Thursday, September 14, 2023

‘Jangan hukum rakyat dengan nafikan dana ke MP pembangkang’

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan: Sep 14, 2023
PARLIMEN l Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa bahawa Putrajaya mahu menghentikan pembinaan dewan serbaguna di empat sekolah di kawasannya berikutan keputusannya menarik diri daripada gabungan kerajaan.

Dalam ucapan perbahasannya, Syed Saddiq memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa adalah tidak adil jika pelajar dan guru dihukum atas isu politik.

“Di Muar (kerajaan) telah luluskan pembinaan empat dewan baru. (Infrakstruktur ini) bukan milik Syed Saddiq (tapi) milik cikgu, PIBG sekolah dari satu generasi ke generasi lain.

“Saya dengar kerana saya memilih pihak pembangkang, walau perkara ini dah dilulus berbulan-bulan yang lepas, ada ura-ura bahawa mereka ingin menyekat dan memberhentikan pembinaan dewan baru ini.

“Adakah kerajaan Madani pada hari ini ingin menghukum cikgu, anak-anak muda daripada keluarga miskin yang inginkan infrastruktur asas ini? Ini tak adil,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Syed Saddiq, yang juga adalah presiden Muda, pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Wakil rakyat Muar itu memutuskan untuk menarik balik sokongannya awal minggu ini, tetapi menegaskan Muda akan menjadi kuasa ketiga di parlimen dan bukannya menyertai blok pembangkang Perikatan Nasional.

Dalam ucapannya, Syed Saddiq mengingatkan kerajaan bahawa mereka tidak akan sentiasa berkuasa dan dengan itu harus adil dalam mengagihkan dana kepada ahli Parlimen.

“Betulkan sistem ini sebelum terlambat. Ingat, politik itu ada naik dan turun. hari ini kita pembangkang, esok kita kerajaan.

“Jikalau kamu dikenakan seksaan yang sama, adakah kamu suka perkara ini? Dengar, ingat, cermin diri sendiri dahulu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-