Thursday, February 29, 2024

Sultan Selangor dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi

hmetro.com.my
Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my
SULTAN Sharafuddin Idris Shah. FOTO Bernama
Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi itu bertajuk 'Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan' pada 20 Februari lalu di https://pas.org.my/.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin, Datuk Muhamad Munir Bani, baginda menzahirkan dukacita itu menerusi satu surat yang diutuskan kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri bertarikh 27 Februari.

"Antara intipati surat berkenaan, baginda menyifatkan Abdul Hadi yang membuat kenyataan terbuka di media sosial itu tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Februari.

"Khususnya berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin yang mencabar keabsahan 16 peruntukan kesalahan jenayah dalam Enakmen Alamin Jenayah Syariah Kelantan 2019.

"Kenyataan sinis Abdul Hadi itu secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap Raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata adalah satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

"Kenyataan Abdul Hadi mengkritik hakim yang dikatakan gagal mentaktifkan Perlembagaan Persekutuan mengikut prinsip Islam sebenar dan kononnya dicipta dan digubal oleh penjaja mengikut acuan mereka dengan tujuan menghancurkan agama, bangsa, bahasa dan tanah air," menurut surat berkenaan.

Surat lima halaman itu juga menyebut, kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

"Sekiranya Abdul Hadi lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan dengan meneliti dan memperhalusi titah ucapan baginda, Abdul Hadi akan dapat memahami maksud sebenar baginda.

"Abdul Hadi seorang ahli Parlimen veteran yang beberapa kali mengangkat sumpah setia jawatan dengan penekanan kepada sumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

"Jadi kenapa sekarang beliau mempertikaikan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara sedangkan agama Islam ditetapkan sebagai agama Persekutuan semenjak Perlembagaan digubal pada tahun 1957 lagi.

"Adakah Abdul Hadi tidak lagi menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara? Tidakkah ini juga menggambarkan Abdul Hadi sengaja mencetuskan polemik politik demi meraih sokongan rakyat khususnya umat Islam yang berbangsa melayu," demikian surat berkenaan.

Justeru, baginda menasihatkan agar Abdul Hadi lebih berhati-hati di masa hadapan agar tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu melalui kenyataan-kenyataan beliau yang boleh memecah-belahkan umat Islam di negara ini.

"Baginda juga menitahkan agar ahli-ahli politik dan pemimpin politik tidak memperalatkan agama Islam dan mencemari kesucian agama Islam demi kepentingan politik kepartian masing-masing," menurut surat berkenaan.

Disiarkan pada: Februari 29, 2024 @ 2:08pm

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-