bebasnews.my
By Abdul Hafiz Ahmad
-29/02/2024
AHLI politik veteran, Datuk Zaid Ibrahim (gambar atas) menyeru parti-parti politik dan orang-orang Melayu kembali bersatu dalam keadaan sekarang yang meruncing yang menyaksikan kerajaan seperti lembu yang mudah ditarik hidungnya ke mana sahaja.

Beliau yang juga telah kembali menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) sejak 2022 berkata, hanya dengan penyatuan ini mampu memastikan usaha membela nasib ekonomi dan pelajaran serta kuasa bangsa Melayu dijayakan.
“Selain soal ekonomi, maruah orang-orang Melayu juga mustahak dan perlu dijaga walaupun kita miskin. Kebenaran itu kebenaran dan prinsip tetap prinsip, itulah perjuangan agama kita pun (Islam).

“Kita tidak boleh ditarik macam lembu, orang itu nak ke kanan dan ke kiri serta tidak perlu kita takut kepada Sarawak dan Sabah,” katanya dipetik daripada laman sosial TikTok Zaid Ibrahim berjudul “Melayu Bermaruah Bersatu!”, hari ini.

Zaid, 73, merujuk kepada tindakan terhadap Ketua Pengarah (KP) Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, minggu lalu dan pengisytiharan Sup Tulang Babi (Bah Kut Teh) sebagai makanan warisan negara yang baharu.
 “Apa dah jadi ini? Orang politik dari Sarawak boleh buat begitu. Kalaulah pegawai perjawatan tinggi ini tidak boleh jadi benteng perjuangan politik Melayu, siapa hendak jaga kita.

“Soal makanan Bah Kut Teh, siapa punya cadangan, ada ditanya kita, perasaan rakyat? Selepas ini mungkinlah yang dulunya sarang-sarang komunis jadi tapak warisan perkampungan baharu,” katanya. 

BebasNews