Showing posts with label Syed Saddiq. Show all posts
Showing posts with label Syed Saddiq. Show all posts

Saturday, March 8, 2025

Syed Saddiq dijangka terima peruntukan Parlimen

bharian.com.my
Oleh Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my
 - Mac 8, 2025 @ 4:05pm
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Gambar fail

KUCHING: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka menerima peruntukan untuk kawasan Parlimennya berikutan kesediaan kerajaan mempertimbangkan permohonannya itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata secara prinsipnya, Syed Saddiq bersetuju dengan beberapa syarat yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya dalam fasa akhir menyiapkan draf perjanjian dengan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

"Insya-Allah selesai untuk Syed Saddiq (bakal terima peruntukan) kerana hanya beliau saja yang memberi maklum balas dengan berjumpa dan mengemukakan surat rasmi," katanya selepas Majlis Agihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Kompleks Sukan Satok, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Fadillah menggesa Ahli Parlimen pembangkang tampil mengemukakan cadangan terlebih dulu bagi membolehkan jawatankuasa pengagihan peruntukan ditubuhkan.

Katanya, penubuhan jawatankuasa khas penting bagi menyelesaikan isu berkaitan agihan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang secara lebih konsensus dan menyeluruh.

Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mengumumkan menolak draf memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang kerana mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan.

Pembangkang mendakwa, cadangan MoU itu juga bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama, boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.

Terbaru, pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Syed Saddiq mengaku terpaksa menjadi model baju raya sebuah jenama fesyen bagi mendapatkan sumbangan untuk pengundi di kawasan Parlimennya.

Beliau berkata, ia susulan usahanya bagi mendapatkan peruntukan daripada kerajaan masih belum menemui hasil.

Fadillah berkata, kerajaan juga sedang menunggu maklum balas pihak pembangkang bagi menyediakan surat cadangan untuk diteliti bagi menubuhkan jawatankuasa pada peringkat kerajaan dan juga pembangkang.

"Tetapi setakat ini pihak pembangkang masih belum memberi maklum balas kecuali Syed Saddiq," katanya.

Thursday, September 21, 2023

Jangan ‘bakar jambatan’ dengan Muda, Hassan beritahu kerajaan perpaduan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
- 21 Sep 2023

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim perlu tahu membezakan pembangkang yang konstruktif dan destruktif.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, perdana menteri, PH dan kerajaan madani semestinya tidak perlu diajar tentang bagaimana menangani pertentangan.

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen PKR meminta kerajaan tidak memutuskan hubungan dengan Muda yang diperlukannya bagi mendapatkan sokongan dua pertiga untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, termasuk berhubung pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim perlu tahu membezakan pembangkang yang konstruktif dan destruktif, apabila Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tegas menyokong usaha Putrajaya melakukan perubahan berkenaan.

“Muda bukannya parti pembangkang kini bersifat destruktif yang membangkang hanya kerana mahu membangkang. Kerana itu PH khususnya jangan membakar jambatan dengan Muda,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Syed Saddiq juga tidak mengikut Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang keluar Dewan beramai-ramai ketika ucapan penggulungan perdana menteri mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) walaupun peruntukannya sebagai Ahli Parlimen Muar ditarik.

“Perdana menteri, PH dan kerajaan madani tentu tidak perlu diajar tentang bagaimana untuk menangani kontradiksi atau pertentangan.

“Kontradiksi antara PH dengan Muda adalah kontradiksi yang bersifat air dicincang tidak akan putus; atau carik-carik bulu ayam, lambat laun bercantum juga.

“Kontradiksi ini adalah kontradiksi non-antagonistik,” katanya.

Pada 10 Sept, Syed Saddiq secara rasmi keluar daripada blok kerajaan untuk “kuasa ketiga” sebagai protes terhadap keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno Zahid Hamidi, yang juga timbalan perdana menteri

Monday, September 18, 2023

Syed Saddiq: Ini kerajaan 'Nato - no action, talk only'

malaysiakini.com
Haspaizi Zain & Hariz Mohd
Diterbitkan: Sep 18, 2023 
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melabelkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai "kerajaan nato" - no action, talk only - kerana menurutnya gagal melaksanakan reformasi yang dijanjikan sebelum ini.

"Reformasi asas yang dijanjikan sejak Januari lalu masih tidak dibuat.

"Realitinya ini kerajaan 'nato' - no action, talk only. Kata nak (anggota kabinet) isytihar harta, sudah lapan bulan tak isytihar lagi.

"Kata nak bagi peruntukan adil dan saksama, selepas beberapa bulan kosong. Kata nak lawan rasuah dan tak nak gugurkan kes (pendakwaan), ia berulang lagi.

"Kita dengar perkataan tata kelola pun orang dah tahu itu penipuan," kata Syed Saddiq pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Syed Saddiq mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said behubung pembaharuan yang akan dilakukan kerajaan dalam sistem perundangan, termasuk pemisahan kuasa antara peguam negara dengan pendakwa raya.
Kerajaan pimpinan Anwar adalah kerajaan "walk the talk" (melaksanakan kata-kata) dalam melakukan agenda pembaharuan, kata Azalina ketika sesi penggulungan bagi sidang khas Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada Julai lalu, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) bersetuju untuk memperkenalkan semula pengisytiharan aset bagi anggota pentadbiran kerajaan.

Ia selepas format baru yang lebih komprehensif bagi pelaporan pengisytiharan harta ditambah baik, kata Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan.

Mengulas lanjut Syed Saddiq berkata dia terbuka untuk memberi sokongan kepada kerajaan jika pembaharuan yang memberi manfaat kepada rakyat memerlukan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.

Justeru, dia berkata kerajaan tidak perlu menggunakan alasan tiada sokongan dua pertiga untuk melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan.

"Saya dah beri komitmen dari awal kalau pembaharuan perlu sokongan tambahan, saya akan beri komitmen untuk menyokong.

"Jangan berselindung di sebalik ketiadaan sokongan politik atau ketidakstabilan...Kalau diikutkan sokongan di Parlimen, ini kerajaan paling stabil sejak berdekad-dekad lamanya," dakwanya.

Thursday, September 14, 2023

‘Jangan hukum rakyat dengan nafikan dana ke MP pembangkang’

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan: Sep 14, 2023
PARLIMEN l Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa bahawa Putrajaya mahu menghentikan pembinaan dewan serbaguna di empat sekolah di kawasannya berikutan keputusannya menarik diri daripada gabungan kerajaan.

Dalam ucapan perbahasannya, Syed Saddiq memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa adalah tidak adil jika pelajar dan guru dihukum atas isu politik.

“Di Muar (kerajaan) telah luluskan pembinaan empat dewan baru. (Infrakstruktur ini) bukan milik Syed Saddiq (tapi) milik cikgu, PIBG sekolah dari satu generasi ke generasi lain.

“Saya dengar kerana saya memilih pihak pembangkang, walau perkara ini dah dilulus berbulan-bulan yang lepas, ada ura-ura bahawa mereka ingin menyekat dan memberhentikan pembinaan dewan baru ini.

“Adakah kerajaan Madani pada hari ini ingin menghukum cikgu, anak-anak muda daripada keluarga miskin yang inginkan infrastruktur asas ini? Ini tak adil,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Syed Saddiq, yang juga adalah presiden Muda, pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Wakil rakyat Muar itu memutuskan untuk menarik balik sokongannya awal minggu ini, tetapi menegaskan Muda akan menjadi kuasa ketiga di parlimen dan bukannya menyertai blok pembangkang Perikatan Nasional.

Dalam ucapannya, Syed Saddiq mengingatkan kerajaan bahawa mereka tidak akan sentiasa berkuasa dan dengan itu harus adil dalam mengagihkan dana kepada ahli Parlimen.

“Betulkan sistem ini sebelum terlambat. Ingat, politik itu ada naik dan turun. hari ini kita pembangkang, esok kita kerajaan.

“Jikalau kamu dikenakan seksaan yang sama, adakah kamu suka perkara ini? Dengar, ingat, cermin diri sendiri dahulu,” katanya.

Tuesday, September 12, 2023

‘Serangan pertama’ Syed Saddiq, gelar Ahli Parlimen kerajaan hipokrit

bebasnews.my
By Editor
-12/09/2023

Ahli Parlimen Muar itu bangun menyerang Ahli Parlimen kerajaan dengan mengingatkan pendirian mereka ketika menjadi pembangkang.
Ahli Parlimen Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata mahu kes Zahid Hamidi dilepas tanpa bebas (DNAA) dibawa ke Parlimen. (Gambar Bernama) - FMT

PETALING JAYA — Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan Ahli Parlimen blok kerajaan sebagai hipokrit selepas isu Presiden Umno Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) tidak dapat dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Syed Saddiq berkata, keadaan tersebut berbeza ketika Ahli Parlimen kerajaan berada di blok pembangkang sebelum ini yang telah membangkitkan isu 1MDB dan serangan terhadap peguam negara, pada 2015.

“Pada tahun 2015, (seramai) 70 Ahli Parlimen di dalam dewan ini sendiri di blok pembangkang ingin bicarakan soal keputusan hakim di mahkamah, sebelum itu keputusan 1MDB, serangan ke atas peguam negara semua boleh mereka bangkitkan.

“Kini bila berada di kedudukan kerajaan…hipokrit,” katanya di Dewan Rakyat.

Menurut Syed Saddiq, sekiranya suara Ahli Parlimen dibisukan serta tidak boleh mengkritik kerajaan tanpa “sangka jahat”, beliau mempersoalkan bagaimana mereka hendak membangkitkan isu rakyat.

Semalam, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul ketika mempengerusikan mesyuarat khas mengumumkan usul Wan Fayhsal Wan Kamal (PN-Machang) untuk mendapatkan penjelasan peguam negara ditolak, namun beliau akan diberi ruang bercakap mengenainya selepas usul kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 dikemukakan. – FMT

Sumber asal — https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/09/12/syed-saddiq-gelar-ahli-parlimen-kerajaan-hipokrit/

— BebasNews

Monday, September 11, 2023

ULASAN l Tiga langkah positif Muda tinggalkan kerajaan Anwar

malaysiakini.com
Ong Kian Ming
Diterbitkan: Sep 11
ULASAN l Keputusan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memilih untuk tidak sehaluan dengan kerajaan perpaduan mahupun blok pembangkang Perikatan Nasional (PN), perlu dilihat secara positif dari perspektif Kerajaan Perpaduan atas sebab-sebab berikut.

Pertama, dengan kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat selepas pemergian Syed Saddiq, kerajaan perpaduan tidak boleh lagi dijadikan tebusan oleh seorang atau dua individu untuk kelulusan mana-mana pindaan perlembagaan – seperti cadangan pindaan kepada Bahagian II Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara kewarganegaraan atau menukar bilangan kerusi parlimen yang timbul hasil daripada persempadanan semula.

Saya merujuk bukan sahaja kepada Syed Saddiq tetapi juga kepada dua ahli parlimen dari MCA, seorang ahli parlimen dari MIC, dan segelintir ahli parlimen dari parti-parti kecil di Sabah dan Sarawak, yang mungkin ingin mendapatkan habuan atau konsesi tertentu daripada perdana menteri sebagai pertukaran untuk sokongan dalam menyokong pindaan perlembagaan ini.

Sebaliknya, kerajaan perpaduan perlu mendapatkan konsensus yang meluas, baik daripada semua pihak dari dalam kerajaan perpaduan mahupun daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) mengenai perkara-perkara seperti persempadanan semula yang bermula pada 2026.

Meskipun beberapa pemimpin PN mahu pengundi di Pulai menafikan majoriti dua pertiga kepada kerajaan perpaduan untuk menghentikan mewujudkan lebih banyak kerusi parlimen dalam persempadanan semula, realitinya, PAS dan sedikit sebanyak, pemimpin Bersatu juga tidak kisah pun jika ada pertambahan kerusi parlimen di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, yang tidak pernah disaksikan sejak 1995.

Kedua, kehilangan majoriti dua pertiga boleh membuka pintu untuk kerajaan perpaduan supaya menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pembangkang.

Antaranya, termasuk untuk menyokong rang undang-undang kerajaan tertentu seperti Akta Pembiayaan Politik yang akan menginstitusikan peruntukan dana seimbang untuk kerajaan dan juga ahli parlimen pembangkang.
Hasil niat baik ini mungkin menyaksikan pembangkang tidak lagi membuat sebarang cubaan untuk menggantikan kerajaan menerusi cara pintu belakang atau bukan melalui pilihan raya dan juga menetapkan laluan ke arah pembaharuan yang lebih substantif yang disokong oleh kedua-dua belah pihak.

Ketiga, penjajaran baharu Muda akan menamatkan persoalan mengapa Syed Saddiq menyerang kerajaan berhubung keputusan tertentu sedangkan dia sebelum ini adalah penyokong kerajaan.

Sekarang garis politik telah dilukis, ini juga bermakna DAP tidak perlu lagi menyokong Muda seperti mana mereka menyokong Syed Saddiq di Muar semasa kempen PRU15 dan di kerusi DUN Puteri Wangsa semasa pilihan raya negeri Johor pada Januari. 2022.

Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Syed Saddiq dan Muda dalam usaha mereka menjadi kuasa ketiga dalam politik Malaysia. Saya berharap dia dan rakan-rakannya dalam Muda dapat memainkan peranan mereka dalam menghasilkan dasar yang boleh dipercayai dan substantif tentang cara menambah baik proses kerajaan dan pentadbiran di peringkat tempatan, negeri dan persekutuan.

ONG KIAN MING adalah bekas ahli parlimen Bangi. Dia juga pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri semasa era Pakatan Harapan.

Dia adalah pemegang PhD sains politik Universiti Duke, Amerika Syarikat dan pernah menjadi penganalisis dasar Sosioekonomi Pembangunan dan Penyelidikan (Sedar) dan Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (Insap).
Ong juga bekas perunding bersekutu untuk Boston Consulting Group–salah satu daripada tiga syarikat perunding pentadbiran global paling besar di dunia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Sunday, September 10, 2023

Syed Saddiq keluar kerajaan, kata sumber Muda

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
10 Sep 2023

Tindakan presiden Muda itu susulan ketidakpuasan hati terhadap keputusan perbicaraan rasuah Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi baru-baru ini.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka membuat pengumuman rasmi lewat hari ini.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman keluar daripada kerajaan perpaduan, menurut sumber.

Tindakan presiden Muda susulan ketidakpuasan hati terhadap keputusan mahkamah 4 Sept lalu, melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Seorang pemimpin Muda yang enggan dikenali memberitahu FMT, parti itu tidak akan mengadakan rundingan lagi dan akan keluar daripada gabungan pemerintah.

“Muda tidak akan berunding lagi dengan kerajaan. Syed Saddiq akan mengumumkan perkara itu lewat hari ini,” katanya.

Parlimen akan bersidang esok untuk membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12.

Selasa lalu, Syed Saddiq berkata tidak teragak-agak untuk menilai semula kedudukan Muda dalam kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, keputusan kes Zahid “melanggar garis merah” dan menggesa tuntutan dibuat Muda diambil tindakan segera oleh kerajaan.

Tuntutan itu adalah penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara, memisahkan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, dan mahu Zahid didakwa segera.

Sumber itu menambah, keputusan untuk menarik sokongan daripada kerajaan perpaduan sudah diputuskan lebih awal, namun mendapat tentangan sebahagian ahli majlis pimpinan pusat.

“Sebab itu pengumuman (keluar blok kerajaan) tangguh,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung, DAP Loke Siew Fook, mengingatkan Syed Saddiq kemenangan satu-satunya kerusi Parlimen Muda adalah kerana ihsan Pakatan Harapan, yang sanggup memberikan enam kerusinya kepada parti itu pada PRU15.

Monday, July 17, 2023

PM kata Kabinetnya bersih, adakah kes rasuah skala besar akan digugurkan?

agendaily.com
17/07/2023
Syed Saddiq melahirkan keraguan terhadap kenyataan Anwar yang menegaskan Kabinetnya bersih tidak terpalit rasuah.

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiada menteri dalam Kabinetnya terpalit rasuah seolah-olah memberi isyarat kes membabitkan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan digugurkan.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa kenyataan itu memberi persepsi salah terutamanya ketika Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berada di bawah kuasanya.

“Malah perdana menteri ini juga melantik Peguam Negara serta Ketua Pesuruhjaya SPRM yang secara tidak langsung menampakkan ia mengawal selia badan berkenaan seterusnya dapat memastikan kes yang sedang berjalan boleh digugurkan.

“Sebagai Presiden MUDA saya tak lihat kenyataan itu sebagai satu perkara yang kecil bahkan banyak rakyat adukan, adakah selepas pilihan raya negeri (PRN) ini kes rasuah skala besar akan digugurkan?

“Bahkan keraguan itu memuncak apabila Anwar di khalayak umum Pulau Pinang, memaklumkan SPRM sahkan bahawa tiada mana-mana menterinya terpalit skandal rasuah,” katanya kepada pemberita sebelum mengumumkan nama calon MUDA sesi kedua bagi PRN di enam negeri, lapor BH, hari ini.

Sebelum ini, Anwar ketika Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Pulau Pinang memaklumkan menteri yang dilantik di bawah kerajaan perpaduan kekal bersih dan bebas daripada rasuah.

Katanya, sejak lapan bulan menerajui kerajaan beliau turut mengarahkan SPRM untuk memeriksa semua menteri dan tiada satu pun ada kes rasuah membabitkan Kabinetnya.

Pada 10 April lalu, media melaporkan Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO selesai membela diri terhadap 47 pertuduhan membabitkan 12 kes pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 kes pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya pada Ogos tahun lalu.

Pada masa sama, Ahmad Zahid dilapor mengemukakan representasi kepada Peguam Negara dengan menyertakan fakta dan bukti baharu bagi menggugurkan 47 tuduhan kes yang dihadapinya itu.

Sementara itu, Syed Saddiq mengakui beliau juga menjadi salah seorang individu yang mempunyai kes mahkamah namun tidak sekali pun cuba menangguhkannya atau merayu kepada kerajaan supaya menggugurkan kes terbabit.

“Saya tidak gunakan mereka untuk mempengaruhi kes sebab bagi saya berani kerana benar dan tidak takut dengan sistem keadilan sedia ada. Prinsip MUDA jelas untuk mempertahankan perundangan di negara ini,” katanya.

Saturday, October 29, 2022

Syed Saddiq, Zahid boleh tanding, tapi buruk dari segi moral: Laporan

agendaily.com
29/10/2022
Hakikat bahawa mahkamah telah mengarahkannya untuk membela diri menunjukkan bahawa pihak pendakwa raya telah membuktikan ada kes terhadap mereka.

Presiden MUDA dan penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, masih boleh bertanding, kata peguam.

Bagaimanapun, penganalisis politik berpendapat bahawa perintah mahkamah supaya mereka membela diri terhadap tuduhan rasuah, menunjukkan ada kes terhadap mereka, sekali gus dari segi moral kedua-duanya tidak layak bertanding.

Peguam Amer Hamzah berkata Syed Saddiq layak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang, kerana beliau masih belum dijatuhkan hukuman, cuma diarah membela diri terlebih dahulu.

Beliau berkata mereka yang disabitkan kesalahan dengan hukuman penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000 tidak boleh bertanding sebagai calon dalam pilihan raya.

“Di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, hanya orang yang disabitkan kesalahan yang telah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan tidak menerima pengampunan, tidak layak bertanding dalam pilihan raya umum,” katanya menurut The Star.

Oleh itu, menurutnya Syed Saddiq dan Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk serta penyandang kerusi Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Rahim, misalnya, layak bertanding dalam pilihan raya ini.

Semalam (28 Oktober 2022) Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Syed Saddiq membela diri terhadap empat pertuduhan, termasuk pecah amanah jenayah (CBT), dana berjumlah RM1 juta.

Manakala, pada 24 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Zahid membela diri atas 47 pertuduhan CBT, rasuah dan pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Berbeza dengan veteran UMNO yang juga bekas ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Samad yang menunjukkan contoh baik kepada pemimpin partinya yang terpalit dengan kes mahkamah, apabila enggan bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Shahrir menjelaskan beliau mahu membersihkan dahulu namanya di mahkamah, dan sebab itu tidak mahu menjadi calon dalam pilihan raya ini.

“Adalah tidak adil untuk saya membiarkan pengundi Johor Bahru ‘membersihkan’ nama saya,” katanya setelah ramai yang bertanya sama ada beliau akan bertanding dalam PRU-15, 19 November ini.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali berkata walaupun Syed Saddiq boleh bertanding dalam pilihan raya tatkala diarah membela diri atas tuduhan rasuah, ia dianggap tidak “manis”.

“Hakikat bahawa mahkamah telah mengarahkannya untuk membela diri menunjukkan bahawa pihak pendakwa raya telah membuktikan kes terhadapnya.

“Dia boleh bertanding untuk pilihan raya kerana dia masih belum disabitkan kesalahan.

“Bagaimanapun, dari sudut moral, ia tidak kelihatan sangat cantik. Dia sepatutnya bermurah hati untuk memberi laluan kepada orang lain dalam partinya.

“Diarahkan untuk membela diri mungkin membayangkan bahawa dia tidak bebas rasuah dan cacat kerana kes itu tidak dibuang.

“Beliau sentiasa memperjuangkan isu antirasuah dalam politik. Ia akan menjadi sukar baginya kerana dia telah menjadi sebahagian daripada ‘Kluster Mahkamah’ ahli politik,” kata Mazlan.

Friday, October 28, 2022

Syed Saddiq diarah bela diri atas tuduhan subahat pecah amanah, ubah wang haram

freemalaysiatoday.com
V Anbalagan
-October 28, 2022 10:06 AM
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa atas tuduhan bersubahat dalam pecah amanah jenayah, penyelewengan dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik Bersatu.

KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diarahkan membela diri atas tuduhan pecah amanah jenayah, penyelewengan wang dan pengubahan wang haram.

Hakim Azhar Abdul Hamid berkata, pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas menteri belia dan sukan itu.

Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu Rafiq Hakim Razali dalam pecah amanah jenayah membabitkan RM1 juta di CIMB Bank Bhd, Jalan Stesen Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.

Dia juga didakwa menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun bank milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk dirinya sendiri dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Bhd Taman Pandan Jaya, di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Presiden Muda itu, yang juga bekas Ahli Parlimen Muar, turut berdepan dua tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dua transaksi masing-masing RM50,000, di dalam akaun Maybank Islamic Bhd ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, di sebuah bank di Taman Perling, Johor Bahru, pada 16 dan 19 Jun 2018.

Friday, July 23, 2021

Ramai kurang duit tapi Syed Saddiq pula minta bantu bayar peguam, ikat jamin

agendadaily.com
23/7/2021

Kempen minta derma Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tatkala orang ramai terkesan akibat penularan Covid-19.

Dalam keadaan rakyat kekurangan duit akibat penularan pandemik Covid-19 sekarang ini Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa atas dua pertuduhan membabitkan RM1.12 juta di mahkamah semalam, bertindak bertentangan.

Malam tadi Ahli Parlimen Muar itu meminta orang ramai membantunya mengumpul dana kononnya untuk menampung kos guaman dan baki wang ikat jamin setelah RM80,000 dibayarnya semalam.

Dia memuat naik kempen membantunya itu dalam media sosialnya malam tadi, sambil terus membuat dakwaan tidak bersalah atas dua pertuduhan itu.

Semalam dia didakwa atas dua pertuduhan melibatkan wang sejumlah RM1 juta dan RM120,000 milik sayap pemuda Bersatu, Armada yang dikeluarkan tanpa mendapat kebenaran parti tersebut.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Pertuduhan pertama, Syed Saddiq selaku Ketua Armada ketika itu dituduh dengan curangnya membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB Kuala Lumpur Sentral pada 6 Mac 2020.

Atas pertuduhan itu, Syed Saddiq didakwa mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi satu satu lagi pertuduhan, beliau didakwa salah guna sumbangan kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berjumlah RM120,000 pada April 2018.

Kertas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan itu, Syed Saddiq didakwa dengan curangnya melakukan kesalahan itu yang mana dana tersebut dikutip melalui Maybank Milik Armada Bersatu Enterprise.

Kesalahan didakwa dilakukan di Maybank Islamik Berhad, Jalan Pandan, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Syed Saddiq diikat jamin sebanyak RM330,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Thursday, July 22, 2021

Syed Saddiq dituduh salah guna RM1.12 juta dana Bersatu

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan 22 Jul 2021, 10:05 am
Dikemaskini 11:51 am

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyalahgunakan dana Bersatu bernilai RM1.12 juta.

Bekas menteri belia dan sukan itu mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di depan hakim, Azura Alwi.

Menurut pertuduhan pertama, Syed Saddiq dituduh menyalahgunakan wang Bersatu itu melalui cek CIMB Bank, di CIMB Bank, KL Sentral, Kuala Lumpur, pada 6 Mac tahun lalu.

Pertuduhan kedua mula mendakwa Syed Saddiq secara curang menyalahgunakan dana yang dikumpulkan Armada - bernilai RM120,000 - yang sepatutnya untuk pilihan raya umum (PRU) lalu

Dia didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Maybank Islamic Berhad cawangan Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur, antara 8 April dan 21 April 2018.

Azura kemudian membenarkan Syed Saddiq diikat jamin RM330,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Hakim terbabit juga memerintahkan Syed Saddiq menyerahkan pasportnya ke mahkamah, serta melapor diri ke pejabat SPRM terdekat di Kuala Lumpur setiap bulan sehingga kesnya selesai.
Bagaimanapun Azura membenarkan permohonan Gobind Singh Deo agar Syed Saddiq membayar RM80,000 daripada ikat jamin itu pada hari ini manakala bakinya dijelaskan selewat-lewatnya Selasa depan.

Faridz Gohim Abdullah bertindak sebagai timbalan pendakwa raya.

Pada Julai tahun lalu, Syed Saddiq membuat laporan polis berkenaan kehilangan kira-kira RM250,000 dari peti besi di rumahnya di Petaling Jaya.

Dia berkata sebahagian besar wang berkenaan disimpan bagi kerja-kerja pengubahsuaian rumahnya.

Namun, kehilangan wang itu menggerakkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana jumlah wang tunai yang "mencurigakan" dan dia disiasat selama lebih 11 jam.

Bagaimanapun, SPRM sebelum ini menafikan siasatan tersebut bermotif politik.

Untuk rekod, sebelum ini Syed Saddiq merupakan ketua Pemuda Bersatu (Armada) namun meninggalkan parti berkenaan selepas Langkah Sheraton berlaku dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) - yang mendapat mandat daripada rakyat pada PRU lalu - dijatuhkan.

Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang menyediakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan boleh didenda.

Pertuduhan kedua pula dijalankan mengikut seksyen 403 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, sebat dan boleh dikenakan denda.

Dalam prosiding hari ini Faridz memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM500,000 untuk pertuduhan pertama dan RM300,000 bagi pertuduhan kedua.

Timbalan pendakwa raya itu juga memohon mahkamah mengenakan larangan ke atas Syed Saddiq daripada bercakap mengenai kesnya di luar mahkamah.

[Baca berita penuh]

Monday, September 21, 2020

Kit Siang ucap tahniah kepada Syed Saddiq

Politik
suaramerdeka.com


PENASIHAT Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang mengucapkan tahniah kepada pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ini kerana, Ahli Parlimen Muar itu telah menunjukkan cara bahawa Malaysia memerlukan pemikiran baru.

“Bahawa kita mesti buta warna dan tidak terikat dengan pandangan sempit mengenai pembangunan negara, bahawa kita tidak boleh dan tidak boleh memenjarakan diri kita sendiri berdasarkan kaum atau agama eksklusif.

“Syed Saddiq sedang menubuhkan parti politik untuk golongan muda,” kata Kit Siang.

Syed Saddiq muncul dalam kempen calon DAP pada Pilihan Raya Negeri Sabah malam tadi.

Wednesday, February 12, 2020

4 didakwa serang Syed Saddiq

MyMetro
Utama
Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my

EMPAT lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.
 FOTO Bernama.

EMPAT lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas tuduhan menyerang Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di sebuah tapak perkhemahan, 31 Januari lalu.

Tertuduh, pengimpal bengkel, Norhanizam Itnain, 38; peniaga, Mohd Iskandar Masindra Rasidi, 37; pekerja kedai serbaneka, Mohd Iskandar Afiq Abd Razak, 26; dan peniaga pakaian terpakai, Ezzul Emran Abdul Rahim, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat suspek didakwa menyerang Syed Saddiq dengan niat menjatuhkan kehormatannya di tapak perkhemahan Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, pada 9.30 malam, 31 Januari lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 355 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Noorhadi, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Chan Choon Yew menawarkan jaminan RM15,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin, selain memohon keempat-empat melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun peguam keempat-empat suspek, Izzat Muhtar, memohon mahkamah menetapkan jaminan rendah dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama kepada polis sepanjang kes disiasat.

Majistret kemudian memerintahkan keempat-empat tertuduh dijamin RM7,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan syarat tambahan melapor diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, setiap bulan.

Mohd Zaki menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Terdahulu, prosiding pendakwaan turut dihadiri peguam pemerhati daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Shufri Samad.

Pada 1 Februari lalu, media melaporkan kira-kira 200 individu berbaju hitam dan merah mencetuskan kekecohan ketika Syed Saddiq yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU menghadiri majlis makan malam bersama ahli keluarga, rakannya dan pimpinan parti itu di sebuah restoran di Ulu Tiram, pada malam 31 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 2:12 PM

Sunday, February 2, 2020

'Dakwaan kumpulan kepung saya ada kaitan Umno berpandukan siasatan polis'

Diterbitkan Hari ini 3:23 petang

BERITA

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata dia mengesyaki kumpulan yang mengepungnya pada majlis Bersatu di Johor Jumaat lalu mempunyai kaitan dengan Umno berdasarkan siasatan polis.

"Saya mengesyaki seperti itu berdasarkan apa yang diberitahu kepada saya oleh polis ketika saya diberikan penerangan.

"Saya katakan itu selepas diberi penerangan, jadi saya berpandukan siasatan polis.

"Biarkan polis menyiapkan siasatan dan saya sangat gembira mendengar tindakan telah diambil terhadap tiga orang dan saya berharap ia tidak berakhir di sana," katanya dalam satu sidang akhbar selepas menghadiri program Sekolah Pemimpin Masa Depan Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Jumaat lalu, Syed Saddiq dan ibu bapanya dikatakan terpaksa melarikan diri apabila sekumpulan individu mengepung meja mereka ketika majlis Pemuda Bersatu Johor.

Syed Saddiq kemudian mengatakan bahawa dia mengesyaki kumpulan itu mempunyai kaitan dengan Umno.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki bagaimanapun menafikan dakwaan itu. Pemuda Umno sejak itu membuat laporan polis berhubung perkara ini.

[Berita lanjut menyusul]

Syed Saddiq Berbohong – Pemuda UMNO Johor

JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor menyelar kenyataan biadab Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung dakwaan diserang oleh 200 gangster di sebuah program di Ulu Tiram malam tadi yang dikaitkan dengan UMNO.

Ketua Pemudanya, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, kenyataan Syed Saddiq itu jelas satu pembohongan yang berniat jahat untuk mengeruhkan keadaan yang bertujuan merosakkan imej UMNO semasa Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu ditolak rakyat ketika ini.

“Siapa tidak kenal dengan menteri tidak matang ini yang sering memgeluarkan kenyataan berunsur penipuan.

“Kes tisu koyak beliau dengan Papagomo juga masih berlangsung di mahkamah, sekarang timbulkan isu baharu pula bagi menarik perhatian umum, rakyat Johor sudah muak dengan wayang murahan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, yang lebih menghairankan, Syed Saddiq dapat mengira jumlah kumpulan yang didakwa samseng itu seramai 200 orang dan mengetahui yang mereka adalah ahli UMNO, hairan bin ajaib.

Mohd. Hairi berkata, rakyat Malaysia secara umum mengetahui kemelut yang berlaku dalam Bersatu terutama menjelang pemilihan parti itu tidak lama lagi termasuk isu wakil rakyatnya yang dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah.

“Semakin dekat dengan pemilihan parti semakin banyak wayang dan drama dipercayai akan dimainkan Syed Saddiq untuk menarik perhatian dan sokongan bagi mempertahankan jawatannya selaku Ketua Armada,” katanya.

Justeru, Pemuda UMNO Johor akan membuat laporan polis berhubung tuduhan jahat tersebut dan turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas pemilik akaun Facebook yang memuat naik kenyataan itu iaitu Syed Saddiq.

Kes itu, katanya perlu disiasat di bawah Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan kerana memiftnah dan Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana salahguna kemudahan komunikasi untuk sebaran maklumat jelik.

– MalaysiaGazette.

Tuesday, January 21, 2020

Ramasamy, naib presiden PKR pula kecam Syed Saddiq

BERITA

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy mengecam Syed Saddiq Abdul Rahman kerana mengkritik beliau dan beberapa pemimpin PH lain kerana tak habis-habis bercakap mengenai isu peralihan kuasa.

Tanpa selindung, beliau berkata Ketua Pemuda PH sepatutnya "merapatkan jurang" dan tidak mempersoalkan hak demokratik mereka untuk meminta Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menghormati perjanjian menyerahkan kepimpinan negara kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

"Tiada siapa pun yang memaksa Mahathir untuk undur diri sekaligus, tetapi mahu beliau menetapkan tarikh penyerahan kuasa kepada kepimpinan berikutnya iaitu Anwar," kata Ramasamy dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut Adun DAP, perjanjian PH sebelum pilihan raya umum lalu adalah untuk Dr Mahathir menjadi perdana menteri sementara selama dua tahun.

"Tetapi malangnya, sehingga ke hari ini, Majlis Presiden PH masih belum menetapkan tarikh peralihan kuasa. Sekarang ini siapa yang salah?" Soalnya.

Ramasamy berkata suatu tarikh perlu ditetapkan walaupun Mahathir mahu melepaskan jawatan selepas sidang kemuncak negara-negara Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Kuala Lumpur pada November.

"Apa yang salah dalam menentukan tarikh muktamad bagi peralihan kuasa?

"Saya yakin Mahathir tidak mempunyai masalah dengan ini, tetapi Syed Saddiq seolah-olah teruja untuk mendapat perhatian darpada Mahathir," katanya lagi.
Ramasamy juga tidak bersetuju dengan Syed Saddiq yang berkata gesaan tarikh penggantian kepimpinan akan menyebabkan ketidakstabilan atau menghalang kemampuan Mahathir untuk mentadbir negara.

"Jika Syed Saddiq percaya kepada demokrasi, beliau mesti menghormati hak untuk berbeza pendapat," katanya.

Beliau juga berkata mustahil PH dapat menang PRU14 tanpa gerakan reformasi yang dicetuskan Anwar dua dekad dahulu.

"Saya fikir Syed Saddiq hanyalah pendatang baru untuk memahami dan menghayati dinamik politik era reformasi, apalagi memahami konteks di mana Mahathir dijadikan perdana menteri sementara.

"Mahathir menyediakan kepimpinan penting dalam ketiadaan Anwar untuk berhadapan dengan BN. Rakyat Malaysia yang mahukan perubahan menyokong Mahathir.

"Selepas kalah lima pilihan raya kecil, terdapat keperluan untuk menyelesaikan perkara peralihan. Majlis Presiden PH mesti menangani persoalan ini," kata Ramasamy.

'Logik Syed Saddiq ke laut'

Sementara itu, Naib Presiden PKR Chang Lih Kang menyangkal dakwaan Syed Saddiq bahawa pihak yang mendesak Mahathir telah mengingkari persetujuan bersama dalam PH.

"Yang sokong peralihan kuasa semua sekutu Anwar? Lojik Syed Saddiq ke laut.

"(Pihak yang) minta peralihan kuasa Mei 2020, Syed Saddiq kata membelakangkan konsensus PH.

"Tapi apa konsensus PH? Dua tahun atau tiada tarikh? Kalau dua tahun, betul lah Mei 2020. Kalau tiada tarikh, maka bila-bila masa boleh lakukan peralihan kuasa. Apa jawapan bro Syed?" Ciapnya di Twitter.
Bercakap kepada Malaysiakini kemudian, Chang (gambar, atas) menjelaskan walaupun Syed Saddiq bertegas mengenai konsensus PH, namun menteri itu tidak mengucapkan sepatah kata pun apabila sesetengah pihak mendesak Mahahir supaya berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.

"Bukankah meminta Mahathir untuk berkhidmat sampai habis penggal (PH) juga bertentangan dengan konsensus?" Soalnya.

Tanpa mengambil kira Mahathir mahu terus berkhidmat sehingga selesai sidang Apec, Chang berkata perlu ada butiran bila peralihan itu akan berlak.

"Walaupun tidak ada tarikh yang tepat, sekurang-kurangnya, bulan bila perlu dijelaskan," tambahnya.

Pada temu bual bersama Reuters bulan lepas, Mahathir berkata beliau akan menghormati ikrarnya untuk menyerahkan kepimpinan negara kepada Anwar.

"Saya sudah berjanji akan meletak jawatan apabila saya telah menyelesaikan masalah-masalah besar yang ditinggalkan oleh kerajaan dulu.

"Saya juga telah berjanji akan meletak jawatan dan memberikan kepimpinan kepada calon yang telah dinamakan oleh gabungan (PH)," katanya.

"Saya sudah berjanji untuk menyerahkan (kuasa) dan saya akan menerima bahawa saya fikir perubahan mendadak sebelum sidang Apec akan mengganggu.

"Setakat yang saya tahu, saya akan meletak jawatan dan menyerahkan kepimpinan kepadanya.

"Jika orang tidak mahu beliau, itu urusan mereka, tetapi saya akan melaksanakan bahagian saya pada janji itu ... tanpa mengira apa-apa tuduhan. Saya sudah berjanji, saya akan kotakan janji saya," kata beliau lagi.

[Baca berita asal]

Syed Saddiq bidas ‘sekutu Anwar’ asyik serang Dr M

BERITA

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas penyokong kuat dan “mereka yang dianggap sebagai sekutu” Anwar Ibrahim kerana terus menyerang perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pemimpin kanan Bersatu itu berkata, walaupun didesak dari pelbagai sudut, Mahathir tetap menegaskan komitmen pada muafakat Pakatan Harapan untuk memberi laluan kepada Anwar sebagai pengganti.

“Tidak pernah sekali pun Tun (Mahathir) mengingkari janjinya,” kata Syed Saddiq yang juga menteri belia dan sukan.

“Setiap kali ditanya berkenaan transisi, Tun sentiasa menjawab dengan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan kepada Anwar.”

Menulis di Facebook petang ini, Syed Saddiq menyenaraikan nama-nama pemimpin kerajaan yang “tidak habis-habis mempersoalkan kedudukan” Mahathir.

Beliau secara khusus menyebut nama pemimpin PKR daripada kem Anwar dan DAP, iaitu Ramkarpal Singh, P Ramasamy, Johari Abdul, Ronnie Liu, Abdullah Sani, Akmal Nasir, Rafizi Ramli, Syukri Razab dan Syed Husin Syed Ali.

“Tidak sampai dua hingga tiga tahun Tun M memegang jawatan sebagai perdana menteri, mereka sudah mendesak YAB Tun M meletakkan jawatan.

“Bagaimana YAB Tun M ingin mentadbir negara jika setiap hari didesak, ditekan dan diserang oleh mereka yang dianggap sebagai sekutu DS Anwar?” soalnya.

Syed Saddiq justeru mengggesa desakan supaya perdana menteri “yang dipilih secara demokratik” dihentikan.

“Get your house in-order! (Selesaikan hal sendiri dahulu!)” kata ketua Pemuda Bersatu (Armada) dan Pakatan Harapan itu.

Monday, January 20, 2020

Syed Saddiq lapor polis dakwaan sertai parti dadah

FMT Reporters
-January 20, 2020 10:39 AM

Syed Saddiq.

PETALING JAYA: Pihak menteri belia dan sukan akan membuat laporan polis berhubung penularan cerita mendakwa menteri itu menyertai parti dadah dan akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dimaklumkan berkenaan penularan cerita itu oleh sebuah blog yang mendakwa beliau turut berada di lokasi sama mereka yang ditahan polis di Puchong baru-baru ini tetapi pulang lebih awal sebelum serbuan dibuat.

Syed Saddiq menepis dakwaan itu sebagai cerita tidak benar dan memburukkannya namanya.

“Maklumat tidak benar ini juga telah ditularkan oleh pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga menyangkal dakwaan ada cubaan melobi projek-projek besar kementerian, menekankan pencapaian kementeriannya dalam Kajian Tahap Rasuah Perkhidmatan Awam (PSCR) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia “semakin cemerlang”.

“Kementerian berjaya memperbaiki tangga PSCR dari 8 kementerian paling berisiko rasuah kepada tangga 16 paling kurang risiko rasuah dan salah laku,” katanya.

Syed Saddiq berkata satu laporan polis akan dibuat dan akan merujuk kepada tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang menyebarkan berita tidak benar, terutama berkaitan integriti kementeriannya.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pula mengesahkan penahanan 17 individu, termasuk 6 wanita di sebuah kondominium di Jalan Puchong awal pagi semalam, atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan aktiviti perjudian.

17 individu ditahan polis di sebuah pangsapuri di Jalan Puchong, Kuala Lumpur pada awal pagi 13 Jan atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan aktiviti perjudian.

Polis juga mengesahkan seorang VVIP terbabit kes dadah susulan spekulasi seorang Adun ditahan dalam tangkapan itu.

Sunday, August 25, 2019

Syed Saddiq, Zakir Naik 'berdamai'


Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kelihatan sudah berdamai dengan pendakwah terkenal Dr Zakir Naik.

Kedua-duanya makan malam bersama di rumah Syed Saddiq di Petaling Jaya, hanya sepuluh hari selepas menteri itu menggesa supaya Zakir dihantar pulang susulan ucapan kontroversinya baru-baru ini.

Bagaimanapun, gesaan menteri belia dan sukan itu mendapat kecaman di kalangan pengguna media sosial Melayu Islam, dan sumber memberitahu Syed Saddip turut mendapat tempias bidasan daripada penyokong dan ahli Bersatu.

Pada suatu hantaran di media sosial hari ini, Syed Saddiq menyertakan bersama gambar beliau duduk semeja bersama pendakwah itu.

"Tidak ada seorang pun dalam dunia ini yang bebas dari melakukan kesilapan. Dr Zakir Naik sudah minta maaf.

"Saya sendiri banyak kali lakukan kesilapan dan kena berlapang dada bila ditegur. Tidak perlu nak mendabik dada dan mengeruhkan keadaan lagi. Tidak perlu nak menghina dan mencaci.

"Let’s move on. Negara ini perlu penyembuhan," katanya di Instagram.

Isu Zakir Naik pula menjadi kontroversi susulan kenyataannya ketika berceramah di Kelantan pada 8 Ogos lalu apabila mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu warga negara Malaysia.
Ketika mengulas pertuduhannya di India, Zakir telah berkata rakyat Malaysia beragama Hindu lebih menyokong kerajaan India berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga telah membuat beberapa kenyataan mengenai orang Cina Malaysia memanggilnya sebagai "tetamu lama."

Hal itu mencetuskan desakan supaya dia dihantar pulang ke India.

Untuk rekod, Zakir telah memohon maaf serta menafikan semua tuduhan terhadapnya dan mendakwa kenyataannya mengenai orang Cina dan India rakyat Malaysia telah dipetik di luar konteks ucapannya.

Polis telah memulakan siasatan dan mengambil keterangan daripada pendakwah itu.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada 20 Ogos lalu memaklumkan Zakir tidak dibenarkan memberi ceramah melalui semua wadah, termasuk media sosial.

Beliau berkata larangan memberi ceramah di seluruh negara itu terpakai sehingga siasatan polis selesai.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir berkata Malaysia tetap kekal dengan pendirian sebelum ini walaupun desakan mahukan Zakir dihantar pulang ke India cukup kuat.

Dr Mahathir memutuskan untuk Zakir Naik terus tinggal di negara ini dan tidak akan diusir.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-