January 31, 2024
TUMPUAN rakyat kini dibawa kepada isu pembebasan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak. Ia dikatakan susulan permohonan peguam Najib dan desas-desus keputusan mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Dato’ Sri Najib adalah simbol tumpuan serangan Pakatan Harapan (PH) dengan isu 1MDB selain nama isterinya, Datin Sri Rosmah Mansor yang sentiasa bermain di bibir Rafizi Ramli.
PRU14 dahulu, seakan tiada isu lain, sasaran PH adalah mahu memenjarakan Najib dan Rosmah menjadi perjuangan utama pakatan tersebut ketika itu.
Seakan tiada langsung masalah-masalah lain yang sepatutnya lebih penting diisukan, selain Najib dan Rosmah yang didakwa menjadi kebobrokan kepada negara.
Akhirnya, Najib dijatuhkan hukuman pada Julai 2020 dan rayuannya ditolak pada tahun 2022. Sabitan kes adalah penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Pemenjaraan Najib adalah kemenangan kepada PKR dan DAP, manakala Umno menerima bencana daripada isu Najib. Umno-Barisan Nasional (BN) kalah tersungkur dalam PRU14.
Kemarahan Umno atas sebab itu diterjemahkan dalam slogan popular ‘No Anwar, No DAP!’. Namun slogan itu tidak menjadi dan Umno kalah lagi. Akhirnya Umno terpaksa mengkhianati perjuangan dan slogan mereka apabila berganding bahu dan menyokong Anwar dan DAP.
Keputusan pembebasan Najib dinanti, jika benar, apakah Umno telah menang kembali dan Anwar serta DAP telah kalah? Atau Anwar dan DAP terpaksa membebaskan Najib setelah PERIKATAN NASIONAL (PN) dilihat semakin kuat? PH faham jika Umno lemah, bererti PN akan kuat. Maka Umno perlu dipulihkan.
Cara yang diharap memulihkan Umno antaranya ialah dengan membebaskan Najib. Jika Najib bebas bagaimana pula sokongan pengundi PH yang dulunya mengundi untuk memenjarakan Najib? Bagaimana pula makian dan cacian dari pemimpin DAP dan PKR kepada Najib?
Jika Najib dibebaskan, apakah DAP dan PKR akan menjilat kahak dan mensucikan Najib seperti Anwar dikultuskan? Jika Anwar dianggap tidak bersalah dengan pengampunan, apakah Najib juga dianggap tidak bersalah jika Najib bebas?
Bercelaru… kucar kacir… tak menentu… Namun jika Najib dibebaskan, lupakan kisah lalu, pakat bina hidup baru… Mungkin itu slogan paling wajar untuk pendukung PH dan BN agar kuasa kekal walau untuk seketika.
FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Negeri Perak
– HARAKAHDAILY 31/1/2024
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.