Monday, March 18, 2024

Permohonan maaf diterima, tapi siasatan perlu diteruskan - Ulama UMNO

hmetro.com.my
Rohaniza Idris
am@hmetro.com.my
Dr Khairuddin Aman Razali
Kuala Lumpur: Permohonan maaf daripada KK Super Mart diterima, namun pihak berkuasa diminta menyiasat kes kalimah Allah pada stoking kerana ia mengguris perasaan umat Islam di negara ini lebih-lebih lagi berlaku pada bulan Ramadan.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata siasatan itu perlu diteruskan kerana kalimah Allah yang tertera pada stoking adalah isu yang sensitif.

Katanya, apa yang berlaku nampak pelik kerana KK Super Mart adalah rangkaian syarikat besar yang ada pengurusan yang tersendiri.

"Sangat pelik, KK Super Mart ada sistem pengurusan tersendiri tetapi tiba-tiba boleh terlepas pandang dalam hal seumpama ini. Maaf diterima tetapi tindakan siasatan perlu dibuat bagi pengajaran kepada orang lain," katanya dalam satu hantaran di TikTok, hari ini.

Sebelum ini, Pemuda UMNO paling lantang mengulas isu kalimah Allah pada stoking dan memberi kata dua meminta pengurusan kedai serbaneka itu meminta maaf dengan menggantung permohonan maaf itu di kain rentang di rangkaian kedainya di seluruh negara atau berhadapan tindakan boikot.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Na'im Mokhtar meminta umat Islam bertenang dan memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa menyiasat isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di rangkaian kedai serbaneka KK Super Mart.

Katanya, polis, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca serta pihak bertanggungjawab dalam kontroversi itu.

Khairuddin yang juga Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau sedih kerana kejadian ini berlaku di bulan Ramadan yang mulia, yang pastinya mengurus hati dan perasaan umat Islam di negara ini.

"Ini bukan perkara kecil yang boleh dipermainkan, siasatan perlu diteruskan supaya pada masa depan tidak ada yang akan bertindak seumpama itu terutama dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara Islam," katanya.

Sementara itu, Puteri UMNO Malaysia menyifatkan isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah tidak seharusnya berlaku.

EXCO Firza Syafiqa Mohd Puzi menyifatkan kecuaian kedai rangkaian serbaneka, KK Super Mart itu sesuatu yang mengecewakan.

"Pergerakan Puteri UMNO Malaysia merasa amat kecewa dan kesal di atas insiden stokin dengan kalimah Allah SWT yang dijual di kedai KK Mart yang mempunyai ratusan cawangan di seluruh negara.

"Kecuaian ini tidak seharusnya berlaku, dan pihak peniaga perlu lebih berhati-hati pada masa akan datang bagi memastikan produk jualan tidak mempunyai apa-apa tulisan atau simbol keagamaan yang tidak sesuai dan boleh mengganggu gugat keharmonian rakyat Malaysia," katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Disiarkan pada: Mac 18, 2024 @ 5:37pm

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-