Wednesday, July 5, 2023

Jangan hina penjawat awam, Ahmad Fadhli bidas Zahid dakwa ada ‘kacang hantu’

agendaily.com
05/07/2023
Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Ahmad Fadhli Shaari membidas kenyataan Zahid Hamidi.

Penghinaan terhadap penjawat awam dengan dakwaan kononnya terdapat ‘kacang hantu’ di dua jabatan kerajaan dikecam Pemuda Pemuda Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari mengkritik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membuat tuduhan kononnya terdapat ‘kacang hantu’ dalam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ia ekoran isu kekecohan melibatkan seorang menteri baru-baru ini.

“Kalau nak kira kacang hantu, dalam Kabinet tak ada kacang hantukah?

“Jangan cemarkan nama baik jabatan kerajaan, kami ni pembangkang tapi kami hormat jabatan kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Semalam, Ahmad Zahid dalam satu sidang media dipetik berkata, terdapat ‘kacang hantu’ dalam dua jabatan yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, ‘kacang hantu’ itu perlu dibanteras kerana tindakan kumpulan berkenaan menyebabkan jabatan itu menerima tuduhan yang tidak benar.

Ahmad Fadhli sebaliknya menggesa supaya kerajaan campuran menyiasat secara telus dan mendakwa mereka yang terlibat kerana ketika ini kerajaan sedia ada mempunyai kuasa untuk melakukannya.

Minggu lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing membuat kecoh setelah menyerbu masuk ke balai ketibaan antarabangsa untuk ‘menyelamatkan’ seorang pelancong China yang dinafikan daripada memasuki negara ini oleh JIM.

Malah dalam kenyataannya menjelaskan keadaan itu, King Sing mendakwa pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlibat aktiviti rasuah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-