Fahmy A Rosli
am@hmetro.com.my
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. FOTO Arkib NSTP
Kuala Lumpur: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin gabungan parti itu mampu menjadi dominan dan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sekali gus wakil gabungan itu dapat diangkat memimpin Putrajaya sebagai perdana menteri.
Bagi mencapai matlamat itu, beliau berkata ia memerlukan komitmen mantap dan berterusan daripada ahli dan rakan komponen BN untuk menghadapi cabaran yang sedang ditempuhi sekarang.
"PRU16 nanti kita akan jadi dominan semula dalam pentas politik tanah air.
"Saya nampak cahaya yang sangat cerah di hujung terowong politik negara. Teruskan berjalan sampai ke hujung terowong.
"Ini kerana kita sedang menghadapi ujian. Jadi jangan mengalah dengan ujian ini," katanya ketika berucap merasmikan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Dalam masa sama, beliau juga yakin wakil BN dapat diangkat sebagai perdana menteri jika parti itu dapat menguasai pada PRU akan datang.
"Ramai tanya sampai bila UMNO-BN nak jadi TPM (Timbalan Perdana Menteri).
"Jawapan saya bila kita dapat kerusi lebih daripada gabungan lain," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid mendedahkan beliau secara peribadi pernah diarahkan membayar cukai pendapatan sebanyak RM13 juta sewaktu Lim Guan Eng menjadi menteri kewangan.
Dakwa presiden UMNO itu, arahan untuk membayar cukai pendapatan sebanyak itu dikenakan kerana Guan Eng sangat membenci UMNO dan BN.
Ketika itu, Guan Eng memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung DAP sewaktu Pakatan Harapan (PH) mentadbir Putrajaya di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
"Saya sendiri secara peribadi dikenakan cukai pendapatan sebanyak RM13 juta, padahal saya sudah membayar potongan setiap bulan.
"Kerana ketika itu menteri kewayangan (kewangan) dalam kerajaan PH 1.0 sangat benci kepada UMNO, sangat benci kepada BN.
"Saya tidak pernah berkongsi perkara ini sebelum ini," katanya dalam ucapan sama.
Disiarkan pada: September 2, 2023 @ 7:45pm
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.