Wednesday, February 14, 2024

Pengundi bukan Melayu lari jika terus sikap konservatif, wakil rakyat DAP beritahu Umno

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
14 Feb 2024, 6:32pm

Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui memberikan amaran susulan tentangan keras Umno terhadap cadangan mencalonkan Kg Baru Cina sebagai tapak Unesco.
Chow Yu Hui berkata, tentangan keras Umno terhadap cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor tidak perlu kerana permohonannya akan diteliti terlebih dahulu oleh Unesco. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ekoran tentangan terhadap cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan dunia Unesco, seorang wakil rakyat DAP tampil memberi amaran bahawa Umno akan hilang undi bukan Melayu selepas dilihat menjadi semakin konservatif.

Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui berkata, tingkah laku Umno itu tidak jauh berbeza daripada Perikatan Nasional (PN), yang tidak disenangi pengundi bukan Melayu khususnya dalam kalangan ahli DAP.

“Tindakan demikian tidak akan dapat menarik golongan pengundi yang menyokong agenda PN, malah akan menyebabkan kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu terhadap Umno,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, yang juga naib pengerusi DAP, mencadangkan agar Kampung Baru Cina dicalonkan sebagai tapak warisan dunia, bertujuan mengiktiraf perkampungan berusia 76 tahun itu dari segi sejarah dan kepentingan budaya.

Beliau mengajak Umno berbincang susulan kenyataan beberapa pemimpin parti itu yang dilaporkan menolak keras cadangan itu.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, tiada keperluan untuk kampung itu dijadikan tapak warisan dunia, manakala Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan cadangan sedemikian bercanggah dengan Perlembagaan, yang mengiktiraf hanya Bumiputera sebagai penduduk asal dengan keistimewaan tertentu.

Chow berkata tentangan keras Umno terhadap cadangan itu tidak perlu kerana permohonan itu akan diteliti terlebih dahulu oleh Unesco.

“Jika permohonan ini diluluskan, ia membuktikan nilai sejarah yang penting dan Umno tidak perlu menentangnya dengan keras,” katanya,

“Kampung Baru Cina mempunyai sejarah berpuluh-puluh tahun di Malaysia dan permohonan untuk menjadikannya sebagai tapak Unesco akan melindungi warisan budaya dan bangunan bersejarah serta memajukan industri pelancongan.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-