Sunday, March 24, 2024

Ahli Parlimen PN tuntut peruntukan RM3.5 juta setahun, kata Rosol

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-24 Mar 2024, 11:12 AM

Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid berkata ia dikemukakan dalam draf tawaran perjanjian baharu kerajaan Madani.
Rosol Wahid berkata jumlah itu wajar dipersetujui bersama tambahan peruntukan RM300,000 setahun bagi perbelanjaan pengurusan pejabat pusat khidmat Ahli Parlimen. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menuntut peruntukan RM3.5 juta setahun untuk wakil rakyat pembangkang dalam draf tawaran perjanjian baharu kerajaan Madani, iaitu jumlah sama pernah disalurkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pasca PRU14.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid, berkata jumlah itu wajar dipersetujui bersama tambahan peruntukan RM300,000 setahun bagi perbelanjaan pengurusan pejabat pusat khidmat Ahli Parlimen.

Katanya, ia penting untuk mereka memenuhi keperluan kebajikan, infrastruktur serta pendidikan rakyat di kawasan masing-masing.

“Seorang Ahli Parlimen boleh memohon sehingga RM3.5 juta setahun mengikut nilai disalurkan kerajaan PH pada 2019. Jumlah itu pula dibahagikan kepada RM2 juta untuk tujuan pembangunan kawasan serta RM1.5 juta untuk geran, sumbangan dan perbelanjaan mengurus kawasan Parlimen.

“Peruntukan ini penting untuk membantu orang miskin, ibu tunggal, tujuan pendidikan serta membiayai projek membuat jalan dan sebagainya,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau mengulas sama ada semua 69 Ahli Parlimen pembangkang termasuk bekas presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, telah dimaklumkan mengenai inti pati draf tawaran peruntukan pembangunan terbaru itu.

Terdahulu di Dewan Rakyat Khamis lalu, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata pihaknya sudah menerima draf dokumen yang memperincikan cadangan pemberian peruntukan itu daripada Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Selain itu, Rosol berkata setakat ini belum ada arahan daripada Hamzah untuk memanggil semua Ahli Parlimen Bersatu atau gabungan bagi membincangkan draf berkenaan.

Namun, beliau berpendapat tiada keperluan untuk perkara itu memandangkan Hamzah sudah diberi mandat oleh mereka dan dua wakil delegasi untuk menelitinya.

“Setakat ini, belum ada apa-apa mesyuarat atau maklumat yang kami terima sebagai Ahli Parlimen PN. Kami hanya dapat tahu bahawa Datuk (Seri) Hamzah sudah mendapat draf peruntukan itu ketika sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

“Namun, saya berasa tiada keperluan untuk memaklumkan perkara berkenaan kerana kami sudah menyerahkan mandat kepada pimpinan tertinggi bagi membuat sebarang keputusan. Apa saja yang mereka persetujui, kami terima,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata, beliau secara prinsipnya bersetuju dengan pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, dengan nilai sama seperti diberikan kepada Ahli Parlimen kerajaan.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan ia perlu dimulakan dengan proses rundingan oleh kedua-dua pihak terlebih dahulu dalam membincangkan kaedah persetujuan terbaik selain mencari titik persefahaman.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-