Sunday, July 30, 2023

Anwar mahu program selawat dibuat seluruh negara

ismaweb.net
Siti Fatimah

Mampu ketuk hati ummah cintai junjungan Nabi Muhammad

SHAH ALAM, 12 Muharam 1445H, Ahad – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu program memperingati Rasulullah SAW seperti Majlis Darul Ehsan Berselawat 2.0 yang diadakan di Selangor diteruskan ke seluruh pelusuk negara.

Beliau berkata, ini kerana program seumpama itu berupaya mengetuk pintu hati ummah untuk mengingati dan mencintai junjungan Nabi Muhammad SAW.

“Terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari yang memeriahkan Selangor dengan gegaran selawat dan selepas Selangor, kita akan jelajah seluruh negara selepas Pilihan Raya Negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Darul Ehsan Berselawat 2.0 di Stadium Tertutup Malawati malam tadi.

Perdana Menteri berkata negara MADANI pimpinan beliau ditegakkan dengan nilai dan akhlak mengikut contoh Nabi Muhammad SAW dan seharusnya kesedaran untuk mengingati serta berselawat kepada baginda disebarkan ke seluruh Malaysia yang tercinta.

Majlis Darul Ehsan Berselawat 2.0 anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dengan kerjasama Pertubuhan Damai dan Cinta Insani (Pendamai) merupakan kesinambungan program pertama pada 14 Jan lepas yang mendapat sambutan menggalakkan.

Acara selawat dan zikir munajat malam ini turut menampilkan ulama serta pendakwah terkenal seperti Sheikh Abu Zaki, Ustaz Neezam Al-Banjari dan Ustaz Dr Ahmad Farkhurrazi yang menarik lebih 5,000 hadirin.

 – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-