Friday, February 2, 2024

Mansuh skim pencen ada kaitan agenda DAP

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe

UMNO dulu bangkang, kini setuju bila kerjasama PH
BANGI, 21 Rejab 1445H, Jumaat – BERJASA mendakwa tindakan pemansuhan sistem pencen bagi lantikan tetap penjawat awam mempunyai kaitan dengan agenda DAP.

Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim berkata, DAP adalah satu-satunya parti yang amat konsisten dalam mengutarakan perancangan itu sejak dahulu lagi.

Beliau mendakwa, kelantangan DAP untuk menghapuskan pencen penjawat awam sudah bermula sejak parti itu berada di posisi pembangkang dan agenda berkenaan lebih mudah direalisasikan apabila kini menjadi kerajaan.

Zamani turut kecewa dengan UMNO yang dahulunya lantang membangkang idea DAP, namun akhirnya bersetuju dengan agenda itu apabila mula bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Hari ini sudah jelas Timbalan Perdana Menteri kita, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan pencen akan dimansuhkan dan jawatan tetap tanpa berpencen kepada penjawat awam yang baharu dilantik akan diperkenalkan selepas 1 Februari 2024.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim juga gagal mengotakan janjinya untuk mempertahankan dan memastikan pemansuhan itu tidak akan dibuat namun dalam diam DAP telah berjaya melaksanakan agenda mereka,” katanya.

Beliau berkata, UMNO sudah pun hilang kukunya kerana Ahmad Zahid selaku Presiden gagal mempertahankan prinsip itu.

Lebih malang,Perdana Menteri dilihat tidak cakna dengan nasib orang Melayu kerana penjawat awam negara majoriti adalah daripada bangsa itu.

Sebelum ini, kerajaan menyangkal dakwaan langkah mewujudkan pengambilan baharu penjawat awam secara tetap tetapi tidak berpencen akan menjejaskan nasib orang Melayu yang merupakan majoriti dalam penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu sebaliknya telah dikaji sejak lama dulu di mana mesti ada rancangan baharu untuk mengganti skim itu bagi mengelakkan negara daripada risiko muflis dan memberi masalah kepada generasi akan datang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-