Friday, March 8, 2024

IGP: Kertas siasatan terhadap Hadi dirujuk ke pejabat Peguam Negara

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 8, 2024 4:16 PM
Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan bahawa kertas siasatan berhubung kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sudah dihantar kepada pejabat peguam negara (AGC).

Bercakap kepada Berita Harian, Razarudin berkata polis sudah melengkapkan kertas siasatan dan kini menunggu arahan daripada AGC.
Razarudin Husain
"Abdul Hadi sudah dirakam percakapan pada Selasa lalu oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Kertas siasatan sudah dilengkapkan dan kita sudah hantar pada AGC (pejabat Peguam Negara), kelmarin untuk tindakan lanjut," katanya.

Selasa lalu, polis meluangkan masa sejam merakam kenyataan ahli Parlimen Marang di ibu pejabat polis Bukit Aman, di ibu negara.

Sebelum ini, Razarudin turut mengesahkan bahawa siasatan adalah mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 berhubung kenyataan Abdul Hadi yang disiarkan pada 20 Feb lalu.
Gambar Hiasan - Raja-Raja Melayu
Dalam tulisannya yang bertajuk “Ketinggian Islam wajib dipertahankan” itu, Abdul Hadi memberi peringatan kepada semua umat Islam bertujuan supaya mereka menjaga akidah masing-masing.

Ini, katanya termasuk Raja-Raja Melayu yang mesti berwawasan akhirat.

Susulan itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan Abdul Hadi supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini.

Dalam kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook Selangor Royal Office, baginda melahirkan rasa kecewa dan berkata teguran itu tidak beradab serta tidak sesuai dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan menjaga adab ketika menyuarakan pandangan dan menasihati raja-raja Melayu.

Abdul Hadi kemudian mengutus warkah "menjunjung kasih" kepada Sultan Selangor sebelum disoal siasat polis pada Selasa (5 Mac).
Bagaimanapun, kandungan surat itu tidak didedahkan, dan pegawai khas Abdul Hadi yang juga ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman berkata biarlah ia hanya diketahui pihak pemimpin PAS itu dengan istana.

"Kita patut menghormati itu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-