Monday, July 31, 2023

Jais siasat menteri berucap di masjid

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 31, 2023 9:28 PM
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menjalankan siasatan berhubung aduan membabitkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang didakwa berucap di ruang solat di sebuah masjid di Rawang.

Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya telah menerima aduan berkaitan perkara itu dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama.

"Pihak Jais telah menjalankan siasatan dengan memanggil nazir masjid berkenaan bagi mendapatkan keterangan dan tindakan selanjutnya akan dibuat setelah siasatan selesai dilakukan.

"Jais ingin mengingatkan dan menegaskan kepada semua calon dan parti yang bertanding supaya berhati-hati ketika berada di dalam dan kawasan masjid / surau bagi mengelakkan sebarang perlakuan yang boleh membawa kepada perbuatan yang melanggar titah DYMM Sultan Selangor dan ketetapan Mais (Majlis Agama Islam Selangor)," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Shahzihan, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang melanggar titah Sultan Selangor dan arahan ,Mais.

Terdahulu, tular gambar di media sosial menunjukkan Fahmi berucap di Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang di Rawang semalam.

Gambar berkenaan turut dikongsikan pentadbir akaun Facebook 'N13 Kuang' yang mendakwa perlakuan itu melanggar arahan Jais dan Mais, selain mempersoalkan di mana tindakan pihak berkuasa.

"Memang cakap tak serupa bikin. Terus terang langgar arahan Jais/ Mais. Calon BN pun turut ada sekali.

“Apa tindakan Jabatan Agama Islam Selangor mengenai perkara ini. Jangan kerana team dia orang jadi caretaker government, korang buat diam je," tulis hantaran tersebut.

Berkongsi hantaran itu di laman Twitter, Fahmi berkata dia hanya singgah di masjid itu untuk bersolat dan hanya dijemput oleh kariah masjid untuk mengulas mengenai isu membabitkan persembahan kontroversi kumpulan The 1975 baru-baru ini.

"Saya singgah untuk solat Zohor sahaja di masjid itu, sebab ia masjid paling dekat dengan lokasi program seterusnya.

"Alang-alang di situ, saya dijemput oleh kariah Masjid untuk ulas sedikit isu Kumpulan 1975.

“Tiada langsung sentuh isu lain," katanya.

Kumpulan 1975 dari United Kingdom baru-baru ini mencetuskan kontroversi selepas vokalisnya mencium pemain gitar lelaki ketika persembahan di Festival Good Vibes, selepas mengkritik kerajaan kerana melaksanakan dasar anti-LGBT.

Ini menyebabkan Fahmi membatalkan festival muzik berkenaan, manakala kumpulan itu dilarang daripada membuat persembahan di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-