Tuesday, July 18, 2023

Tujuan mereka nak jejaskan peluang pada PRN, takut kemaraan rakyat: Sanusi

agendaily.com
18/07/2023
Sanusi di luar kompleks Mahkamah Selayang pagi ini.

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor menyifatkan pendakwaan dua pertuduhan terhadapnya dibuat bertujuan untuk menjejaskan peluangnya daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedan 12 Ogos ini.

Menteri Besar Kedah itu berkata rakyat akan dapat memahami tindakan kerajaan campuran menggunakan pihak berkuasa untuk menekan musuh politiknya menjelang PRN tidak lama lagi dan takut berdepan kemaraan rakyat yang menolak kerajaan kakistokrasi.

“Tujuan mereka ialah untuk menjejaskan peluang saya dalam PRN.

“Saya yakin dengan pendakwaan ini, rakyat Malaysia memahami tujuan merek, hasrat sebenar mereka disegerakan pendakwaan ke atas saya ini dengan tiga hari siasatan saja,” katanya semasa sidang media sebaik didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pagi ini.

Sanusi juga menjelaskan sudah memberitahu untuk hadir ke mahkamah tetapi pihak polis masih mahu menangkapnya pada 3 pagi tadi dan ditahan sebelum dibawa untuk didakwa.

“Saya diambil tadi jam 3 pagi tanpa sebarang notis. Saya hanya mengetahui saya didakwa itu melalui media dan saya bersedia untuk menghadapi kes ini.

“Dan saya dah maklum kepada beberapa pihak bahawa saya akan hadir ke mahkamah pada pagi ini tapi mereka tetap nak buat tangkapan pada jam 3 pagi di apartment yang saya tinggal,” katanya lagi.

Menurut Sanusi, terdapat ramai peguam yang menawarkan untuk menjadi peguam belanya bagi menghadapi dua pertuduhan tersebut dan berterima kasih atas simpati semua pihak yang menyokongnya.

Sanusi turut membidas kerajaan campuran yang takut dengan kemaraan rakyat sehingga terpaksa menggunakan polis untuk menahan ahli politik yang tidak senada dengan mereka.

“Nampaknya Malaysia hari ini kita ada satu kerajaan yang takut, dia guna polis untuk tahan atau sekat ucapan-ucapan kita.

“Nampaknya ahli-ahli politik ini sudah bankrap menggunakan pihak berkuasa untuk menyekat kemaraan rakyat dan saya harap ini adalah satu petunjuk dan isyarat bahawa mereka sebenarnya dalam satu ketakutan dan segala agensi awam digunakan untuk menyekat kehangatan rakyat ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Sanusi didakwa mengikut dua pertuduhan dibawah Akta Hasutan kerana mengkritik kerajaan campuran.

Bagaimanapun, Sanusi membuat pengakuan tidak bersalah dan diminta dibicarakan di mahkamah.

Mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948, seseorang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan masing-masing jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Sanusi.

Mahkamah juga menetapkan 4 Okt untuk sebutan semula kes.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-