Monday, September 11, 2023

UMNO berjaya ditundukkan terima perjuangan DAP

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe
11/09/2023

Sistem demokrasi negara pincang kerana minoriti kini kuasai majoriti
BANGI, 25 Safar 1445H, Isnin – Kehadiran pimpinan UMNO ke Konvensyen Kebangsaan DAP 2023 semalam, menggambarkan parti Melayu itu berjaya ditundukkan untuk menerima perjuangan DAP.

Perunding Kanan Politik dan Perundangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, penerimaan itu secara tidak langsung bermaksud bahawa perjuangan UMNO dalam membela nasib orang Melayu terkubur.

Beliau berkata, orang Melayu tidak lagi boleh meletakkan pergantungan nasib mereka kepada UMNO, apatah lagi dalam keadaannya yang semakin lemah, maka mustahil untuk parti itu sanggup menyanggah DAP.

“Ini tergambar dalam ulasan Presiden UMNO mengenai kehadiran beliau ke konvensyen tersebut ‘orang berbudi kita berbahasa’. Ya, UMNO kini telah terhutang ‘budi’ dengan DAP.

“Rakyat semua tahu ‘budi’ apa yang telah diberikan oleh DAP. Rakyat semua tahu apa ‘budi’ yang diberikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Aminuddin, ucapan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyatakan parti itu bukanlah parti besar kerana keahlian mereka hanya 239,408 dengan 2,042 cawangan, berbanding UMNO iaitu 3.391 juta dan 22,000 cawangan.

Beliau berkata, secara logik sudah pasti DAP perlu tunduk dengan UMNO, namun sebaliknya yang berlaku ketika ini.

“Mungkin ramai yang menganggap dalam sistem demokrasi, yang majoriti akan menguasai minoriti. Tetapi apa yang berlaku di negara kini ialah yang minoriti menguasai majoriti.

“Jelas menunjukkan kepincangan sistem demokrasi negara yang memerlukan perubahan,” katanya.

Atas sebab itu, Aminuddin tertanya-tanya apakah yang boleh menghalang DAP untuk meneruskan agenda Malaysian Malaysia, apatah lagi dengan kuasa dua pertiga majoriti di Parlimen.

“Andai berlaku persempadanan semula kawasan Parlimen, bukan sahaja UMNO akan lenyap malah mungkin bumi Melayu ini juga akan hilang.

“Mungkin hari ini pemimpin-pemimpin UMNO tersenyum berpelukan dengan DAP dan ahli-ahli UMNO bersorak riang mendapat habuan.

“Tetapi percayalah generasi hadapan akan menyumpah dan menghina UMNO yang dianggap menjadi punca terkuburnya bumi tercinta ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-