Thursday, March 21, 2024

Pemuda UMNO tunggu hasil siasatan polis terhadap pemimpinnya yang terbabit liwat

bharian.com.my
Oleh Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my
 - Mac 21, 2024 @ 4:35pm

JOHOR BAHRU: Pemuda UMNO Johor menunggu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan dan tindakan pendakwa raya, sebelum memutuskan sebarang langkah susulan terhadap seorang pemimpin sayap itu yang disiasat berkait kes liwat.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros, berkata ia penting sebelum apa-apa tindakan diambil terhadap mana-mana pemimpin sayap itu yang berdepan sebarang siasatan atau pertuduhan mahkamah.

Katanya, antara tindakan yang dipertimbangkan adalah berhubung status keahliannya bersama parti.

"Kita tidak boleh jatuh hukum terhadap individu terbabit, selagi dia tidak dituduh dan didapati bersalah oleh Mahkamah. Kita perlu menghormati haknya sebagai ahli.

"Jadi, buat masa ini kita biarkan dahulu proses undang-undang itu berjalan termasuk polis melengkapkan siasatan dan kes dibawa ke mahkamah.

"Selagi dia tidak didapati bersalah atau dia sendiri mengaku bersalah, status keahliannya masih kekal. Melainkan individu yang didakwa itu tidak mahu mengheret parti dan dengan sendirinya memilih untuk letak jawatan secara sukarela," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Polis Johor dilaporkan mengesahkan menerima lima laporan berkaitan kes liwat terhadap enam lelaki termasuk tiga pelajar sekolah di Mersing, dekat ini, setakat ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani dilaporkan berkata, susulan itu, pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an kelmarin, bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya berakhir semalam.

Mengulas lanjut, Noor Azleen berkata, sayap parti itu tidak boleh mengambil tindakan semberono walaupun mempunyai beberapa pilihan terhadap mana-mana individu terpalit kes polis dan.mahkamah.

"Semua hal berkaitan keahlian akan mengikut lunas-lunas perlembagaan dalam parti" katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-