Diterbitkan: Oct 8, 2023 1:54 PM
Pendakwah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani mendakwa Majlis Agama Islam (Mais) berbohong berhubung isu penarikan balik tauliah terhadapnya untuk mengajar agama Islam di negeri itu.
Ini selepas Mais memaklumkan keputusan itu dibuat kerana status keaktifannya dalam parti politik.
"Jika majlis agama Islam pun berbohong, bagaimana kita dapat harapkan umat ini selamat?
"Sepatutnya majlis agama Islam bukan menjadi pemecah belah umat, atau menjadi ejen kepada gerakan liberal. Tiada jawatan yang saya sandang dalam parti politik pun dituduh aktivis politik?" soalnya dalam hantaraan di Facebook, hari ini.
‘Tarik semua tauliah pendakwah yang ada parti’
Dusuki berkata, jika keputusan itu dibuat kerana dia merupakan ahli parti politik, justeru Mais sepatutnya menarik balik semua tauliah pendakwah yang menganggotai parti politik sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang.
"Apa sekarang ini di bumi Malaysia berdosa dan menjadi penjenayah bila menganggotai parti politik yang sah di sudut perlembagaan?
"Kalau begitu tariklah semua tauliah para pendakwah yang menganggotai parti politik kerajaan dan pembangkang, termasuk yang menganggotai Mais sendiri?
"Ada berani? Ke kecut (takut) dengan gerakan sekular dan liberal saja?" cabarnya.
Sebagai rekod Dusuki merupakan presiden pertubuhan Geng Ustaz dan pernah menjawat jawatan dalam PAS serta bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 di kerusi dewan undangan negeri (DUN) Kota Anggerik.
Terdahulu Mais dilaporkan meneruskan tindakan terhadap Dusuki selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Keputusan Mais itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan pembatalan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam terhadap Ahmad Dusuki yang telah dikeluarkan badan itu sebelum ini.
Pengerusinya, Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Mais menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Oktober lalu, namun keputusan itu tidak menyentuh titah Sultan Selangor mengenai larangan aktivis politik mengajar agama Islam.
"Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam ini berdasarkan alasan ketidakpatuhan prosedur semasa proses penarikan balik tauliah dibuat.
"Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam ini sama sekali tidak menyentuh dan tidak mempersoalkan penarikan balik tauliah atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak memperkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik.
"Justeru, titah Sultan Selangor ini masih berkuat kuasa di Negeri Selangor," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.