Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
ANTARA gambar tular anak-anak kucing yang didakwa mati akibat dilemaskan oleh individu tidak bertanggungjawab.
Kuala Lumpur: Tindakan amat kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila ada individu sengaja membunuh 15 ekor anak kucing dengan cara melemaskan semua haiwan itu.
Kejadian itu dikongsi Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) tadi, susulan tular gambar haiwan dibunuh itu di media sosial hingga mencetuskan pelbagai reaksi ramai.
Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia SAFM Kalaivanan Ravichandran berkata, pelakuan kejam terhadap anak kucing itu dipercayai dilakukan di Pasar Borong Jerantut, Pahang.
Menurutnya, berdasarkan gambar dikongsikan, anak-anak kucing itu ditemui mati berselerakan di lantai dan rumput.
"Jika benar semua kucing ini mati dibunuh, ia sesuatu yang amat menyedihkan.
"SAFM menggesa saksi kejadian supaya membuat laporan kepada Jabatan Veterinar Malaysia (DVS) atau polis untuk tindakan sewajarnya diambil.
"Pesalah jenayah kejam ini perlu disiasat sebelum lebih banyak haiwan atau manusia menjadi mangsa," katanya.
Beliau berkata, SAFM amat kesal dengan kekejaman dilakukan itu.
"Walaupun mangsa kejadian ini hanyalah haiwan, namun makhluk ini berhak untuk hidup dan mempunyai keupayaan merasai sakit dan derita.
"Rakyat perlu sedar bahawa semua haiwan di Malaysia adalah dilindungi dari kekejaman mengikut Seksyen 30, Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang membawa hukuman penjara 3 tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali ke atas pelaku," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.