Showing posts with label Muhammad Sanusi Md Nor. Show all posts
Showing posts with label Muhammad Sanusi Md Nor. Show all posts

Friday, September 27, 2024

PAS Pahang saran pemimpin kerajaan teladani Sanusi

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 27, 2024 9:32 AM
PAS Pahang menyarankan agar pemimpin kerajaan perpaduan mencontohi Muhammad Sanusi Md Nor yang memohon keampunan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kelmarin.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu, berkata Sanusi wajar dipuji kerana sanggup merendahkan dirinya untuk memohon keampunan kepada Sultan Sharafuddin.

Menegaskan bahawa Sanusi juga merupakan manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan, Andansura berkata seseorang pemimpin mesti bersikap terbuka untuk menerima kritikan selain bijak menangani isu secara berhemah.

Justeru katanya tindakan Sanusi itu wajar dicontohi oleh pemimpin lain.

“Perkara sebegini seharusnya dijadikan contoh kepada mana-mana individu yang memegang jawatan tinggi dalam sesebuah kerajaan sama ada peringkat persekutuan mahupun negeri,” katanya dipetik Harakahdaily.

Andansura yang juga Adun Beserah berkata dengan mengambil langkah seperti diambil Sanusi seseorang pemimpin boleh dijadikan teladan sekali gus mampu menguruskan negara dengan lebih teliti.

Sanusi pada 25 Sept membuat permohonan keampunan secara terbuka kepada Sultan Sharafuddin ekoran insiden yang berlaku di Selangor melibatkan baginda serta kerajaan negeri.

Dia yang juga Pengarah Pilihan Raya PN berbuat demikian selepas lebih setahun membuat kenyataan yang menimbulkan kemurkaan pihak istana. Sebelum ini Sanusi pernah membuat permohonan maaf iaitu kira-kira tiga hari selepas insiden melibatkan kerajaan Selangor.

Kenyataan Sanusi yang dibuat di Selayang itu juga menyaksikan lebih 20 laporan polis dibuat ke atasnya, termasuk dari Dewan Diraja Selangor sendiri.

Hanya nabi, rasul sempurna

Sultan Sharafuddin kemudian mengeluarkan kenyataan mengampunkan Sanusi, namun baginda turut menasihatkan ahli politik kanan PAS itu agar menjaga tatasusilanya.

Untuk rekod Sanusi juga berdepan dengan kes mahkamah terkait dengan pihak istana apabila didakwa mengeluarkan kata-kata yang menghina Yang di-Pertuan Agong.

Dia didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pada 18 Julai 2023 dan mengaku tidak bersalah.

Kata Andansura pemimpin yang baik akan menjadikan kritikal yang dikenakan ke atasnya sebagai ruang memperbaiki diri, bukannya dilihat langkah memperlekehkan seseorang.

Mendakwa sifat seperti Sanusi itu tiada pada pemimpin kerajaan perpaduan, Andansura berkata, mereka menganggap kritikan itu sebagai serangan peribadi.

“Tiada sifat rendah diri ditunjukkan apabila mereka sendiri melakukan kesilapan dan ini berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Menteri Besar Kedah baru-baru ini.

“Kita semua kena akui bahawa manusia tidak sempurna dalam semua perkara dan bagi saya, mana-mana kritikan yang membina patut kerajaan ambil sebagai satu peluang bagi membetulkan semula keadaan negara ini,”katanya.

Sementara itu Dewan Pemuda PAS Selangor turut memuji tindakan Sanusi.

Ketua penerangannya, Abdul Basith Abdul Halim, berkata Sanusi wajar dijadikan teladan yang baik kepada semua pihak.

Dia juga menegaskan tiada tiada manusia yang sempurna di atas muka bumi ini kecuali para nabi dan rasul.

“Maka, beruntunglah bagi mereka yang sedar dengan kekhilafan itu dan berusaha memperbaiki dirinya,” katanya.

Thursday, September 26, 2024

Sultan Selangor berkenan menerima permohonan ampun Menteri Besar Kedah

bharian.com.my
Oleh Norzamira Che Noh 
bhnews@bh.com.my
- September 26, 2024 
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar kecil, Muhammad Sanusi Md Nor.

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menerusi surat titah yang dimuatnaik Selangor Royal Office, baginda menerima permohonan itu atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

"Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, semoga Datuk Seri berada di dalam keadaan sihat dan sejahtera. Permohonan ampun dan maaf Datuk Seri berkenaan kenyataan Datuk Seri pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara, Gombak, Selangor telah beta pertimbangkan.

"Beta dengan ini berkenan untuk menerima permohonan ampun dan maaf daripada Datuk Seri di atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

"Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas dalam permohonan maafnya," titah baginda.

Dalam perutusan itu juga, baginda menasihati Muhammad Sanusi agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi serta menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali apabila berada di Selangor.
"Beta tidak mahu rakyat khususnya di Selangor terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kesat dan tohmahan yang tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin.

"Kelakuan dan tutur kata yang baik ini amatlah penting untuk masa depan karier politik Datuk Seri.

"Sebagai seorang pemimpin, Datuk Seri harus memikirkan kesan yang akan diperolehi dari setiap tindak tanduk yang telah dilakukan. Akhir sekali, beta berharap semoga Datuk Seri akan terus berjaya dan dipermudahkan di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab," titah Sultan Sharafuddin lagi.

Semalam, media melaporkan Muhammad Sanusi sekali lagi mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ia berhubung kenyataannya yang didakwa mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri berkenaan.

Itu adalah permohonan maaf kedua oleh Menteri Besar Kedah itu kepada Sultan Selangor selepas kali pertama pada 14 Julai tahun lalu.

Sunday, September 22, 2024

'Terima kasih, Perdana Menteri' - Sanusi

bharian.com.my
Oleh Noorazura Abdul Rahman 
bhnews@bh.com.my
- September 22, 2024
Muhammad Sanusi melawat pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di Komplek Rakan Sukan, Pendang, hari ini. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir

PENDANG: Kos kerja baik pulih infrastruktur rosak dan ganti rugi akibat banjir di Kedah dijangka mencecah lebih RM100 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berharap Kerajaan Persekutuan dapat menambah peruntukan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bantuan RM13 juta bagi tujuan itu, semalam.

"Saya rasa tak cukuplah tapi kita ucap terima kasih kepada Perdana Menteri yang datang kelmarin, ambil masa datang ke Kedah, terima kasih banyak-banyak.

"Pengumuman awal RM13 juta kelmarin dia umum 'on the spot', saya harap akan ada pertambahan, selepas ini kita kita akan buat bancian kerosakan infrastruktur kediaman dan lain-lain.

"Selepas itu laporan akan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, kita jangka lebih RM100 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, bancian kerosakan akibat banjir turut merangkumi sektor pertanian terutama padi.

"Kalau sawah yang tenggelam, ada kawasan MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) dan di luar MADA. Kawasan MADA ditentukan oleh MADA tapi di luar MADA, ada 32,000 hektar dan kena tengok jugalah.

"Saya harap selepas ini kita dapat buat penilaian penuh dan serahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk diberi pertimbangan," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah tetap berjaga-jaga kerana tempoh peralihan monsun dijangka bermula Selasa ini.

"Biasanya peralihan monsun akan membawa hujan lebat, saya harap ia tidak membawa banjir sehingga terpaksa berpindah," katanya.

Beliau berkata, situasi banjir ketika ini terkawal dan tidak seburuk 2010 walaupun berlaku peningkatan mangsa banjir terutama di daerah Kota Setar.

"Alhamdulillah, terurus dengan sempurna seperti kita hadapi tiap-tiap tahun tanpa perubahan apa-apa dari segi langkah menangani situasi ini. Terima kasih kepada semua agensi kerajaan," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Stadium Suka Menanti, Alor Setar, semalam. - Foto BERNAMA
Semalam, Anwar mengumumkan peruntukan RM13 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir yang berlaku di seluruh negeri ini.

Jumlah itu termasuk bantuan kewangan yang disalurkan agensi Persekutuan dan negeri kepada semua mangsa banjir yang berpindah ke PPS.

Saturday, August 10, 2024

Sanusi: Nak buat persembahan di Kedah, pakai elok-elok

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 10, 2024
Kerajaan negeri Kedah telah menyediakan garis panduan baru untuk mengadakan konsert di negeri itu, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurut ahli parlimen PAS itu, pentadbiran negeri bukan "antikonsert" seperti yang didakwa pihak tertentu, kerana ia membenarkan persembahan diadakan, asalkan mengikut syarat yang ditetapkan.

“Terdapat garis panduan untuk konsert di Kedah agar tidak melanggar adat dan susila.

“Untuk konsert jika dulu minta (kebenaran) pegawai daerah, sekarang konsert perlu mendapat pertimbangan Exco Kerajaan Negeri,” katanya dipetik Sinar Harian pada sidang media selepas melancarkan Lawatan Kedah 2024 di Kuala Lumpur malam tadi.

Antara garis panduan yang dikuatkuasakan termasuk penganjur memilih masa dan tempat yang sesuai untuk persembahan, dan artis yang membuat persembahan, termasuk lelaki dan wanita, tidak memakai pakaian menjolok mata.

“Kalau nak buat persembahan di Kedah, pakai elok-elok," kata Sanusi.

Pada 2022, kerajaan Kedah memutuskan untuk tidak membenarkan semua konsert terbuka di negeri itu.

Februari lalu, konsert hip-hop di Alor Setar mencetuskan kontroversi. Penganjur kemudiannya memohon maaf kerana tidak meminta kelulusan kerajaan negeri untuk persembahan itu.

Tuesday, July 9, 2024

Mahkamah batal keputusan k'jaan Kedah haramkan kedai judi

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Jul 9, 2024 
Beberapa kedai judi berjaya dalam tindakan undang-undang mereka untuk mengubah tindakan kerajaan Kedah yang mengharamkan mereka di negeri itu.

Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun membenarkan permohonan semakan kehakiman daripada berbilang pengendali perjudian yang menyasarkan keputusan pentadbiran Kedah.

Bagaimanapun, kerajaan Kedah telah memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 14 Nov 2022, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan kerajaan Kedah tidak lagi meluluskan lesen judi, selain mengehadkan penjualan arak di semua premis terutama di kawasan luar bandar di negeri ini.
Dia berkata langkah itu bertujuan menangani gejala sosial yang berpunca daripada perjudian, seperti keruntuhan institusi keluarga.

Pada 1 Jan tahun lepas, keputusan itu berkuat kuasa menyebabkan semua premis perjudian dan loteri tidak lagi dibenarkan beroperasi di Kedah.

Menurut salah satu permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh SM Lottery Sdn Bhd, pemohon berhujah keputusan kerajaan negeri adalah tidak sah, tidak rasional dan melanggar perlembagaan.

Kedai judi itu mendakwa keputusan pentadbiran Kedah gagal mengambil kira komposisi pelbagai etnik rakyat negeri itu.

Pemohon berhujah keputusan kerajaan negeri itu dibuat tanpa rundingan terlebih dahulu dengan pihak berkepentingan di Kedah.

Kedai judi itu juga berpendapat Perkara 74 dan 75 Perlembagaan Persekutuan hanya memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan untuk menggubal undang-undang dan peraturan mengenai perjudian.

Bukan sahaja kerajaan Kedah dan Sanusi, malah pelbagai majlis daerah seperti Alor Setar, Sungai Petani dan Baling dinamakan sebagai responden yang disasarkan oleh tindakan undang-undang itu.

[Baca berita asal]

Wednesday, November 15, 2023

UMNO tandus calon sehingga terpaksa letak calon luar di Kemaman: Sanusi

agendaily.com
15/11/2023
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Langkah UMNO meletak calon luar daripada parti itu membuktikan mereka sudah ketandusan pemimpin yang layak diketengahkan, kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata jenama UMNO-Barisan Nasional (BN) sudah tidak lagi laku sehingga mereka terpaksa mencari orang luar untuk diletak bertanding walaupun belum dijamin boleh menang lagi.

“(Dalam UMNO-BN) dah tak ada orang dah dari segi dalam dia missionary BN untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang layak untuk memimpin orang ramai, tak ada.

“Dia terpaksa cari di luar. Itulah lemah dia,” katanya dipetik laporan Harakah Daily.

Terdahulu, UMNO mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Menteri Besar Kedah itu bagaimanapun mengalu-alukan langkah UMNO meletak calon yang hebat tersebut, namun ia bukan jaminan rakyat akan kembali menyokong mereka pada PRK Kemaman nanti.

“Saya alu-alukanlah (beliau bertanding), harap dia dapat buat sesuatu. Tapi ini pilihan raya kan dia bergantung kepada sokongan. Kalau hebat pun calon tu, parti dia tidak disokong, faktor calon ni 30% saja dalam pilihan raya. Strength lain daripada itu jentera kempen.

“Brand parti itu sekarang ni tengah menjunam. Bawa produk bagus pun masuk dalam brand tu jatuh juga. Sayanglah,” ujarnya lagi.

Sanusijuga menyifatkan kelemahan UMNO-BN kini apabila mahu menyertai PRK tersebut bagi mengurangkan majoriti dimenangi PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semata-mata dan bukanlah kemenangan menjadi matlamat parti itu.

Tindakan yang ditempelaknya sebagai ‘menghabiskan beras’ itu dan meletakkan pula calon ‘heavyweight’ hanya merugikan di mana sepatutnya diletakkan di kerusi boleh menang misalnya di Bagan Datuk atau di negeri Johor dan Melaka.

“Kalau tempat boleh menang letak orang macam tu saya rasa lebih baiklah. Letak tempat 27,000 kalah nak suruh kawan tu kampoi mampuslah dia. Kesianlah kat dia, saya kesian kat dia,” ujarnya lagi.

Saturday, August 26, 2023

Saya tak ada hak pertikai kegilaan Sanusi - Zahid

malaysiakini.com
Alyaa Alhadjri
Diterbitkan: Aug 26, 2023 10:52 AM
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi memperolokkan kenyataan pengarah pilihan raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Umno bakal "berkubur" dalam dua pilihan raya kecil (PRK) di Johor.

"Tanyalah dia kenapa dia cakap macam tu. Saya tak ada hak untuk mempertikaikan kegilaan seseorang," kata Ahmad Zahid sambil tertawa kepada pemberita di luar Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Sanusi semalam yang mendakwa Johor bukan lagi kubu kuat BN dan PN bakal menewaskan pencabarnya di parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Sanusi dilapor berkata pengundi akan terus menolak Umno dalam PRK itu disebabkan kerjasama parti itu dengan PH dan pengerusinya, Anwar Ibrahim.

“Sampai masa sudah, BN-PH akan terbalik dengan gelombang ini. Di sana (Johor) dilahirkan di sana juga kuburnya. Bukan lagi kubu kuat,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Terdahulu Ahmad Zahid bersama pemimpin dan penyokong BN dan PH mengiringi calon gabungan itu bagi kerusi Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat ke pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bharu.

Monday, August 7, 2023

Vincent Tan, Berjaya Land tuntut Sanusi mohon maaf, bayar RM200 juta

bharian.com.mt
Oleh Faris Fuad 
faris.fuad@bh.com.my
Ogos 7, 2023 
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (kiri) dan Vincent Tan.

KUALA LUMPUR: Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Berjaya Land Berhad (Berjaya Land) menuntut permohonan maaf secara terbuka dan pampasan ganti rugi RM200 juta daripada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ia susulan dakwaan Menteri Besar Kedah itu membuat kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Muhammad Sanusi dikatakan menyampaikan ucapan berbaur politik, fitnah, palsu, tidak berasas dan tanpa bukti bertujuan menggugat Vincent Tan dan Berjaya Land secara langsung atau tidak langsung berkaitan projek terbabit ketika 'Jelajah Mega PN (Perikatan Nasional) Best' dan 'PN Best Sayangi Kedah Sejahtera Mega Tour', 2 Ogos lalu.

Berjaya Land dalam kenyataan hari ini berkata, satu surat tuntutan melalui firma guaman mewakili Vincent Tan dan pihaknya dikemukakan kepada Muhammad Sanusi pada kelmarin, yang menggariskan lima tuntutan.

Yang pertama, tanpa syarat menarik balik semua kenyataan defamasi dalam ucapan Menteri Besar Kedah yang merujuk kepada Vincent Tan dan Berjaya Land.

Kedua, mengemukakan permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat berhubung ucapan itu mengikut terma pihak guaman untuk diterbitkan dengan serta-merta oleh Muhammad Sanusi di platform ditentukan pihak sama.

"Ketiga, menyediakan jaminan bertulis bahawa Muhammad Sanusi tidak akan mengulangi penerbitan dan ucapan mengenai kenyataan dalam ucapan berkenaan Vincent Tan dan Berjaya Land.

"Keempat, menyediakan jaminan bertulis bahawa Muhammad Sanusi dengan segera menghentikan dan tidak akan melanjutkan penerbitan, ucapan, penulisan, perkongsian, pengedaran semula, penyiaran semula atau perkongsian semula dengan apa cara sekalipun mengenai kenyataan dan perkataan dalam ucapan itu.

"Kelima, bersetuju membayar pampasan RM200 juta kepada Vincent Tan dan Berjaya Land. Jika Muhammad Sanusi gagal mematuhi tuntutan terbabit menjelang 8 Ogos 2023 (esok), tindakan undang-undang akan diambil," katanya.

Menurut syarikat itu, Vincent Tan dan Berjaya Land juga membuat beberapa laporan polis terhadap Muhammad Sanusi, selain beberapa blogger seperti Murray Hunter, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard dan Raja Petra Kamarudin atas penerbitan kenyataan defamasi terhadap projek SMG.

Projek itu mungkin dilihat sebagai kesalahan fitnah mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan yang apabila disabitkan boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Vincent Tan turut dipetik dalam kenyataan itu dengan berkata kenyataan defamasi itu mencemarkan integriti, reputasi dan imejnya serta Berjaya Land.

"Tuduhan dilemparkan menimbulkan keraguan dan mencetuskan syak wasangka tanpa sebab mengenai usaha perniagaan serta inisiatif kedermawanan yang sah.

"Kami ingin menyampaikan mesej jelas bahawa sesiapa yang membuat sebarang kenyataan berbaur palsu dan mencemarkan imej tidak akan dipandang endah serta kami ingin pihak terbabit bertanggungjawab atas tindakan mereka," katanya.

Monday, July 31, 2023

PMX dapat injunksi halang Sanusi keluar kenyataan berkait perlakuan tak bermoral

agendaily.com
31/07/2023
Sanusi menjadi sasaran kerajaan dipimpin Anwar.

Mahkamah memberi injunksi interim (sementara) kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menghalang Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor daripada mengeluarkan kenyataan mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral.

Menteri Besar Kedah itu sebelum ini semasa ceramahnya banyak menyindir Perdana Menteri (PMX) itu berhubung kes liwat yang pernah dihadapinya sehingga dipenjarakan dan menyebabkan Anwar menyamannya sebelum ini.

Perintah injunksi itu adalah berkaitan saman fitnah difailkan Anwar terhadap Sanusi pada 13 Disember tahun lalu berhubung dakwaan ucapan yang mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

Dalam keputusan yang dibuat melalui permohonan secara ex-parte semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Mahazan Mat Taib, memerintahkan Sanusi untuk tidak mengeluarkan, mengulangi, dan menerbitkan kenyataan berkaitan dengan saman fitnah yang difailkan Anwar.

Hakim juga memerintahkan Sanusi perlu mematuhi perintah injunksi itu dengan serta merta selepas perintah berkenaan disampaikan kepadanya.

Peguam Anwar, Datuk SN Nair ketika dihubungi pemberita, berkata kes saman terbabit masih menunggu pendengaran, walaupun begitu Sanusi masih mengulangi kenyataan fitnah yang serupa berkaitan dengan perbicaraan jenayah Anwar yang lalu.

Beliau berkata, ia diulangi Sanusi dalam dua ceramah di Jelajah PN Best Negeri Sembilan pada 18 Mac lalu di Nilai, Negeri Sembilan; dan Jelajah Selangor Baharu – Selayang pada 11 Julai lalu di Selayang, Selangor.

Katanya, perintah injunksi interim terbabit difailkan Anwar semalam dan didengar pada hari sama di hadapan Mahazan yang memberikan perintah melalui aplikasi Zoom, dan ia diserahkan kepada peguam Sanusi hari ini.

Friday, July 21, 2023

Sanusi hantar notis tuntutan kepada Saifuddin

hmetro.com.my
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my
MUHAMMAD Sanusi sudah menghantar notis tuntutan kepada Saifuddin Nasution kerana didakwa memfitnahnya. FOTO Arkib NSTP

Sik: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu pihaknya sudah menghantar notis tuntutan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana didakwa memfitnahnya berhubung dua isu berasingan.

Beliau berkata, surat tuntutan itu berkaitan dakwaan Saifuddin bahawa beliau mencuri unsur nadir bumi (REE) di Kedah dan menuduhnya menggunakan peruntukkan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) sebanyak RM1.6 bilion untuk tujuan lain.

"Peguam saya sudah e-mel surat tuntutan itu malam ini, esok kita akan sampaikan notis tuntutan itu secara tangan kepada Saifuddin.

"Kalau dia tak jawab dalam tempoh diberikan kita akan mulakan proses saman , wajib dah saman, tak boleh biaq (biar) dah," katanya ketika berucap pada Himpunan Munajat Perdana di sini, malam tadi.

Ahad lalu, media melaporkan Muhammad Sanusi mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Saifuddin berhubung isu dana Marris dan REE.

Muhammad Sanusi berkata maklumat dinyatakan Menteri Dalam Negeri itu tidak benar kerana bersifat mengelirukan, berniat jahat untuk memfitnah dan bermotifkan politik.

Katanya, beliau mempunyai dokumen lengkap mengenai kesemua isu berkenaan dan menasihatkan Saifuddin tidak mencampuri urusan kementerian lain.

Saifuddin dalam kenyataan balasnya berkata bersedia untuk menghadapi sebarang tindakan undang-undang yang mahu diambil oleh Muhammad Sanusi berhubung isu dakwaan kecurian REE.

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan beliau mempunyai banyak bukti untuk menyokong dakwaan itu dan akan terus berdiri teguh dengan kenyataannya berhubung perkara itu.

Disiarkan pada: Julai 21,
2023

Tuesday, July 18, 2023

Ribuan rakyat Kedah sambut Sanusi di lapangan terbang

agendaily.com
18/07/2023
Antara penyokong yang menyambut ketibaannya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kedah sebentar tadi. Gambar Facebook.

Selepas ditahan awal pagi tadi dan didakwa dengan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Selayang, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tiba di Kedah sebentar tadi.

Kepulangan ADUN Jeneri itu disambut ribuan rakyat dan penyokong yang menanti ketibaannya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, sebentar tadi.

Malah ada antara mereka yang membawa bendera Perikatan Nasional (PN) sebagai tanda solidariti menyambut kepulangan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu.

Sebaik beliau tiba, laungan takbir bergema beberapa kali malah ada juga penyokong yang menanti Muhammad Sanusi di sepanjang jalan keluar dari lapangan terbang tersebut sambil melambai kepada rombongan kenderaan yang membawa beliau.

Ada juga yang mengibarkan bendera PN serta jalur gemilang.

Sokongan terhadap Muhammad Sanusi tidak terhenti di situ, pelbagai kata-kata semangat diberikan kepadanya oleh warga net di media sosial.

Muhammad Sanusi ditahan di sebuah hotel di Mont Kiara kira-kira jam 2.30 pagi oleh sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) dan Bahagian Jenayah Gangsterim (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Muhammad Sanusi didakwa di dua Mahkamah Sesyen Selayang pagi ini dengan dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan kerana mengkritik kerajaan campuran dan beliau mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan.

Penahanannya itu dikritik pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen kerajaan yang menyifatkan ia tidak wajar memandangkan beliau bukan pelarian hingga perlu ditahan pada tengah malam untuk didakwa beberapa jam kemudian.

Malah penggunaan Akta Hasutan ke atasnya juga dikritik beberapa pihak malah mereka mengingatkan kerajaan hari ini tentang pendirian mereka yang membantah akta tersebut ketika menjadi pembangkang sebelum ini.

Tujuan mereka nak jejaskan peluang pada PRN, takut kemaraan rakyat: Sanusi

agendaily.com
18/07/2023
Sanusi di luar kompleks Mahkamah Selayang pagi ini.

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor menyifatkan pendakwaan dua pertuduhan terhadapnya dibuat bertujuan untuk menjejaskan peluangnya daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedan 12 Ogos ini.

Menteri Besar Kedah itu berkata rakyat akan dapat memahami tindakan kerajaan campuran menggunakan pihak berkuasa untuk menekan musuh politiknya menjelang PRN tidak lama lagi dan takut berdepan kemaraan rakyat yang menolak kerajaan kakistokrasi.

“Tujuan mereka ialah untuk menjejaskan peluang saya dalam PRN.

“Saya yakin dengan pendakwaan ini, rakyat Malaysia memahami tujuan merek, hasrat sebenar mereka disegerakan pendakwaan ke atas saya ini dengan tiga hari siasatan saja,” katanya semasa sidang media sebaik didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pagi ini.

Sanusi juga menjelaskan sudah memberitahu untuk hadir ke mahkamah tetapi pihak polis masih mahu menangkapnya pada 3 pagi tadi dan ditahan sebelum dibawa untuk didakwa.

“Saya diambil tadi jam 3 pagi tanpa sebarang notis. Saya hanya mengetahui saya didakwa itu melalui media dan saya bersedia untuk menghadapi kes ini.

“Dan saya dah maklum kepada beberapa pihak bahawa saya akan hadir ke mahkamah pada pagi ini tapi mereka tetap nak buat tangkapan pada jam 3 pagi di apartment yang saya tinggal,” katanya lagi.

Menurut Sanusi, terdapat ramai peguam yang menawarkan untuk menjadi peguam belanya bagi menghadapi dua pertuduhan tersebut dan berterima kasih atas simpati semua pihak yang menyokongnya.

Sanusi turut membidas kerajaan campuran yang takut dengan kemaraan rakyat sehingga terpaksa menggunakan polis untuk menahan ahli politik yang tidak senada dengan mereka.

“Nampaknya Malaysia hari ini kita ada satu kerajaan yang takut, dia guna polis untuk tahan atau sekat ucapan-ucapan kita.

“Nampaknya ahli-ahli politik ini sudah bankrap menggunakan pihak berkuasa untuk menyekat kemaraan rakyat dan saya harap ini adalah satu petunjuk dan isyarat bahawa mereka sebenarnya dalam satu ketakutan dan segala agensi awam digunakan untuk menyekat kehangatan rakyat ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Sanusi didakwa mengikut dua pertuduhan dibawah Akta Hasutan kerana mengkritik kerajaan campuran.

Bagaimanapun, Sanusi membuat pengakuan tidak bersalah dan diminta dibicarakan di mahkamah.

Mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948, seseorang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan masing-masing jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Sanusi.

Mahkamah juga menetapkan 4 Okt untuk sebutan semula kes.

Sanusi mengaku tak salah tuduhan menghasut

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 18, 2023 9:41 AM
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di Kuala Lumpur atas satu pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Dia didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara - Kampung Bendahara, Gombak dekat Kuala Lumpur pada 11 malam, 11 Julai llalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, jurukamera dan pengamal media yang menunggu sejak jam 7 pagi gagal merakamkan gambar pemimpin PAS itu yang dibawa pihak polis menerusi laluan lokap mahkamah.

Adun Jeneri itu turut ditemani peguamnya, Shaharuddin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud.

Turut berada di pekarangan mahkamah adalah ahli Parlimen Jerlun, Abdul Ghani Ahmad, ahli Parlimen Besut, Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim.

Sementara itu, keadaan di sekitar bangunan mahkamah dilaporkan tenang dan terkawal dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan beberapa elemen pasukan termasuk polis trafik dan Pasukan Gerakan Am (PGA) lengkap dengan senjata raifal.

Ia turut dibantu dengan dron oleh Unit Dron PDRM yang melakukan pemantauan di lokasi.

Sanusi tiba di mahkamah bagi berdepan tuduhan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 18, 2023 9:21 AM
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tiba di Mahkamah Selayang di Kuala Lumpur pagi ini, bagi menghadapi pertuduhan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) dalam ceramah politiknya.

Muhammad Sanusi, 48, yang memakai kemeja putih dan berseluar hitam tiba di mahkamah pada 8.57 pagi.

Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah dilihat tenang dan tersenyum kepada pihak media ketika berjalan masuk ke bangunan berkenaan.
Sementara itu, petugas media daripada pelbagai agensi berita mula berkumpul sejak 7 pagi untuk membuat liputan kes berkenaan.

Menerusi hantaran di laman Facebook Muhammad Sanusi, beliau ditahan polis kira-kira 3 pagi tadi di sebuah hotel di sini dan dibawa menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

Media baru-baru ini melaporkan ucapan Muhammad Sanusi pada satu ceramah politik di Selangor dikatakan menghina institusi diraja Selangor.

Muhammad Sanusi dalam video ucapannya yang tular dikatakan menghina Sultan Selangor ketika membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Susulan itu, pelbagai pihak tampil membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
Pada 13 Julai, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada sidang media khas berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional itu berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R dalam ceramah politiknya.

Razarudin berkata siasatan berkaitan 3R itu dibuat mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

- Bernama

Polis tahan Sanusi jam 3 pagi tadi

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 18, 2023 8:19 AM
Polis dilaporkan telah menahan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di sebuah hotel di Kuala Lumpur awal pagi ini.

Menurut portal Berita Harian, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan penahanan itu oleh sepasukan polis dari USJT dan D7, JSJ Bukit Aman.

Sanusi dikatakan ditahan ketika berada dalam sebuah bilik di tingkat 33A, di hotel berkenaan.

Sebelum ini, tular di media sosial berita penahaan Sanusi susulan rakaman sebuah video daripada seorang pegawai Adun Jeneri itu, Helmi Khalid mengenai tahanan berkenaan.

Sanusi kemudiannya dilaporkan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(A) Akta Hasutan 1948.

Menurut Helmi, Sanusi ketika itu baharu sahaja pulang dari mesyuarat Perikatan Nasional (PN).

Menurut kronologi ditunjukkan itu, pada jam 2.30 pagi, lebih kurang 20 anggota polis berada di luar pintu bilik penginapan Sanusi.

“YAB MB dibawa keluar dari bilik penginapan ke bawah. YAB diarah menaiki sebuah MPV menuju ke Balai Polis IPD Gombak,” dakwanya.

Berdasarkan maklumat laman sesawang mahkamah, nama Sanusi tertera dan dia dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang pada pukul 9 pagi, pagi ini.

Prosiding pendakwaan akan dilakukan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Media sebelum ini melaporkan, Sanusi dalam satu siri ceramah anjuran Perikatan Nasional (PN) mengeluarkan kenyataan yang menghina Sultan Selangor.

Menerusi video itu, pemimpin PAS itu turut didakwa memperlekehkan pelantikan Menteri Besar, Amirudin Shari.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima 31 laporan di seluruh negara membabitkan kenyataan Sanusi yang didakwa mempertikai kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor.

Monday, July 17, 2023

Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang esok

hmetro.com.my
Wartawan HM
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dijangka akan didakwa di dua Mahkamah Sesyen Selayang, esok.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dipercayai akan didakwa berhubung kenyataan mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.

Menerusi semakan sistem dalam talian mahkamah terdapat nama Muhammad Sanusi Md Nor yang akan didakwa di dua mahkamah sesyen berbeza di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh.

Pendakwaan terhadap Sanusi ditetapkan untuk didengar pada jam 9 pagi.

Dalam ucapannya yang tular, pemimpin Pas itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.

Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor.

Sementara itu, Muhammad Sanusi ketika dihubungi mengesahkan belum menerima apa-apa maklumat berhubung perkara itu.

"Saya belum ada maklumat lagi," katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Muhammad Sanusi berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja), dalam ceramah politiknya baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan berkenaan kes itu, dijangka mengambil masa selama tujuh hari.

Siasatan berkaitan 3R berkenaan, dilakukan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, Muhammad Sanusi ketika dihubungi memberitahu beliau belum menerima maklumat berkaitan pendakwaan di mahkamah ke atas dirinya.

Sunday, July 16, 2023

Fitnah kecurian REE, Sanusi akan saman Menteri KDN

agendaily.com
17/07/2023
Sanusi mahu menyaman Saifuddin Nasution kerana menfitnahnya.

Tindakan undang-undang termasuk menyaman akan diambil Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE).

Menteri Besar Kedah itu menyifatkan kenyataan Saifuddin tersebut satu fitnah, malah dalam surat kompaun yang didakwa tidak mempunyai namanya tetapi nama individu lain yang menceroboh tanah dan mencuri sumber galian tersebut.

“Satu permit penggunaan telah dikeluarkan atas nama MBI (Perbadanan Menteri Besar) yang melantik satu syarikat usaha sama untuk membangunkan ladang hutan, bukan syarikat tersebut yang dikompaun.

“Yang dikompaun adalah pihak ketiga yang menceroboh dan melakukan kegiatan mencuri (REE). Dalam dokumen Pejabat Tanah dan Galian (PTG) terdapat nama individu yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965.

“Untuk tuduhan yang tidak benar ini saya telah mengarahkan pegawai saya untuk membuat laporan polis dan tindakan undang-undang akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang, tak kira menteri tak menteri, saya akan saman.

“Tapi menuduh saya mencuri itu ‘clear cut’, saya akan mengambil tindakan undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Geran Tanah hari ini.

Sanusi berkata maklumat dinyatakan Menteri Dalam Negeri itu tidak benar kerana bersifat mengelirukan, berniat jahat untuk memfitnah dan bermotifkan politik.

Sanusi berkata demikian bagi mengulas dakwaan Saifuddin yang menyatakan beliau dikompaun RM500,000 kerana kesalahan mencuri REE.

Semalam, Saifuddin dalam ceramah di Guar Chempedak, Gurun, berkata denda itu dikeluarkan tahun lalu oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah ke atas Muhammad Sanusi atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi MBI Kedah.

TikTok dipadam, Sanusi dakwa M'sia nak jadi Korea Utara

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 16, 2023
Selepas akaun TikTok miliknya dipadam, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Malaysia sedang bergerak menjadi seperti negara Korea Utara di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, ia akan menyebabkan pihaknya sukar untuk menjawab mengenai isu-isu semasa dan serangan dilemparkan pihak lawan Perikatan Nasional (PN).

“Selepas daripada ini akan datang kepada tuan-tuan berita-berita yang sangat mengerikan, sangat menakutkan. Hari ini saja saya kena ‘tembak’ lima kali.

“Macam-macam kes, kes banglo, kes itu kes ini, malam ini kes REE (nadir bumi) pula. Semua itu ada jawapan, tapi depa (mereka) padam TikTok saya.

“Buka TikTok tengok dah tak ada. Kita baru tengah popular kan, tapi itulah medan kita nak jawab habislah. Kita tak boleh masuk televisyen depa tak bagi, tak boleh masuk radio.

“Kita pakai TikTok dengan Facebook saja. Facebook budak-budak tak tengok dah sekarang mereka kata itu untuk orang tua,” katanya dalam satu rakaman video dimuat naik Twitter HakarahDaily, hari ini.

Dia memaklumkan perkara itu melalui hantaran ringkas di Facebook, malam tadi.

“Darai dah barai,” katanya ringkas disusuli tangkap layar yang akaun TikTok berkenaan.

Perkataan ‘darai’ digunakan Sanusi itu merupakan slanga atau dialek Kedah membawa maksud ‘seorang lelaki berperawakan atau berpakaian seperti wanita’, manakala ‘barai’ difahamkan membawa maksud ‘musnah atau hancur lebur’.
Semakan Malaysiakini mendapati akaun TikTok milik Sanusi masih ada namun segala hantaran yang dibuat sebelum-sebelum ini sudah tidak dapat diakses.

Sanusi antara lain turut berkata, pihak kerajaan takut terhadap kebebasan media.

“Takutnya mereka kepada media yang bebas, mereka padam habis, 5.2 juta (kesukaan) dah koman-koman pun, pengikut pun berjuta juga.

“Nak buat (akaun) lain nak cari seorang-seorang (pengikut) payah juga kan? Lambat. Itulah zaman pemerintahan PH ini, negara Malaysia sedang bergerak menjadi Korea Utara.

“Korea Utara ini negara komunis, dia sekat semua media tak bagi rakyat tahu apa-apa, dengar dan patuh saja,” ujarnya.

Terdahulu Sanusi terpalit dengan dakwaan menghina Sultan Selangor yang dilihat membandingkan pelantikan menteri besar di Kedah - merujuk kepada dirinya sendiri - dengan Selangor dan mengaitkan proses itu dengan pihak istana kedua-dua negeri.

Dalam ucapan sama, timbalan pesuruhjaya PAS Kedah itu juga melabel menteri besar sementara Selangor Amirudin Shari sebagai ahli politik cokia.

Ia mengundang protes pelbagai pihak. Media melaporkan lebih 30 laporan polis dibuat ke atas Sanusi.

Selain itu Ahli Dewan Diraja Selangor pula merujuk Pengarah Pilihan Raya PAS dan PN itu kepada polis.

Dalam aduannya, ahli Dewan Diraja Selangor Mohamad Adzib Mohd Isa menganggap kenyataan dibuat Sanusi beberapa hari lalu sebagai sangat tidak bertanggungjawab.

Ia juga katanya boleh mencetuskan keresahan dan kekecohan dalam kalangan masyarakat khususnya di Selangor sekali gus meminta supaya pihak berkuasa menyekat media sosial milik Sanusi.

Saturday, July 15, 2023

Sanusi mohon ampun pada Sultan Selangor, dakwa ucapan diputarbelit

malaysiakini.com

Diterbitkan: Jul 15, 2023 9:30 AM
Menteri Besar sementara Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memohon ampun dan maaf kepada Sultan Selangor berhubung kenyataannya baru-baru ini yang didakwa menghina baginda.

Pemimpin PAS itu bagaimanapun mendakwa kenyataannya diputarbelitkan oleh musuh politiknya.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasminya, Sanusi berkata permohonan maaf itu disampaikan melalui warkah yang dihantar kepada istana Selangor dan dibaca oleh baginda semalam.

"Sebaik mengetahui ucapan saya telah dispin (diputar belit untuk menimbulkan kefahaman yang salah) oleh agen-agen Pakatan Harapan /Barisan Nasional (PH/BN), saya telah mengutuskan warkah ke hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Selangor, untuk menjelaskan konteks, maksud sebenar dan medan yang tercangkup daripada ucapan yang telah sengaja diputar belit itu.

"Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan baginda Tuanku Sultan bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu,” kata Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN.

[Berita penuh menyusul]

Wednesday, July 12, 2023

Sanusi terbuka jalin semula hubungan dengan UMNO

ismaweb.net
Ainul Illia

Jangan kerap serang kerana esok mungkin berkawan lagi

KUALA LUMPUR, 23 Zulhijjah 1444H, Rabu – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu UMNO bahawa beliau terbuka untuk menjalinkan semula persahabatan antara kedua-dua parti.

Menteri Besar Kedah itu, yang menjadi tetamu dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan, berkata, beliau masih terbuka dengan idea untuk menjalinkan semula persahabatan dengan rakan sekutu itu.

“Saya masih ingatkan rakan-rakan yang menjadi pemimpin UMNO supaya jangan terlalu menyerang (kami) kerana esok mungkin berkawan lagi. Saya masih terbuka untuk itu.

“Muafakat Nasional boleh dihidupkan semula,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga menyalahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas keruntuhan Muafakat Nasional – kerjasama antara UMNO dan PAS.

“Muafakat rebah kerana dia. Dia (hancurkan) supaya dia boleh bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya merujuk kepada kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak bermusuh dengan ‘rakan’ UMNO yang pernah bersama PAS di Muafakat Nasional, sambil menambah bahawa mereka hanya mengikut keputusan ‘bos’ mereka.

Beliau menegaskan, asas Muafakat Nasional adalah perpaduan ummah dan bukannya PAS dan UMNO.

“Sesiapa yang mahu bersatu dengan ummah dialu-alukan, termasuk Bersatu,” katanya.

Selepas kekalahan bersejarah dalam Pilihan Raya Umum 2018, UMNO dan PAS menandatangani piagam kerjasama yang dipanggil Muafakat Nasional untuk memerangi musuh bersama mereka, Pakatan Harapan.

Ia ditandatangani dengan penuh semangat oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan rakan sejawatannya dari UMNO, Ahmad Zahid pada perhimpunan di Kuala Lumpur pada 14 September 2019.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), UMNO meletakkan tiga syarat kepada PAS jika mahu bekerjasama dengan mereka untuk pilihan raya negara.

Ini termasuk PAS meninggalkan Perikatan Nasional dan memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu

 Ismaweb.net.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-