Wednesday, August 23, 2023

‘Lain tempat lain budaya, lepuk ini tanda kemesraan, keakraban’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 23, 2023
Seorang pemimpin PAS Terengganu tampil mempertahankan tindakan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang “melepuk” kepala seorang remaja wanita dengan sehelai kertas.

Menurut Adun Jabi, Azman Ibrahim, bagi sesetengan budaya tindakan lebih "keras" digunakan sebagai tanda “kemesraan dan keakraban”.
Azman Ibrahim
“Di Iraq kawan-kawan bergurau katok palo (kepala) kita ngan (dengan) kasut terus. Kita ok je.

“Lain tempat lain budaya. Kalau mari Terengganu dengar dialog (be)gini, ini tanda kemesraan dan keakraban.

"Lama dok (tidak) jupe (jumpa) nnatang ni! Mung (Kamu) gi (pergi) mane (mana)??" ciapnya di media sosial X.

Istilah nnatang merujuk kepada binatang, tetapi lazimnya digunakan semasa bergurau dengan kawan-kawan yang rapat.

"Mungkin di Kedah, katok palo ngan kertas itu tanda kemesraan,” ciapnya.

Azman mengimbas semasa zaman pelajarnya di Universiti Malaya pada awal 90-an, apabila perbezaan dialek menimbulkan kekeliruan dengan rakan sebiliknya dari Johor.

“Suatu pagi dia tanya, sebab apa tak kemas tempat tidur?

“Ambe jawab, saya gaduh sikit pagi takdi (tadi).

“Terkejut kawan ni, takkan tanya begitu pun dah nak ajak bergaduh!” tulisnya lagi.

Dalam loghat Kedah, gaduh merujuk kepada keadaan tergesa-gesa atau kesuntukan masa.
Awal minggu ini, Sanusi dikritik berhubung video yang memaparkannya dia melepuk kepala seorang remaja dengan sehelai kertas yang bergulung, sambil diketawakan oleh mereka di sekeliling.

Sanusi kemudian mempertahankan perbuatannya itu, dan berkata dia secara berseloroh menegur pelajar itu kerana lewat mengemukakan surat permohonan bantuan sehari sebelum dia sepatutnya memasuki politeknik.

Dia kemudian bergambar dengan wanita itu, menyerahkan sekeping kertas yang berbeza.

Sanusi berada di Kampung Budi, Pokok Sena pada hari Sabtu lalu untuk menyampaikan bantuan wang tunai dan keperluan kepada 60 penduduk kampung miskin tegar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-