Friday, August 25, 2023

UMNO dan Amanah diperalatkan DAP untuk menentang PAS: Hadi

agendaily.com
25/08/2023
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Dua parti Melayu, UMNO dan Parti Amanah sedang diperalatkan DAP supaya menyerang PAS tanpa mereka sedari, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu mendakwa DAP menggunakan strategi Inggeris dengan menjadikan bangsa yang dijajah Gurkha sebagai tentera barisan hadapan bagi menentang musuh.

Ujarnya, UMNO bersama Parti Amanah digunakan sebagai askar ‘Gurkha’ untuk melawan parti sebangsa dan seagama.

Jelasnya, Parti Amanah ditubuhkan dan bersama dalam Pakatan Harapan (PH) sehingga diletakkan sebagai calon bagi menentang PAS khususnya di kawasan campuran yang mempunyai pendukung DAP.

Pemimpin Parti Amanah juga diberikan tempat dalam Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan setelah PH berjaya menubuhkan kerajaan.

Bukti Amanah menjadi Gurkha DAP apabila calon parti itu mendapat undi hampir 100 peratus daripada kalangan penyokong DAP dan sedikit undi tambahan daripada orang Melayu yang ‘pening akalnya’ atau yang dapat dibeli.

Malahan, Hadi berkata Parti Amanah juga menjadi jurucakap DAP bagi menyerang PAS.

“PAN (Parti Amanah) cukup berjasa kepada DAP, sehingga sanggup menjadi benteng pertahanannya yang tidak perlu diarah kerana berjaya mendapat tarbiah yang mencapai tahap wala’ kepada DAP, laksana askar Gurkha dalam tentera British.

“Adapun mereka memakai unifom berceloreng Islam dan Melayu walaupun terkoyak lusuh bagi menjimatkan belanja.

“Malah, mereka menggunakan senjata tiruan yang berjenama Islam. Antaranya dengan menunjukkan amar ma‘ruf dan nahi munkar yang sangat nyata koyaknya,” kata Hadi menurut laporan MalaysiaGazette.

UMNO pula didakwa telah terkeluar daripada dasar dan landasan asal perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air merupakan Gurkha baharu DAP.

Katanya, ada dalam kalangan UMNO kini menjadi tentera pelatih Gurkha sehingga meletakkan ‘kedua-dua belah kaki’ untuk bersama DAP dan PKR dengan penuh wala’.

“Kenyataan beberapa pemimpin tertinggi UMNO yang cuba mempertahankan DAP telah menunjukkan berlakunya proses latihan (eksesais) untuk menjadikan UMNO sebagai anggota baharu dalam pasukan Gurkha DAP.

“Sehinggakan, pemimpin itu terpaksa melakukan kempen betapa perlunya UMNO bersama DAP dengan alasan parti itu telah menerima Islam dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk hak istimewa bangsa Melayu dan bumiputera,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-