Showing posts with label skim pencen. Show all posts
Showing posts with label skim pencen. Show all posts

Friday, February 2, 2024

Mansuh skim pencen ada kaitan agenda DAP

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe

UMNO dulu bangkang, kini setuju bila kerjasama PH
BANGI, 21 Rejab 1445H, Jumaat – BERJASA mendakwa tindakan pemansuhan sistem pencen bagi lantikan tetap penjawat awam mempunyai kaitan dengan agenda DAP.

Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim berkata, DAP adalah satu-satunya parti yang amat konsisten dalam mengutarakan perancangan itu sejak dahulu lagi.

Beliau mendakwa, kelantangan DAP untuk menghapuskan pencen penjawat awam sudah bermula sejak parti itu berada di posisi pembangkang dan agenda berkenaan lebih mudah direalisasikan apabila kini menjadi kerajaan.

Zamani turut kecewa dengan UMNO yang dahulunya lantang membangkang idea DAP, namun akhirnya bersetuju dengan agenda itu apabila mula bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Hari ini sudah jelas Timbalan Perdana Menteri kita, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan pencen akan dimansuhkan dan jawatan tetap tanpa berpencen kepada penjawat awam yang baharu dilantik akan diperkenalkan selepas 1 Februari 2024.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim juga gagal mengotakan janjinya untuk mempertahankan dan memastikan pemansuhan itu tidak akan dibuat namun dalam diam DAP telah berjaya melaksanakan agenda mereka,” katanya.

Beliau berkata, UMNO sudah pun hilang kukunya kerana Ahmad Zahid selaku Presiden gagal mempertahankan prinsip itu.

Lebih malang,Perdana Menteri dilihat tidak cakna dengan nasib orang Melayu kerana penjawat awam negara majoriti adalah daripada bangsa itu.

Sebelum ini, kerajaan menyangkal dakwaan langkah mewujudkan pengambilan baharu penjawat awam secara tetap tetapi tidak berpencen akan menjejaskan nasib orang Melayu yang merupakan majoriti dalam penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu sebaliknya telah dikaji sejak lama dulu di mana mesti ada rancangan baharu untuk mengganti skim itu bagi mengelakkan negara daripada risiko muflis dan memberi masalah kepada generasi akan datang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Saturday, January 27, 2024

PM: Ahli politik ada 'tanggungjawab moral' ambil satu pencen saja

malaysiakini.com
Raveena Nagotra
Diterbitkan: Jan 27, 2024 1:57 PM
Ahli politik yang memegang lebih daripada satu portfolio atau jawatan dalam kerajaan perlu ada "tanggungjawab moral" dengan hanya mengambil satu skim pencen, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Orang yang mendapat gaji menteri, menteri besar, ataupun lantikan politik (boleh menerima) tiga hingga empat pencen.

"Melihat keadaan ini, mereka perlu lebih bertanggungjawab secara moral dengan menolak pencen yang lain dan hanya memilih satu. Tapi mungkin itu saya serah (keputusan) kepada mereka," katanya.

Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara hari ini.

Anwar juga berkata kakitangan kerajaan dan ahli politik yang layak menerima skim pencen sedia ada tidak akan terkesan dengan cadangan sistem saraan baru perkhidmatan awam.

Dia juga sekali lagi menyatakan kajian membabitkan skim saraan dalam kalangan penjawat awam turut terpakai kepada ahli politik.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali memberitahu Parlimen bahawa wakil rakyat boleh menerima beberapa pencen bergantung kepada perkhidmatan mereka di bawah akta, ordinan atau enakmen yang berbeza.

"Sebagai contoh, seseorang yang telah berkhidmat sebagai Adun akan menerima pencen di bawah ordinan atau enakmen negeri berkenaan, dan pada masa sama, dia boleh menerima pencen sebagai ahli parlimen sekiranya memenuhi kelayakan di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237)," katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Dasar baru untuk pengambilan penjawat awam secara tetap tanpa pencen sedang menunggu untuk diluluskan kabinet sebelum dibawa ke Parlimen.

Thursday, January 25, 2024

CUEPACS tolak cadangan hapus pencen penjawat awam, sebaliknya mansuh pencen ahli politik – Adnan

utusantv.com
Oleh Mohd Ridzwan Md. Iman
-January 25, 2024
SKIM KWSP kurang sesuai untuk simpanan saraan penjawat awam kerana mereka dibayar gaji rendah. - Gambar hiasan

KERAJAAN tidak sepatutnya memansuhkan skim pencen penjawat awam yang secara puratanya berkhidmat untuk negara melebihi 30 tahun sebelum layak menerima faedah saraan.

Pendirian itu disuarakan CUEPACS, memandangkan penjawat awam ketika ini, kebanyakannya lebih memilih skim berpencen kerana ia dianggap sebagai lebih baik dan menjamin kesejahteraan selepas persaraan kelak.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, dengan skim gaji yang masih rendah dalam perkhidmatan awam ketika ini, skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat tidak membantu penjawat awam, mempunyai simpanan hari tua yang baik selepas persaraan kelak.

“Disebabkan itulah kebanyakan penjawat awam lebih memilih skim pencen kerana kerana ia adalah keistimewaan yang terbaik kepada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli politik, jika kekangan kewangan yang menghalang kerajaan untuk meneruskan skim pencen perkhidmatan awam selepas ini.

Ketika ini katanya, ahli politik yang dipilih menjadi wakil rakyat membabitkan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk yang dilantik ke jawatan eksekutif seperti EXCO negeri, menteri serta timbalan menteri juga layak untuk menerima pencen.

“Pemansuhan pemberian pencen kepada golongan ini terlebih dahulu, langkah yang tepat kerana kebanyakan mereka berkhidmat sekitar lima tahun saja. Kumpulan ini bukan saja menerima elaun serta peruntukan tinggi semasa berkhidmat malah memiliki pelbagai keistimewaan berbanding penjawat awam yang secara purata berkhidmat lebih 30 tahun.

“Keutamaan kepada kerajaan ketika ini adalah mengkaji bagi kes-kes yang berkhidmat waktu singkat tetapi menikmati faedah saraan yang agak selesa dan bukannya menyasarkan kepada penjawat awam saja,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sewajarnya mengadakan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum terus menetapkan skim caruman KWSP secara mandatori kepada lantikan baharu kelak.

“Pandangan CUEPACS jelas, sekiranya kerajaan mahu melaksanakan sesuatu perkara perlulah berlandaskan prinsip tidak dikurangkan faedah semasa yang dinikmati oleh penjawat awam ketika ini.

“Kerajaan harus memastikan gaji diterima hari ini mampu memberi kesejahteraan hidup untuk penjawat awam dan dalam masa yang sama, gaji ini mampu memberi simpanan untuk hari persaraan kelak.

“Sekiranya kerajaan tetap ingin menamatkan skim pencen ini, ia hendaklah terpakai kepada lantikan politik yang layak menerima pencen ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata, CUEPACS menyambut baik pencerahan diberi Jabatan Perkhidmatan Awam bahawa pengambilan secara lantikan kontrak sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan adalah langkah sementara bagi pengambilan baharu dalam perkhidmatan awam bermula 1 Februari 2024.

“Perjawatan tetap masih wujud tetapi dalam tempoh interim ini hanya dilantik sebagai kontrak sebelum dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang akan dimuktamadkan kelak.

“Situasi semasa ini tidak membabitkan lantikan tetap sebelum ini dan tidak seperti kefahaman orang ramai bahawa lantikan baharu kelak hanya diberikan status kontrak saja,” katanya.

Wednesday, November 20, 2019

Kerajaan harus kajisemula pencen berganda diterima Ahli Parlimen, Adun, Exco

MOHD ALI HASHIM

Skim pencen bagi wakil rakyat bagi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Exco Kerajaan Negeri maupun jawatan lebih tinggi harus dikaji semula.

Ini adalah bertepatan dengan usaha kerajaan untuk meminimakan kos dan perbelanjaan sepertimana yang sering diperkatakan sejak Pakatan Harapan menerajui kepimpinan selepas memenangi pilihan raya umum yang lalu.

Demikian disarankan oleh aktivis masyarakat Noor Hasni Saad ketika ditemui di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, semalam.
Noor Hasni Mohamad
Jelas beliau, pencen melampau yang diterima oleh wakil rakyat adalah tidak wajar kerana ia sudah melebihi apa yang diperolehi oleh penjawat awam yang telah berkhidmat berpuluh-puluh tahun sebelum pencen.

“Berdasarkan kepada pertemuan dan perjumpaan dengan begitu ramai penjawat awam, mereka mengeluh dan menzahirkan rasa ketidakadilan yang berlakui.

“Majoriti dari mereka telah pun berkhidmat begitu lama, namun begitu pencen yang diterima selepas perkhidmatan yang menjangkau puluhan tahun hanya sekadar cukup makan sahaja.

“Walau bagaimana pun pencen melampau yang diterima oleh wakil rakyat amat tidak wajar dipraktikkan dalam usaha kerajaan mengurangkan kos dan perbelanjaan,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan bekas tentera tidak berpencen turut berkata, ramai lagi lagi bekas tentera dan golongan marhaen yang hidup umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Namun begitu tegasnya, majoriti dari wakil rakyat yang hanya berkhidmat dalam tempoh yang singkat sepenggal sudah boleh menikmati pencen yang begitu lumayan jika dibezakan dengan penjawat awam yang lain.

“Sekiranya wakil rakyat tersebut adalah Ahli Parlimen dan juga Adun sudah pasti ia akan menerima pencen bagi kedua-dua jawatan beliau selepas tamat sepenggal berkhidmat.

“Apa lagi seandainya ia juga adalah menteri kabinet ataupun timbalan menteri, tidak dapat dinafikan pencennya akan turut berganda.

“Manakala Adun negeri yang dilantik menjadi exco kerajaan negeri akan turut menerima imbuhan yang berganda sedangkan pemberian yang berganda itu boleh menjimatkan wang negara sepertimana yang sering dilaung-laungkan.

“Sehubungan itu kerajaan harus peka dan peduli dengan serius isu pencen berganda yang diterima oleh wakil rakyat dan ahli politik, ” tambah beliau.

Sejajar dengan itu kata Noor Hasni, cara terbaik ialah memberi hanya satu pencen tertinggi sahaja seandainya kerajaan benar-benar serius untuk melaksanakan penjimatan sepertimana yang kerap diwar-warkan.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/kerajaan-harus-kajisemula-pencen-berganda-diterima-ahli-parlimen-adun-exco/

Thursday, September 5, 2019

Tiada skim pencen, hilanglah keistimewaan kakitangan awam

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
05 September 2019 5:35 PM


GARA-gara mahu berjimat dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan, skim pencen akan dilupuskan dan diganti dengan skim kontrak.

Skim kontrak ini dipercayai akan menjimatkan lebih kurang RM5 bilion kos setiap tahun. Namun begitu, skim ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada penjawat awam.

Terutamanya anak-anak muda. Anak-anak muda akan lebih terdorong untuk berkhidmat dengan syarikat swasta kerana kerajaan tidak lagi menawarkan skim pencen.

Penjawat awam merupakan satu pekerjaan yang menjadi kegilaan orang ramai terutamanya warganegara Malaysia kerana menawarkan skim pencen yang lebih terjamin pada anggotanya.

Namun begitu, jika pihak kerajaan memutuskan untuk melupuskan sistem itu, kakitangan awam akan hilang istimewa seperti kemudahan mendapat pinjaman, gaji yang konsisten, bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.

Malah penjawat awam akan berdepan dengan risiko masa depan yang tidak terjamin. Oleh itu, pihak kerajaan tidak wajar berbuat demikian kerana hampir kebanyakan penjawat awam terdiri daripada orang Melayu. Malah skim sedemikian akan menyebabkan orang muda bertambah hilang minat untuk berkhidmat dengan kerajaan.

Selain itu, lantikan kontrak yang ditawarkan tidak memberi jaminan masa depan yang lebih baik berbanding kakitangan tetap.

Oleh itu, lantikan kontrak hanya akan mengecilkan perkhidmatan penjawat awam di masa akan datang. Pihak kerajaan tidak wajar berbuat demikian kerana sehingga hari ini ramai masyarakat memandang tinggi keistimewaan penjawat awam sejak dahulu.

Jika pihak kerajaan tetap dengan pendirian untuk memansuhkannya, maka hilanglah keistimewaan penjawat awam yang sekian lama diguna pakai dalam pentadbiran negara.

Oleh demikian, janganlah berasa hairan sekiranya suatu masa nanti lebih ramai anak muda menolak berkhidmat dengan kerajaan kerana negara sendiri tidak mampu menawarkan keistimewaan yang sepatutnya.

 -UTUSAN ONLINE

oleh Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai

PENAFIAN : Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-