Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berpendapat Jabatan Peguam Negara (AGC) cuba menutup kesilapan mereka dengan memohon perintah larangan (gag order) berhubung semakan kehakiman berkaitan titah adendum membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak.
Dalam satu forum yang membincangkan isu tersebut hari ini, Haniff berkata perintah larangan itu tidak membantu prosiding di mahkamah kerana prosedur di mahkamah tiada kaitan dengan kewujudan fizikal titah tersebut.
“Secara ringkasnya, saya tidak melihat sebarang alasan undang-undang atau kehakiman untuk mengeluarkan perintah larangan sebab dari sudut perundangan, kalau kita nak gag ataupun nak perintah perlindungan, ia biasanya adalah untuk menentukan perbicaraan itu tidak tergugat.
"Bagaimana perbicaraan itu tergugat melalui gag order sedangkan isu dedah tak dedah pun bukan isu dalam pandang mata kita.
"So that is why saya percaya pihak Jabatan Peguam Negara dengan licin membuat permohonan gag order bagi tujuan menutup kesilapan mereka,” katanya.
Bulan lepas, kerajaan memfailkan perintah larangan berhubung semakan kehakiman mengenai titah tambahan yang membolehkan Najib menghabiskan baki hukuman penjara di rumah.
Menurut salinan permohonan yang dilihat Malaysiakini, kerajaan memohon perintah larangan itu untuk menghalang mana-mana pihak, termasuk media, daripada menerbitkan, menyiarkan, atau menyebarkan apa-apa yang berkaitan dengan semakan kehakiman tersebut.
Ia memohon perintah larangan bersuara terhadap penyebaran yang boleh menyebabkan perbincangan awam dan spekulasi yang mencetuskan keraguan, mempersoalkan, mencabar atau menghina prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Kerajaan juga meminta perintah itu berhubung penyebaran yang boleh menimbulkan spekulasi dan kenyataan yang boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti keputusan, fungsi dan kuasa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Agong.
Bagaimanapun persoalan timbul mengenai kewujudan titah tersebut dan sama ada kerajaan sengaja menyembunyikannya.
Sementara itu, Hasnal berkata perintah larangan itu melanggar hak kebebasan bersuara yang sememangnya wujud.
Katanya, ia juga menghalang ketelusan proses undang-undang kerana menyekat liputan media mengenai isu tersebut.
Selain itu, afidavit bagi perintah larangan tersebut menyatakan niat pemohon untuk melindungi raja-raja Melayu, yang menurut Hasnal tidak perlu.
Ini kerana katanya, kritikan ditujukan kepada bekas peguam negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, dan secara tidak langsung, kepada peguam negara pada masa ini, Mohd Dusuki Mokhtar serta kerajaan.
"Jadi sama ada mereka melindungi diri mereka dengan alasan bahawa mereka melindungi raja-raja Melayu atau seperti yang dikatakan oleh Haniff, saya setuju," kata Hasnal.
malaysiakini.com Diterbitkan: Jan 30, 2025 12:15 PM
Isu mengenai titah adendum yang membolehkan Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah terus mendapat perhatian apabila sebuah NGO menyatakan dia berhak diberi peluang menebus kesilapannya.
Menggesa semua pihak menghormati proses berkaitan pengurangan hukuman terhadap bekas perdana menteri itu, Malaysian Corruption Watch (MCW) berkata Najib harus diberikan peluang sama seperti orang lain.
“Walaupun kita berpegang teguh kepada usaha memerangi rasuah, kita juga mesti patuh dan menghormati keputusan yang dibuat oleh Raja, seperti yang termaktub dalam perlembagaan kita,” kata Presiden MCW, Jais Abdul Karim dalam satu kenyataan.
Menurutnya, sumbangan besar Najib selaku bekas perdana menteri juga tidak boleh dinafikan.
Jais berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang dikeluarkan pertubuhan masyarakat sivil berhubung pengurangan hukuman terhadap Najib.
Semalam, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center) mengecam kemungkinan Najib menjalani baki hukumannya di rumah, dengan menyifatkannya sebagai “kelonggaran yang tidak wajar”.
Pertubuhan itu juga mengkritik kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim yang dilihat kurang komited dalam melaksanakan reformasi dan menunjukkan simpati terhadap mereka yang terlibat dalam kes rasuah, yang disifatkan sebagai membimbangkan.
Kumpulan terbabit juga menegur Anwar kerana mempertahankan keputusan untuk meberi pengampunan terhadap Najib, dengan mengatakan perdana menteri tidak sepatutnya menunjukkan simpati terhadap jenayah sebesar itu.
Awal bulan ini, Mahkamah Rayuan menerima permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi memaksa kerajaan menguatkuasakan titah adendum bagi membenarkan Najib menjalani tahanan rumah.
Titah itu merupakan tambahan kepada keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib kepada hukuman penjara enam tahun dan denda sebanyak RM50 juta.
Najib dihukum penjara setelah disabit bersalah atas dakwaan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB yang dilanda skandal.
Bekas perdana menteri Najib Razak gagal mendapat kebenaran untuk meneruskan semakan kehakimannya untuk dibenarkan menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak tindakan undang-undang Najib berhubung kewujudan perintah adendum yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Hakim Amarjeet Singh memutuskan semua afidavit yang mendakwa kewujudan titah addendum berkenaan hanyalah khabar angin semata-mata.
Mahkamah memutuskan afidavit daripada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail tidak menunjukkan pengetahuan secara langsung mengenai kewujudan perintah tambahan Lembaga Pengampunan itu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Jun lalu membenarkan permohonan Najib untuk memasukkan dua afidavit tambahan dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkannya bagi mencabar kewujudan perintah adendum yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 agar bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.
Dua afidavit itu ialah sokongan diikrarkan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail serta ucapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Konvensyen 25 Tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor April lepas.
Najib, 70, memfailkan permohonan itu pada 1 April lepas dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta kerajaan Malaysia sebagai responden.
Antara lain, bekas perdana menteri itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Jan 2024.
Najib juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta-merta dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan di rumah.
Dia kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Najib telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.
Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Menteri Wilayah Perseketuan, Dr Zaliha Mustafa. - Foto fail NSTP
PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa enggan mengesahkan atau menafikan kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengampunan Datuk Seri Najib Razak.
Sebaliknya, Dr Zaliha yang juga Ahli Lembaga Pengampunan hanya bertindak mengunci mulut ketika diajukan persoalan berkenaan.
Beliau kemudiannya meminta semua pihak merujuk ulasan yang sudah diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara itu, baru-baru ini.
"Dah ada from (dari) Datuk Seri (Anwar), you just follow (anda hanya ikut) apa yang Datuk Seri dah sebut itu, nothing more from me (tiada apa dari saya)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini, hari ini.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Anwar ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Shah Alam pada 21 April lalu, menegaskan sebarang keputusan berhubung Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan tahanan di rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mesti diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan berkenaan, biarpun ditohmah dan dilempar dengan pelbagai kritikan kononnya tidak berbuat apa-apa.
Pada 1 April lalu, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Titah Adendum itu supaya bekas Perdana Menteri terbabit menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit selaku 'saksi kritikal' yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.
Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights, pada 30 Januari lalu.
Najib Razak mendakwa bekas Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan dekri itu dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Jan.
Najib Razak kini menjalani hukuman di penjara Kajang dan dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028. (GambarBernama)
KUALA LUMPUR: Najib Razak memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk memaksa kerajaan mendedahkan “dekri tambahan” yang didakwa daripada Yang di-Pertuan Agong terdahulu yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman di bawah tahanan rumah.
Pada 2 Feb lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan separuh hukuman penjara Najib bagi kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun dan mengurangkan denda dari RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib, 70, kini menjalani hukuman di penjara Kajang dan dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Dalam permohonannya yang difailkan pada 1 April, Najib mendakwa bahawa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengeluarkan “dekri tambahan” semasa mesyuarat lembaga pada 29 Jan, sehari sebelum tempoh penggal baginda berakhir.
“Bagaimanapun, Titah Adendum (dekri tambahan) itu tidak diumumkan oleh lembaga pengampunan pada 2 Feb,” kata Najib.
Katanya, peguam beliau menulis surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, dan Menteri Undang-Undang Azalina Othman Said bagi mengesahkan sama ada dekri tambahan itu wujud atau tidak. “Permintaan itu tidak dijawab,” kata Najib
“Kegagalan responden untuk mengesahkan kewujudan dekri tambahan dan permintaan pemohon (Najib) untuk ia dilaksanakan, bersama kegagalan Jabatan Penjara melaksanakan dekri itu adalah tidak munasabah”.
Najib juga mendakwa bahawa kerajaan melakukan penghinaan kerana tidak melaksanakan dekri tambahan tersebut.
Bekas presiden Umno itu juga mahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memaksa kerajaan melaksanakan dekri tambahan tersebut – sekiranya ia benar – dan meletakkan beliau di bawah tahanan rumah.
Hakim Amarjeet Singh dijangka mendengar permohonan Najib untuk memulakan cabaran undang-undang esok.
Setiap negeri mempunyai lembaga pengampunan masing-masing yang dilantik oleh sultan atau ketua menteri bersama-sama dengan ahli lembaga pengampunan. Satu-satunya pengecualian adalah wilayah persekutuan, di mana ahli-ahli lembaga dilantik oleh Agong.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan oleh Agong dan terdiri daripada lima ahli – peguam negara, menteri wilayah persekutuan, dan maksimum tiga orang lain yang dilantik oleh Agong.
Najib, yang mempunyai tiga kes jenayah lain yang sedang berjalan, memulakan tempoh penjara asal 12 tahun dalam kes SRC International pada 23 Ogos 2022 selepas rayuannya yang terakhir ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
Beliau dibicarakan oleh Hakim Nazlan Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram, dan jenayah pecah amanah melibatkan dana RM42 juta milik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Pada 28 Julai 2020, beliau disabitkan atas semua tuduhan dan dihukum penjara selama 12 tahun bagi setiap tuduhan. Nazlan memerintahkan hukuman dijalankan secara serentak.
Sabitan dan hukuman Najib kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021.
Pada 23 Ogos 2021, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, menolak rayuan terakhir Najib. Mahkamah juga memerintahkan Najib untuk memulakan tempoh penjara serta-merta.
Mesyuarat Agung Badan Peguam meluluskan usul mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman Najib Razak atas sabitan rasuah SRC International.
Puad Zarkashi berkata usul Badan Peguam mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman Najib Razak bukan sesuatu yang mengejutkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Peguam Negara Ahmad Terrirudin Salleh perlu menjawab “kekeliruan” cuba ditimbulkan Badan Peguam berhubung pengurangan hukuman terhadap Najib Razak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata ini kerana usul diluluskan dalam Mesyuarat Agung Badan Peguam itu seolah-olah menunjukkan Lembaga Pembangunan Wilayah Persekutuan tidak adil dan bukan di bawah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Puad Zarkashi.
“Menteri Wilayah Persekutuan (Zaliha) dan Peguam Negara (Ahmad Terriruddin) perlu jawab segera kekeliruan dimainkan Badan Peguam ini,” katanya di Facebook.
Semalam, Mesyuarat Agung Badan Peguam meluluskan usul untuk memfailkan permohonan bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman bekas perdana menteri itu atas sabitan rasuah SRC International.
Bekas presiden Badan Peguam, Zainur Zakaria memberitahu FMT, usul itu diluluskan dengan “majoriti besar”.
Zainur yang mengemukakan usul itu untuk perbincangan ahli, mendakwa Lembaga Pengampunan “bertindak ultra vires di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan” dalam mengurangkan hukuman penjara 12 tahun Najib kepada enam tahun serta denda RM210 juta kepada RM50 juta.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, Najib hanya menjalani hukuman penjara satu setengah tahun, justeru permohonannya untuk pengampunan sepatutnya tidak diproses dan ditentukan sejak awal.
Zainur turut mendakwa Najib “tidak menunjukkan sebarang penyesalan atau kekesalan atas penglibatannya dalam hal ehwal 1MDB” dan terus menuduh mahkamah tidak melayannya secara adil.
Mengulas lanjut, Puad berkata usul itu bukan sesuatu yang mengejutkan dan mendakwa Badan Peguam sering berat sebelah dan bermain politik.
“Najib tidak memohon pengurangan hukuman, beliau mohon diberi pengampunan penuh atas 12 hujah dia tidak mendapat perbicaraan adil.
“Saya cabar mereka jawab Abdul Rahman Sebli Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli. Beliau kata Najib patut bebas kerana dinafikan perbicaraan adil,” katanya.
(Sinar Harian) – Meskipun Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028 oleh Lembaga Pengampunan, berhubung kes menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, namun bekas Perdana Menteri ini masih berdepan tiga lagi kes jenayah lain, di Mahkamah Tinggi di sini.
Hampir setiap minggu, Najib, 71, dibawa ke mahkamah untuk prosiding penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil saksi ke-49, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Ariffin untuk memberi keterangan.
Dua lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes.
Bagi dua kes ini, ia masih di peringkat pengurusan kes, yang mana pertuduhan pecah amanah jenayah bagi kes IPIC, ia didengar di hadapan Hakim, Datuk Muhammad Jamil Husin sementara AMLA di hadapan Hakim, K Muniandy.
Menyentuh kes pecah amanah jenayah, bekas ahli politik ini mengemukakan representasi kedua agar Jabatan Peguam Negara (AGC) mengkaji enam pertuduhan yang dihadapi bersama-sama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Perkara itu dibuat selepas representasi pertamanya telah ditolak tahun lalu.
Pada 3 Mac 2022, Muhammad Jamil menolak permohonan Najib, dan Mohd Irwan, 68, agar mereka dilepas tanpa dibebaskan daripada semua pertuduhan atas alasan pihak pendakwaan bersedia untuk menjalankan kes.
Sementara pada 3 April tahun lalu pula, mahkamah diberitahu, prosiding kes pecah amanah mereka yang sepatutnya bermula pada hari tersebut, ditangguhkan selepas pendakwaan memaklumkan terdapat perkembangan baharu.
Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan kes itu berlangsung selama 30 hari bermula 4 Jun ini.
Tarikh-tarikh lain ialah 5, 6, 10, 11,12,13, 19, 20, 24 hingga 27 Jun manakala pada Julai bermula 2 hingga 4, 9 hingga 11, 15 hingga 18, 22 hingga 25, dan 29 hingga 31.
Sementara bagi kes AMLA membabitkan dana SRC, bekas Presiden UMNO ini turut menghantar representasi pada 31 Julai tahun lalu, namun belum diputuskan AGC.
Susulan itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, memohon mahkamah memberi perintah DNAA kepada anak guamnya kerana kes terbabit telah tertangguh hampir enam tahun.
Beliau berkata, sebanyak 26 prosiding dibuat di hadapan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) manakala empat di hadapan Muniandy.
Muniandy kemudiannya menetapkan perbicaraan kes pada 17, 18,19, 23 dan 24 September depan.
Hakim ini berkata, sekiranya pada tarikh berkenaan pihak pendakwaan masih belum bersedia dengan status representasi, maka Najib boleh mohon DNAA atau dilepaskan dan dibebaskan (DNA) daripada pertuduhan berkenaan.
Kes yang dihadapi Najib
1) SRC, (sudah dijatuhi hukuman)
Hukuman:
– Penjara 12 tahun kepada enam tahun
– Denda, RM210 juta kepada RM50 juta
2) Kes penyelewengan dana 1MDB (masih di peringkat perbicaraan)
– Kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil saksi ke-49, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Ariffin untuk memberi keterangan.
3) Pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) – (masih di peringkat pengurusan kes)
4) Pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta (masih di peringkat pengurusan kes)
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi mendakwa pengurangan hukuman penjara yang dikenakan ke atas bekas perdana menteri Najib Razak adalah satu percubaan untuk melemahkan Umno.
"Najib gagal dapat pengampunan penuh. Ia amat melukakan. Orang lain boleh, dia tidak boleh. Ada yang mahu ia tidak dibolehkan.
"Banyak pihak akan berpesta. Najib adalah “wow” faktor pemulihan Umno. Kini senjata kebangkitan Umno di tumpulkan," katanya dalam satu hantaran di Facebook, petang tadi.
Dia berkata demikian ketika mengulas keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang menngurangkan separuh hukuman penjara 12 tahun ke atas bekas perdana menteri itu yang dijangka dibebaskan pada Ogos 2028.
Kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri menyatakan denda yang perlu dibayar oleh Najib ialah sebanyak RM50 juta.
Jumlah asal yang diputuskan mahkamah sebelum ini ialah RM210 juta.
Puad berkata keputusan itu tidak akan melemahkan Najib dan meminta bekas presiden Umno itu memberi kritikan terhadap kerajaan hari ini.
"Najib mesti kembali aktif memberi idea dan kritikan dalam isu ekonom dan kesejahteraan rakyat. Fizikal terkurung tetapi pemikirannya tidak.
"Buatlah apa sahaja kepada Najib, yang setia tetap bersama. Kifarah tidak akan salah alamat," katanya.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bersetuju memberi pengurangan hukuman penjara yang dikenakan ke atas Najib Razak yang kini ditahan di Penjara Kajang.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan petang ini, lembaga itu menyatakan, dengan pengurangan separuh hukuman tersebut, bekas perdana menteri terbabit dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri menyatakan denda yang perlu dibayar oleh Najib ialah sebanyak RM50 juta.
Jumlah asal yang diputuskan mahkamah sebelu ini ialah RM210 juta.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan Lembaga Pengampunan telah mempunyai keputusan mengenai pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak.
Bagaimanapun, Anwar enggan mengulas lanjut perkara tersebut sebaliknya meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi oleh Lembaga Pengampunan.
"Ya, sudah ada kepastian, tunggu pengumuman," katanya ketika ditanya pemberita selepas makan tengah hari di Gerai Makan Pertama Complex, di Kuala Lumpur, hari ini.
Apabila diminta menjawab mengenai pengampunan diberikan kepada Najib, Anwar hanya menjawab “tunggu pengumuman”.
Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak akan membuat sebarang pengumuman mengenai keputusan itu, sebaliknya ia bakal dilakukan sendiri oleh Lembaga Pengampunan.
"(Itu) urusan Lembaga Pengampunan, tunggu... sudah ada kepastian (keputusannya),” kata Anwar.
Spekulasi yang dilaporkan oleh saluran-saluran berita luar negara berkata, Lembaga Pengampunan (Wilayah Persekutuan) yang bersidang pada Isnin 29 Januari telah memendekkan tempoh penjara Najib daripada 12 tahun, yang dijatukhan oleh mahkamah, kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM210 juta.
Mengikut laporan Channel News Asia (CNA) Singapura, keputusan itu telah dibuat oleh Lembaga Pengampunan yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong kononnya kerana bekas perdana menteri itu "berkelakuan baik".
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, memaklumkan bahawa Lembaga Pengampunan dijangka membuat pengumuman rasmi berhubung permohonan Najib itu, minggu ini.
TUMPUAN rakyat kini dibawa kepada isu pembebasan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak. Ia dikatakan susulan permohonan peguam Najib dan desas-desus keputusan mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Dato’ Sri Najib adalah simbol tumpuan serangan Pakatan Harapan (PH) dengan isu 1MDB selain nama isterinya, Datin Sri Rosmah Mansor yang sentiasa bermain di bibir Rafizi Ramli.
PRU14 dahulu, seakan tiada isu lain, sasaran PH adalah mahu memenjarakan Najib dan Rosmah menjadi perjuangan utama pakatan tersebut ketika itu.
Seakan tiada langsung masalah-masalah lain yang sepatutnya lebih penting diisukan, selain Najib dan Rosmah yang didakwa menjadi kebobrokan kepada negara.
Pemenjaraan Najib bahkan dipropagandakan sebagai adalah kunci penyelesaian untuk harga minyak diturunkan, PTPTN dilupuskan, tol lebuhraya dihapuskan dan Ringgit Malaysia dipulihkan. Itulah slogan perjuangan PH.
Akhirnya, Najib dijatuhkan hukuman pada Julai 2020 dan rayuannya ditolak pada tahun 2022. Sabitan kes adalah penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Pemenjaraan Najib adalah kemenangan kepada PKR dan DAP, manakala Umno menerima bencana daripada isu Najib. Umno-Barisan Nasional (BN) kalah tersungkur dalam PRU14.
Kemarahan Umno atas sebab itu diterjemahkan dalam slogan popular ‘No Anwar, No DAP!’. Namun slogan itu tidak menjadi dan Umno kalah lagi. Akhirnya Umno terpaksa mengkhianati perjuangan dan slogan mereka apabila berganding bahu dan menyokong Anwar dan DAP.
Keputusan pembebasan Najib dinanti, jika benar, apakah Umno telah menang kembali dan Anwar serta DAP telah kalah? Atau Anwar dan DAP terpaksa membebaskan Najib setelah PERIKATAN NASIONAL (PN) dilihat semakin kuat? PH faham jika Umno lemah, bererti PN akan kuat. Maka Umno perlu dipulihkan.
Cara yang diharap memulihkan Umno antaranya ialah dengan membebaskan Najib. Jika Najib bebas bagaimana pula sokongan pengundi PH yang dulunya mengundi untuk memenjarakan Najib? Bagaimana pula makian dan cacian dari pemimpin DAP dan PKR kepada Najib?
Jika Najib dibebaskan, apakah DAP dan PKR akan menjilat kahak dan mensucikan Najib seperti Anwar dikultuskan? Jika Anwar dianggap tidak bersalah dengan pengampunan, apakah Najib juga dianggap tidak bersalah jika Najib bebas?
Bercelaru… kucar kacir… tak menentu… Namun jika Najib dibebaskan, lupakan kisah lalu, pakat bina hidup baru… Mungkin itu slogan paling wajar untuk pendukung PH dan BN agar kuasa kekal walau untuk seketika.
FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Negeri Perak
Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman 12 tahun penjara setelah kekal didapati bersalah melibatkan RM42 juta dana SRC International.
Isu pengampunan ahli politik mendapat perhatian umum kebelakangan ini, ia selepas UMNO membuat permohonan untuk membebaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi proses tersebut.
UMNO nampaknya bersungguh-sungguh mahu membebaskan Najib walaupun sudah disabitkan dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd yang mengakibatkan negara hilang puluhan juta hasil salah laku dilakukannya.
Peluang terhidang selepas UMNO menjadi parti dalam membentuk kerajaan pusat walaupun pemimpin utamanya sedang berdepan pendakwaan di mahkamah, malahan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini juga memohon untuk membatalkan pertuduhan kes rasuah Yayasan Akalbudi dihadapinya.
Seorang peguam terkenal, Rafique Rashid menyuarakan kebimbangan terhadap usaha UMNO mendapatkan pengampunan diraja bagi bekas perdana menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara.
Ujarnya, permohonan pengampunan diraja yang oleh ahli-ahli politik seakan menjadi trend terbaru, menyifatkannya sebagai satu keadaan yang amat kritikal sedang berlaku dalam sistem perundangan di Malaysia.
Beliau juga menimbulkan persoalan tentang bagaimana terlalu mudah sekali bagi para penganalisis politik tempatan bercakap tentang pengampunan diraja dengan hujah untuk memperkukuh kerajaan semasa.
Soalnya, bagaimana begitu mudah rakyat Malaysia dipermainkan dengan isu politik dan personaliti tertentu sehingga mengenepikan perkara undang-undang dan sistem kehakiman negara.
“Malaysia ini dah tak ada rasa malu ke?
“Kini, seolah-olah melakukan jenayah asalkan anda terkenal dan ahli politik kita boleh terima.
“Walaupun melakukan jenayah. Sedangkan jenayah itu adalah penyelewengan, salah guna kuasa, wang rakyat dan sebagainya,” katanya menurut laporan MalaysiaNow.
Kenyataan ini dikeluarkan selepas timbul cakap-cakap bahawa Lembaga Pengampunan Diraja dalam proses membincangkan pengampunan terhadap Najib yang kini sedang menjalani 12 tahun hukuman penjara.
Pada 31 Mac, sidang lima hakim di Mahkamah Persekutuan secara majoriti menolak permohonan Najib meminta pensabitan dan hukumannya disemak semula.
Mengulas lanjut, Rafique turut menyuarakan kebimbangan trend tersebut kemudian hari akan mencetuskan satu bentuk normalisasi dalam kalangan ahli politik yang disabitkan kesalahan jenayah.
“Adakah kita (akan) sampai ke tahap itu?”
Dalam pada itu, peguam Haniff Khatri membangkitkan isu ini berupaya menimbulkan kebimbangan sama ada pengampunan diraja di bawah bidang kuasa mutlak Agong melibatkan pengampunan hukuman dan juga pengampunan sabitan.
Persoalan ini katanya berkait rapat dengan usaha memohon pengampunan diraja Najib di mana adakah beliau boleh membuat permohonan pengampunan hukuman tetapi juga sabitan.
“Sebab apa, kalau kita ingat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, dia satu negara dia jaja bahawa pada 16 Mei (2018) bukan sahaja hukumannya diampunkan tetapi sabitannya diampunkan.
”Seolah-olah tidak ada lagi rekod jenayahnya,” katanya merujuk kepada pengampunan diraja Anwar pada Mei 2018 selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Menurut Haniff, persoalan tentang memberikan pengampunan hukuman bukan lagi isu kerana ianya sudah jelas menjadi kuasa mutlak dan budi bicara Agong.
“Tetapi, bolehkah Agong batalkan sabitan iaitu penemuan kebersalahan oleh mahkamah? Itulah isu dia pada masa pengampunan diraja Anwar muncul.”
Ini kerana katanya, di dalam dokumen Anwar tidak disebut mengenai pengampunan sabitan tapi kalau dalam dokumen Najib tiba-tiba ada pembatalan sabitan mungkin ianya akan dicabar lagi oleh sesiapa.
“Dan masa itu mahkamah kena buat keputusan sebab masa kes Anwar, mahkamah tidak buat keputusan. Sebab mahkamah mendapati tiada pengampunan sabitan.
“Inilah perkara yang menarik sebab bila Perlembagaan dan undang-undang dipermain-mainkan, dia akan datang balik menghantui orang yang mempermain-mainkannya.”
Sebelum ini, Haniff mengetuai anak guamnya Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mencabar kesahan pengampunan diraja yang diperoleh Anwar pada 2018.
KUALA LUMPUR: Lembaga Pengampunan yang bersidang pagi tadi, tidak membincangkan mengenai petisyen rayuan pengampunan yang difailkan oleh Datuk Seri Najib Razak, untuk diampun dan dibebaskan daripada penjara.
Ketika persidangan hari ini, petisyen pengampunan terhadap Najib itu, tidak dibentang oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia lembaga terbabit.
Persidangan Lembaga Pengampunan bermula jam 11 pagi itu dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Sidang hari ini tidak membincangkan petisyen Najib kerana kes sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya kerana menyeleweng dana SRC International, baharu sahaja difailkan.
"Petisyen yang difailkan beliau perlu mengikut giliran. Persidangan yang berlangsung hari ini hanya membincangkan kes-kes terdahulu yang diterima lebih awal oleh urus setia Lembaga Pengampunan," kata sumber di sini hari ini.
Tahun lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika itu, Tan Sri Azhar Azizan Harun, dalam kenyataan media, berkata Najib sudah memfailkan petisyen pengampunan dan memaklumkan menerima serahan beberapa dokumen, antaranya salinan permohonan pengampunan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, bertarikh 1 September tahun lalu.
Beliau turut menerima salinan surat daripada Tetuan Shafee & Co yang melampirkan permohonan pengampunan itu dan diakui terima oleh Ketua Pengarah BHEUU JPM pada 2 September tahun lalu.
Dalam penghakiman pada 31 Mac lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1, menolak permohonan Najib menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli, mempengerusikan panel lima hakim terbabit yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang; Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.
Dalam permohonan itu, Najib, 69, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, memohon membatalkan keputusan yang dibuat panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos tahun lalu.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu kemudiannya dikekalkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang pada 9 Disember 2021.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat pada 7 April lalu memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia sebagaimana kuasa diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu MKT sebulat suara bersetuju memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong berserta memorandum ditandatangani seluruh kepimpinan UMNO daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan sayap Pergerakan Pemuda serta Puteri UMNO.
Semalam, Parti Amanah Negara (AMANAH) merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Najib untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.
Dalam kenyataan dikeluarkan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad, parti itu berpendirian, hanya dengan cara itu sahaja nama baik negara dan komitmen untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dapat dijaga.
Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman 12 tahun penjara setelah kekal didapati bersalah melibatkan RM42 juta dana SRC International.
Parti Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.
Rayuan Amanah tersebut dibuat menjelang sidang Lembaga Pengampunan esok yang dijangka akan membincangkan berhubung permohonan dibuat UMNO untuk membebaskan Najib yang sedang menjalani hukuman penjara ekoran sabitan kes SRC International Sdn Bhd.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad, parti itu berpendirian, hanya dengan cara itu sahaja nama baik negara dan komitmen untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dapat dijaga.
“Dengan penuh hormat dan takzim, kami dari Parti Amanah Negara ingin merayu kepada Agong dan Lembaga Pengampunan supaya permohonan pengampunan ini ditolak dan Najib terus dipenjarakan atas sebab kesalahan yang jelas telah beliau lakukan.
“Hanya dengan itu, rakyat akan yakin bahawa Kerajaan Perpaduan dan Institusi Raja-raja Melayu, bersama Seri Paduka, ingin menyelamatkan negara kita dari pandemik rasuah dan salah guna kuasa yang melandanya sekian lama,” katanya dalam kenyataan dilaporkan oleh Harapandaily.
Lembaga Pengampunan dikatakan akan bersidang dan membuat keputusan sama ada akan memberikan pengampunan kepada Datuk Seri Najib Razak atau tidak esok.
Amanah menyifatkan, pendirian lembaga itu sebagai satu peristiwa yang akan diikuti pelbagai pihak, bukan setakat rakyat negara ini tetapi juga seluruh dunia.
“Keputusan yang dibuat akan menetapkan batu tanda yang penting dalam sejarah negara ini.
“Adalah diharap pandangan ini apabila disuarakan akan membantu Seri Paduka untuk membuat keputusan yang baik dan tepat bagi dirinya, institusi raja-raja Melayu dan negara ini secara keseluruhannya.
“Ia akan memberi petanda sejauh mana perjuangan menentang rasuah dan salah guna kuasa diambil serius atau sekadar cogan kata politik dan pilihan raya sahaja.
“Dalam pada itu, ramai yang bertanya, apa pendirian Parti Amanah sebagai rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan melalui Pakatan Harapan (PH) dalam isu ini,” tegas Khalid.
Khalid berkata, ramai turut hairan dengan apa yang disebut sebagai “the deafening silence” atau “kesunyian yang memekakkan” berhubung isu ini, khususnya oleh parti-parti gabungan dalam PH.
“Kami ingin tegaskan bahawa Amanah mengakui dan mengiktiraf, pengampunan adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong.
“Namun demikian, tiada salahnya untuk Amanah memberi pandangannya terhadap isu ini.
“Adalah diharap pandangan ini apabila disuarakan akan membantu Seri Paduka untuk membuat keputusan yang baik dan tepat bagi dirinya, institusi raja-raja Melayu dan negara ini secara keseluruhannya,” kata kenyataan itu lagi.
Katanya, Amanah berpandangan, pengampunan kepada Najib akan menghantar mesej yang sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara negara ini dan juga kepada seluruh dunia berhubung sikap dan pendirian kita terhadap rasuah dan salah guna kuasa.
“Apakah memberikan pengampunan kepada orang yang telah memalukan negara di serata dunia akan menunjukkan sikap tegas dan tiada kompromi kita terhadap rasuah?
“Sudah pasti tidak!
“Sebaliknya ia akan memberikan isyarat salah bahawa perang rasuah hanya cogan kata kosong untuk kepentingan politik dan akhirnya semua akan kembali seperti biasa,” kata kenyataan itu.
Apatah lagi, katanya, satu demi satu negara di dunia sedang membicarakan pihak-pihak yang bersekongkol dengan Najib dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ini.
Kalau sebelum ini Amerika Syarikat, Singapura, Kuwait dan terkini Switzerland pula membicarakan pesalah dalam skandal 1MDB ini.
“Selepas 13 dari 14 hakim bersidang bagi membicarakan Najib memutuskan beliau bersalah tiba-tiba negara melalui Lembaga Pengampunan mahu memberikan pengampunan kepada beliau pula?
“Tidakkah ini bererti adanya golongan yang kebal undang-undang dan ‘above the law’?” katanya.
Bagi Amanah, persoalan pengampunan ini dibawa oleh UMNO atas rasa tanggungjawab mereka terhadap bekas Presiden mereka.
“Walaupun sifat kesetiaan dan mengenang jasa terhadap pemimpin secara amnya adalah satu sifat positif, namun dalam konteks ini adalah lebih baik UMNO bersama PH menunjukkan komitmen terhadap usaha memerangi rasuah yang menjadi paksi masyarakat madani.
“Tindakan UMNO kelihatan sedikit terpesong dari wawasan masyarakat madani yang diperjuangkan bersama,” katanya.
Lagipun, kata kenyataan itu, Najib berdepan dengan banyak lagi kes di mahkamah yang sedang dibicarakan.
“Apakah selepas diampunkan, beliau akan masuk ke penjara lagi jika didapati bersalah selepas ini?
“Atau dianggap beliau berada di satu maqam dan kedudukan istimewa yang kebal undang-undang?” katanya.
malaysiakini.com Bernama Diterbitkan 27 Jan 2021, 8:31 pm
Rayuan Anwar Ibrahim berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk membatalkan saman berhubung kesahan pengampunan diraja yang diberikan kepadanya dalam kes liwat akan didengar pada 18 Mac.
Perkara itu disahkan peguamnya J Leela dalam satu teks mesej menyatakan tarikh pendengaran kes tersebut yang sebelum ini ditetapkan pada 28 Julai, telah dipercepatkan kepada bulan Mac.
Rayuan itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini. Peguam Mohamad Farhan Kamarudin mewakili Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, juga seorang peguam, yang memfailkan saman itu terhadap Anwar.
Rayuan Anwar akan didengar bersama dengan rayuan Lembaga Pengampunan.
Pada 21 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman itu selepas memutuskan bahawa Mohd Khairul Azam mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan perundangan kerana dia adalah orang awam serta individu yang berkelayakan sebagai peguam.
Ahli Parlimen Port Dickson itu memfailkan permohonan bagi membatalkan saman itu atas alasan, antara lain, Mohd Khairul Azam tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman pemula serta ia adalah remeh, mengaibkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.
Mohd Khairul Azam, yang memfailkan saman pemula pada 26 Feb tahun lepas, menamakan Lembaga Pengampunan serta Anwar sebagai responden dan mendakwa beberapa tindakan tidak berperlembagaan telah diambil bagi memastikan Anwar mendapat pengampunan yang membebaskannya dari penjara selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Dia mendakwa pengampunan yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong adalah bertentangan dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berdasarkan fakta bahawa pengampunan yang diberikan Agong hendaklah diasaskan kepada nasihat Lembaga Pengampunan.
Mohd Khairul Azam mendakwa lembaga itu belum dibentuk secara rasmi selepas Pilihan Raya Umum pada 9 Mei 2018 dan pembentukan kerajaan baru.
Anwar telah dihukum penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, dan sabitan serta hukuman itu telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan untuk membatalkan saman peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berhubung pengampunan penuh yang diberikan terhadap presiden PKR itu yang dipenjara atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.
Perkara tersebut dimaklumkan peguam J Leela yang mewakili Anwar kepada pemberita selepas pengurusan kes secara e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rumaizah Baharom yang kemudiannya menetapkan 14 Ogos untuk pendengaran permohonan anak guamnya itu.
"Pendengaran permohonan Anwar selaku defendan kedua untuk membatalkan saman itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad," kata peguam itu.
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz
Katanya, Peguam Kanan Persekutuan Natra Idris yang mewakili Lembaga Pengampunan selaku defendan pertama turut memaklumkan pihaknya juga akan memfailkan permohonan sama (untuk membatalkan saman).
Leela berkata Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memfailkan permohonan itu pada 13 Mei lepas antara lain atas alasan Khairul Azam selaku plaintif tidak mempunyai locus standi atau kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan tindakan saman itu, tuntutan saman plaintif remeh, mengaibkan serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah.
Mohd Khairul Azam selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Raja Riza & Associates pada 26 Feb lepas dengan menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar selaku defendan pertama dan kedua.
Mengikut penyataan tuntutannya, Mohd Khairul Azam berkata pada 10 Feb 2015, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan terhadap Ahli Parlimen Port Dickson itu atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Bagaimanapun, peguam itu mendakwa pada 9 Mei 2018, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dan kerajaan baharu dibentuk, beberapa tindakan salah dan tidak berperlembagaan telah dilaksanakan bagi memastikan Anwar mendapat pengampunan dan dibebaskan daripada hukuman penjara yang sedang dijalaninya.
Dakwa plaintif, selepas dua hari kerajaan baharu dibentuk, perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang media pada 11 Mei 2018, mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah bersetuju memberikan pengampunan penuh kepada Anwar.
Mohd Khairul Azam mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar adalah bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh YDPA hendaklah dilaksanakan dengan nasihat oleh Lembaga Pengampunan.
Dakwanya, Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna selepas pembentukan kerajaan baharu dan adalah mustahil bagi Lembaga Pengampunan dapat bersidang memberikan nasihat kepada YDPA bagi memberikan pengampunan kepada Anwar.
Oleh itu, plaintif antara lain memohon pengisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan telah ditubuhkan secara tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan bersidang dan seterusnya menasihati YDPA berkenaan rayuan pengampunan Anwar, mengakibatkan nasihat yang diberikan kepada YDPA adalah tidak sah dan terbatal.
- Bernama
MR :Nampak jelas penyalahan kuasa semasa PH mula berkuasa
Peguam kontroversi Mohd Khairul Azam Abdul Aziz memfailkan saman untuk mencabar nasihat Lembaga Pengampunan terhadap Yang di-Pertuan Agong berkaitan kes liwat Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Katanya, beliau telah mengarahkan tetuan Messrs Raja Riza & Associates memfailkan writ saman yang menamakan lembaga itu dan Anwar sebagai defendan.
Ia difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekitar jam 4.30 petang ini.
“Antara lain, saya ingin mempersoalkan komposisi Lembaga Pengampunan ketika itu yang ditubuhkan secara salah dan tidak menepati keperluan undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Saya berpendapat bahawa sebagai pihak terkesan dalam isu ini, maka saya mempunyai hak untuk mengemukakan persoalan ini kepada Mahkamah bagi mendapatkan kepastian.
“Oleh itu, saya telah mengarahkan peguam cara saya untuk mengambil tindakan lanjut,” katanya merujuk kepada nasihat kepada agong pada 16 Mei.
Pada tarikh itu Anwar dibebaskan dari penjara selepas mendapat pengampunan penuh diraja dalam kes liwat melibatkan Mohd Mohd Saiful Bukhari Azlan.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak bersetuju hukuman mati mandatori dimansuhkan, tetapi menyeru kepada kaedah hukuman berperingkat.
Presiden PAS menggesa kerajaan menjadikan hukuman mati mandatori pilihan terakhir selepas hukuman lebih ringan dikenakan, seperti kaedah hukuman ta’zir dalam Islam.
“Saya harap kerajaan dapat mengkaji terlebih dahulu keputusan berkenaan mengikut proses yang adil dan betul mengikut peringkat-peringkat tertentu.
“Walaupun hukum mati mandatori diperuntukkan bagi kesalahan dadah, mesti didahulukan dengan hukuman lain dulu,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong pada Ahad berkata hukuman mati mandatori akan digantikan dengan penjara minimum 30 tahun jika Parlimen meluluskan pemansuhannya.
Rang undang-undang berkenaan dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang, dan sementara itu menteri menggesa Lembaga Pengampunan mempertimbangkan untuk menggantung hukuman mati.
Terdapat 18 kesalahan jenayah memperuntukkan hukuman mati seperti mengedar dadah, membunuh, rogol kanak-kanak, rogol hingga menyebabkan kematian dan menggunakan senjata api, selain terorisme dan melancarkan perang.
Media melaporkan terdapat 1,267 banduan yang berdepan hukuman mati di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 sehingga kini tetapi hukuman itu tidak dilaksanakan sejak 2014.
MyMetro Mutakhir Farah Marshita Abdul Patah
farahmarshita@nstp.com.my
DATUK Liew Vui Keong.FOTO Arkib NSTP
PELAKSANAAN hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhkan di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, berikutan itu semua pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.
Beliau berkata, Kabinet sudah membuat keputusan untuk memansuhkan pelaksanaan hukuman mati, bagaimanapun terdapat beberapa perkara yang perlu diperincikan.
“Kita akan memaklumkan kepada Lembaga Pengampunan untuk melihat permohonan banduan yang kini dalam senarai hukuman mati, sama ada dilepas atau diringankan (hukuman).
“Bagaimanapun, bagi kesalahan dadah ia mungkin berbeza kerana mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau sebaliknya,” katanya kepada media selepas Bual Bicara Reformasi Undang-undang di Universiti Malaya, hari ini.
Vui Keong berkata, semua kertas kerja berada di peringkat akhir dan Peguam Negara sudah memberi isyarat bahawa ia sudah siap untuk dibentangkan di Parlimen bermula 15 Oktober ini.
“Ini adalah perkembangan penting bagi negara dan saya harap ia akan mendapat kelulusan supaya Rang Undang-undang (RUU) pemansuhan dapat dibentangkan dengan segera,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 10:13 PM
Diterbitkan 7 Okt 2018, 11:20 malam | Dikemaskini 7 Okt 2018, 11:34 malam
Yang di-Pertuan Agong tidak perlu bertindak berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan untuk membatalkan kehilangan kelayakan seseorang banduan daripada bertanding pilihan raya, kata bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad.
Beliau berkata Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan memang memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong kuasa untuk "memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum" (grant pardons, reprieves, respites) terhadap semua kesalahan di dalam negara mengikut nasihat Lembaga Pengampunan.
Namun, kata Abdul Hamid Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan juga memberikan kuasa untuk membatalkan kehilangan kelayakan bertanding.
"Lembaga Pengampunan ditubuh di bawah Perkara 42 untuk tujuan perkara tersebut sahaja. Tidak disebut sama ada dalam Perkara 42 atau 48 bahawa ia terpakai bagi Perkara 48.
"Lagi pula pembatalan kehilangan kelayakan bukanlah satu pengampunan yang dimaksudkan oleh Perkara 42.
"Oleh itu, saya berpendapat, baginda tidak perlu melakukannya atas nasihat Lembaga Pengampunan. Sama ada baginda perlu melakukannya atas nasihat Perdana Menteri adalah satu perkara lain.
"Maka, seorang yang kehilangan kelayakan menjadi ahli parlimen di bawah Perkara 48(1)(e) yang tidak mendapat pengampunan bebas, boleh memohon untuk diberi pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48(3).
Pengampunan bebas layak jadi PM
"Jika dia mendapat pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48, walaupun dia tidak mendapat pengampunan bebas di bawah Perkara 42, dia boleh bertanding dari dalam penjara dan menjadi seorang ahli parlimen walau pun dia terus menjalani hukuman penjara.
"Malah, dia boleh menjadi perdana menteri jika partinya menang majoriti," kata beliau dalam hantaran blognya hari ini.
Beliau berkata demikian di tengah-tengah pertikaian di mahkamah yang memohon pengisytiharan calon PRK Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak layak bertanding kerana terdapat kecacatan dalam pengampunan kesalahan liwatnya.
Pengundi Port Dickson, Noraziah Mohd Shariff berkata Lembaga Pengampunan tidak dibentuk berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz sebelum ini berkata Anwar dibeirkan "pengampunan penuh" tetapi Hamid memaklumkan istilah itu tidak digunakan dalam perlembagaan negara.
Hamid juga berkata di bawah Perkara 42, perlembagaan tidak mentakrifkan "pengampunan bebas." Justeru, katanya terserah kepada mahkamah untuk memutuskan maksud "pengampunan bebas" dan "pengampunan penuh" serta jika kedua istilah memberikan erti yang sama.
Perkara 42(1) Perlembagaan, antara lain, memperuntukkan:
42. (1) Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan …yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan…”.
Dalam Bahasa Inggeris, bahasa rasmi Perlembagaan, kata-kata ampun, tunda hukum dan lega hukum itu adalah “pardons, reprieves and respites”. Oleh sebab bahasa rasmi Perlembagaan adalah bahasa Inggeris, eloklah kita lihat makna perkatan-perkataan “pardon, reprieve dan respite” itu.
Cambridge English Dictionary menjelaskan makna “pardon” seperti berikut: “If someone who has committed a crime is pardoned, that person is officially forgiven and their punishment is stopped.” (Jika seseorang telah melakukan satu kesalahan jenayah diampunkan, orang itu dengan rasminya dimaafkan dan hukuman ke atasnya dihentikan.)
“Reprieve” bererti “to stop or delay the punishment, especially by death, of a prisoner.” (“Repreive” bererti menghentikan atau melambatkan hukuman, terutama sekali hukuman mati, seorang pesalah).
“Respite” bererti “to postpone a sentence, etc” (“Respite” bererti menangguhkan hukuman dan sebagainya.)
Makna bertindih tiga perkataan
Dapat diperhatikan bahawa ketiga-tiga perkataan itu mempunyai makna yang bertindih. Juga dapat diperhatikan bagaimana penterjemah Perlembagaan menghadapi masalah menterjemahnya.
Bagi tujuan kita, memadailah jika dikatakan bahawa di bawah Perkara 42 itu, berbagai-bagai jenis “pengampunan” boleh diberi. Misalnya, jika seseorang yang belum menjalani hukuman penjara “diampunkan”, dia tidak perlu menjalani hukuman itu.
Jika dia telah menjalani sebahagian daripada hukuman penjara yang di kenakan ke atasnya, dia tidak perlu menjalani baki hukumannya. Hukuman yang dijatuhkan ke atas seseorang pesalah boleh ditangguh, seperti hukuman mati.
Atau hukuman ke atasnya boleh digantikan dengan hukuman yang lebih ringan. Hukuman penjara juga boleh dipendekkan.
Jika seseorang itu diberi pengampunan dan dibebaskan serta merta, maka ertinya, dari saat keputusan itu dibuat, dia tidak perlu lagi menjalani hukuman penjara itu.
Tiada kata "pengampunan penuh" dalam perlembagaan
Kata-kata “pengampunan penuh” tidak digunakan dalam perlembagaan. Jika Lembaga Pengampunan memberi “pengampunan penuh dan pembebasan serta merta”, makna yang boleh diberi ialah bahawa pesalah itu diampunkan kesalahannya dan dia dibebaskan daripada menjalani hukuman yang sedang dijalaninya dengan serta merta.
Pemberian pardon, reprieve dan respite itu tidak bererti sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atas pesalah itu di mansuhkan atau dipadamkan daripada rekod mahkamah. Peritah itu kekal, cuma pesalah itu diampunkan atau dimaafkan daripada menjalani hukumannya.
Pengampunan itu tidak boleh disamakan dengan perintah mahkamah to set aside(mengenepikan), quash (membatalkan), atau deklarasi null and void (tak sah dan batal). Hanya mahkamah yang boleh membuat perintah-perintah itu.
Perhatikan bahawa Perkara 42 tidak menyebut langsung hubungan pengampunan di bawah perkara itu dengan kelayakan atau pembatalan kehilangan kelayakan seseorang ahli Parlimen. Tetapi, ia dikaitkan oleh Perkara 48(1)(e).
Perkara 48(1) memperuntukkan:
48. (1) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen jika— …..
(e). dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Wilayah-wilayah Persekutuan …. dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas; atau ……….
(3) Kehilangan kelayakan seseorang di bawah perenggan…. (e) Fasal (1) boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong…”
Perkara 48 (1)(e) menyebut apa yang menyebabkan seorang itu hilang kelayakan. Ia juga menyebut pengecualiannya iaitu jika orang itu mendapat pengampunan bebas. (free pardon). Anehnya, perkataan “pengampunan bebas” tidak digunakan dalam Perkara 42.
Tugas mahkamah taksirkan
Kesan kedua-dua peruntukan itu, apabila dibaca bersamaan, ialah:
1. Seseorang itu hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen jika dia telah disabitkan atas suatu kesalahan dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit. (Perkara 48(1)(e)).
2. Jika dia mendapat pengampunan bebas, dia tidak hilang kelayakan itu. (Pekara 48(1)(e)).
3. Jika dia tidak mendapat pengampunan bebas, kehilangan kelayakan itu boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong. (Perkara 48(3)).
Apakah ertinya “pengampunan bebas”? Ini tidak ditafsirkan. Bolehkah ia disamakan dengan “pengampunan penuh”? Ini adalah tugas mahkamah untuk mentafsirkannya.”
Di bawah Perkara 42, Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan atas nasihat Lembaga Pengampunan. Adakah dalam membatalkan kehilangan kelayakan juga, baginda dikehendaki melakukannya atas nasihat Lembaga Pengampunan?
Lembaga Pengampunan ditubuh di bawah Perkara 42 untuk tujuan perkara tersebut sahaja. Tidak disebut sama ada dalam Perkara 42 atau 48 bahawa ia terpakai bagi Perkara 48. Lagi pula pembatalan kehilangan kelayakan bukanlah satu pengampunan yang dimaksudkan oleh Perkara 42.
Nasihat Lembaga Pengampunan
Oleh itu, saya berpendapat, baginda tidak perlu melakukannya atas nasihat Lembaga Pengampunan. Sama ada baginda perlu melakukannya atas nasihat perdana menteri adalah satu perkara lain.
Maka, seorang yang kehilangan kelayakan menjadi ahli parlimen di bawah Perkara 48(1)(e) yang tidak mendapat pengampunan bebas, boleh memohon untuk diberi pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48(3).
Jika dia mendapat pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48, walaupun dia tidak mendapat pengampunan bebas di bawah Perkara 42, dia boleh bertanding dari dalam penjara dan menjadi seorang ahli parlimen walau pun dia terus menjalani hukuman penjara. Malah, dia boleh menjadi perdana menteri jika partinya menang majoriti!
Bagaimana dia akan menghadiri persidangan parlimen adalah perkara lain. Penguasa penjara patut memberi kemudahan kepadanya.
Bagaimana dia akan menjalankan tugas sebagai perdana menteri jika dia menjadi perdana menteri?
Kita tidak perlu memikirkan pilihan-pihan lain. Jika seorang banduan boleh diberi “pengampunan penuh” hanya untuk bertanding untuk menjadi ahli parlimen, dan selepas itu (mungkin) menjadi perdana menteri, seorang banduan yang partinya telah menang majoriti (jika itu berlaku) dan dipersetujui oleh partinya untuk menjadi perdana menteri tentulah berada di kedudukan yang lebih kuat untuk diberi pengampunan bebas!
Berdasarkan precedent yang ada, apakah alasan untuk menolaknya? Sama ada orang ramai mahukan seorang yang disabitkan kesalahan menjadi perdana menteri adalah perkara lain.