Saturday, December 16, 2023

Cadangan PM bukan Melayu dibuat Kit Siang serlah imej sebenar DAP: PAS

agendaily.com
16/12/2023
Tan Sri Lim Kit Siang.
PAS menyifatkan kenyataan dibuat Tan Sri Lim Kit Siang berhubung isu Perdana Menteri bukan Melayu adalah imej sebenar DAP yang sebenarnya mahu mewujudkan sebuah negara sekular sepenuhnya di Malaysia.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata sejak daripada awal lagi penubuhan DAP adalah untuk mewujudkan negara sekular sepenuhnya dan kenyataan pemimpin veteran DAP itu menunjukkan matlamat sebenar parti tersebut.

“Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut tidaklah menghairankan memandangkan DAP juga turut bercita-cita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara sekular sebagaimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan DAP sendiri,” katanya dipetik portal Harakah Daily.

Tambah beliau, ironinya masih ada yang sanggup mempertahankan kenyataan provokatif sedemikian rupa.

“Bukankah ia boleh mendorong kepada ketidakstabilan dan perpecahan kaum yang ketara kemudiannya?

“Kenyataan tersebut menzahirkan imej sebenar DAP yang banyak menjadi punca perpecahan fabrik sosial masyarakat dalam negara.

“Mereka berpegang kepada Deklarasi Setapak yang menyatakan prinsip kesamarataan mutlak sekaligus menghapuskan keistimewaan yang diberikan Perlembagaan Persekutuan kepada orang Melayu-Islam,” soalnya.

Oleh itu, beliau menyeru agar seluruh parti Melayu-Islam agar dapat kembali bertaut di bawah satu panji yang sama.

Beliau menegaskan bahawa gagasan penyatuan ummah harus kembali ditegakkan dalam medan politik negara bagi mengenepikan agenda songsang yang diperjuangkan oleh DAP.

“Seruan ini bukanlah mesej ke arah rasisme, tetapi memandu kestabilan negara yang adil kepada semua.

“Kita harus bangkit menolak idea yang boleh memecah belahkan masyarakat dalam negara,” katanya

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-