Sunday, October 8, 2023

Menang di Pelangai tapi undi BN merosot - Muhyiddin

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 8, 2023 12:02 PM
Meskipun PN tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai semalam, namun gabungan itu menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata pengerusinya, Muhyiddin Yassin.

Pun begitu Muhyiddin berkata pihaknya tetap menghormati pilihan yang dibuat oleh pengundi-pengundi di DUN berkenaan.

"Walaupun PN tidak memenangi kerusi tersebut, PN menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding PRU15 dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 1,115 undi.

"Majoriti yang diperolehi oleh BN pula merosot daripada 4,048 dalam PRU 15 kepada 2,949 dalam PRK ini," katanya dalam kenyataan media, malam tadi.
Dalam pada itu Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mendakwa, keputusan PRK DUN Pelangai juga menunjukkan BN gagal menambah sokongan walaupun bergabung dengan PH.

Ini katanya walaupun seluruh jentera serta sumber kerajaan "dikerah secara terang-terangan" untuk membantu kempen BN.

"Saya percaya sepertimana trend dalam pilihan raya negeri (PRN) dan siri PRK sebelum ini, tidak berlaku pemindahan undi (vote transferability) yang ketara antara PH dan BN.

"Sebaliknya, yang berlaku ialah peralihan sokongan kepada PN, terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu," kata bekas perdana menteri itu.

Keputusan PRK DUN Pelangai semalam menyaksikan calon BN, Amizar Abu Adam berjaya mempertahankan kerusi itu dengan memperoleh 7,324 undi (62.37 peratus).

Amizar menewaskan calon PN Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasni yang hanya meraih 47 undi.

Pada pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung 12 Ogos lalu, PN memperoleh kemenangan besar di tiga negeri dan turut berjaya menembusi negeri-negeri yang dikuasai PH dan BN.

BN pula mempamerkan prestasi buruk apabila hanya memenangi 19 kerusi di enam negeri berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-