Sunday, October 8, 2023

Roger Ng tiba di Malaysia, IPG enggan dedah lokasi

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 8, 2023 1:12 PM
Bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng tiba di Malaysia untuk menghadapi pertuduhan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan ketibaan Ng pada tengah malam tadi namun enggan mendedahkan lokasi lelaki berkenaan atas faktor keselamatan.

"Saya sahkan, dia sudah berada di negara ini," lapor Utusan Malaysia.

Menurut laporan itu, antara agensi yang dijangka menyiasat sekutu ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low itu ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, bekas ketua pelaburan Goldman Sachs itu berkemungkinan turut dikehendaki Suruhanjaya Sekuriti (SC)dan Lembaga Hasil Dalam Negeri
(LHDN).

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail semalam berkata, tempoh Ng berada di negara ini bergantung kepada proses siasatan.

Menurut laporan Reuters, Ketua hakim Daerah AS Margo Brodie di Brooklyn mengarahkan Ng menyerah diri kepada Perkhidmatan Marshal AS pada Jumaat supaya dia boleh diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia, yang kemudiannya akan membawanya ke sini.

Ng ditahan di Malaysia pada November 2018 dan bersetuju untuk diekstradisi ke AS.

Dia sudah disabitkan hukuman penjara 10 tahun di New York kerana membantu rompakan berbilion-bilion dolar daripada 1MDB dan dikehendaki menjalani hukuman penjara apabila kembali semula ke AS.

Ng adalah bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia dan dijatuhi hukuman pada Mac, 11 bulan selepas juri mendapati dia bersalah kerana membantu bekas bos Goldman, Tim Leissner menggelapkan wang daripada 1MDB, melakukan pengubahan wang haram, dan menyogok pegawai kerajaan untuk memperoleh perniagaan.

Kes itu melibatkan kira-kira AS$6.5 bilion bon 1MDB yang jualannya dibantu oleh Goldman pada 2012 dan 2013.

Pendakwa raya AS berkata pegawai, jurubank dan sekutu mereka menggelapkan kira-kira AS$4.5 bilion daripada jumlah itu.

Hukuman terhadap Leissner dijadualkan pada 19 Mac 2024.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-