023

UMNO parti utama, perlu bantu parti lain dalam kerajaan menang PRN: Mat Maslan

agendaily.com
04/06/2023
Datuk Seri Ahmad Maslan gesa perwakilan PAU menumpukan kepada persediaan menghadapi PRN enam negeri nanti.

Selaku parti utama dalam kerajaan campuran, UMNO perlu membantu parti-parti lain dalam gabungan itu bagi memenangi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 bermula Rabu ini perlu dijadikan pentas untuk bersiap sedia menghadapi PRN nanti dan selaku parti utama dalam kerajaan, perlu membantu parti lain dalam gabungan mencapai kemenangan.

“PAU kali ini perlu dijadikan medan pembuka gelanggang kepada PRN. PAU yang diadakan lebih awal daripada PRN itu akan memberikan lebih banyak ruang kepada UMNO untuk bersedia bagi menghadapi PRN yang dijangka berlangsung sengit kali ini.

“UMNO sebagai antara parti utama yang menganggotai Kerajaan Perpaduan perlu membantu memenangi calon-calon yang bertanding bagi memperkukuhkan lagi kerajaan gabungan 19 parti itu,” katanya dipetik laporan BH semasa majlis kenduri sekampung di Kampung Permatang Duku, Benut malam tadi.

Jelasnya lagi, isu utama termasuk masalah air di Kelantan dan dakwaan Pulau Pinang milik Kedah dijangka menjadi antara yang akan dibincang dan didebatkan.

Isu utama di enam negeri yang difokuskan dalam ucapan perwakilan nanti akan memberi idea kepada ahli UMNO untuk memperhebat jentera dan strategi ketika berkempen pada PRN.

“Wakil daripada Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah boleh dan amat digalakkan supaya membangkitkan isu dihadapi di negeri mereka.

“Kelantan contohnya, isu air yang tak berkesudahan. Di Kedah pula, dakwaan mereka ingin mengambil Pulau Pinang. Dua contoh ini boleh dibawa oleh perwakilan pada PAU 2023 di samping memperincikan isu-isu lain yang membelenggu rakyat,” katanya lagi.

PAU 2023 akan berlangsung dari 7 hingga 10 Jun ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-