Friday, December 1, 2023

Tiada Respons Pengampunan Diraja, Peguam Najib Hantar Surat Peringatan

malaysia-today.net
By MT Webmaster
On Dec 1, 2023
(Utusan) – Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengutuskan surat peringatan berhubung pengampunan diraja melibatkan bekas Perdana Menteri itu kepada Kerajaan Perpaduan.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya masih belum mendapatkan sebarang maklum balas terhadap permohonan yang dihantar pada awal tahun ini.

“Esok kita akan tulis surat kepada pejabat yang berkenaan iaitu jabatan yang menjaga hal ehwal undang-undang dan juga berkenaan dengan pengampunan.

“Kalau tak salah saya, menteri undang-undang (Datuk Seri Azalina Othman Said) yang menjaga jabatan ini untuk memperingatkan bahawa benda ini sudah 10 bulan tak ada jawapan lagi.

“Secara sopan, kita akan bawa perkara ini dan hantar (permohonan) kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pertimbangan Baginda,” katanya menerusi rakaman program bual bicara yang dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan.

Mengulas lanjut, Muhammad Shafee menyifatkan, permohonan yang dihantar Januari lalu sebagai satu surat yang menarik serta merangkumi pelbagai asas.

“Surat ini sangat menarik tidak seperti surat pengampunan normal lain. Saya merayu untuk mendapatkan pengampunan dan bermacam-macam lagi kerana kes ini berlainan (kes lain).

“Tak pernah dalam 47 tahun saya sebagai peguam, alasan (pengampunan diraja) memohon secara sopan bahawa saya tidak diberikan hak untuk mendapatkan mewakili secara adil terutama di Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Mac lepas, media melaporkan, Najib gagal dalam permohonannya untuk dapatkan kebenaran menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan salah dan hukuman membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Najib memfailkan permohonan untuk mendapatkan semakan itu pada 6 September 2022 selepas tidak berpuas hati dengan keputusan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-