Showing posts with label kalimah Allah. Show all posts
Showing posts with label kalimah Allah. Show all posts

Monday, July 15, 2024

Stoking kalimah Allah: KK Mart, syarikat pembekal didenda RM60,000

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 15, 2024 2:10 PM
Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini mendenda KK Mart dan salah satu syarikat pembekalnya Xin Jian Chang Sdn Bhd, masing-masing RM60,000 berhubung stoking tertera kalimah Allah.

Ini selepas kedua-dua syarikat itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dipinda kerana melukakan perasaan orang Islam.

Bagaimanapun hakim Muhamad Anas Mahadzir membebas dan melepaskan pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd Chai Kee Kan dan isterinya Loh Siew Mui daripada pertuduhan yang sama.

Ini selepas pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan terhadap Chai, Loh dan tiga pengarah syarikat itu.

[Baca berita penuh]


Sunday, April 7, 2024

Vern's jelaskan logo pada tapak kasut disalah tafsir

malaysiakini.com
Diterbitkan: Apr 7, 2024 7:18 PM
Pengeluar kasut Vern’s Holdings Sdn Bhd menjelaskan rekaan logo pada tapak kasut syarikat itu telah disalah tafsir sehingga mencetuskan kontroversi.

Ini selepas logo pada tapak kasut tumit tinggi salah satu produk keluaran syarikat itu didakwa menyerupai kalimah Allah.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata logo tersebut tidak bertujuan menghina mana-mana agama atau kepercayaan, sebaliknya hanya rekaan grafik garisan tali yang bersambung dengan tapak kasut tumit tinggi.

"Untuk pengetahuan semua, logo ini 100 peratus diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi, seperti yang tertera di gambar yang dilampirkan.

"Bagaimanapun, kami akui terdapat kekurangan pada rekaan logo tersebut yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak,” kata Vern dalam satu kenyataan.
Vern’s berkata pihaknya telah mengambil langkah segera menghentikan penjualan kasut dan logo berkenaan serta bersedia untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut.

"Dengan rasa rendah diri, kami pihak pengurusan ingin memohon kemaafan semua dan mengharapkan belas ihsan untuk diberikan ruang memperbaiki kesilapan yang telah berlaku,” kata Vern’s.

"Ini adalah pengajaran yang sangat bernilai untuk kami memperhalusi dan lebih teliti dalam setiap keputusan yang diambil bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan,” tambahnya.

Dakwaan bahawa logo pada tapak kasut tumit tinggi keluaran syarikat itu menyerupai kalimah Allah mula dibangkitkan di media sosial pada 23 Mac lalu.

Namun ia menjadi tular selepas satu lagi video membuat dakwaan serupa hari ini.

Polis buka kertas siasatan

Terdahulu, polis Pulau Pinang mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa mereka telah menerima laporan mengenai perkara tersebut.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Usuf Jan Mohamed berkata laporan itu dibuat seorang guru selepas melihat satu hantaran mengenai perkara itu di media sosial.

Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menghina agama dan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Mohd Na’im Mokhtar juga telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menghubungi syarikat kasut tersebut esok.

Kontroversi ini timbul ketika kemarahan sebahagian umat Islam terhadap kedai serbaneka KK Mart masih belum reda, berikutan isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah baru-baru ini.

Insiden itu menyebabkan tiga percubaan membakar kedai KK Mart berlaku di Perak, Pahang dan Sarawak.

Friday, April 5, 2024

Akmal dibebaskan selepas 2 jam, tegaskan tak menghasut

malaysiakini.com
Diterbitkan: Apr 5, 2024 1:48 PM
Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh dibebaskan selepas memberikan keterangan kira-kira dua jam di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabah.

Media melaporkan polis merakam kenyataannya susulan ucapannya dalam ceramah di Kelantan pada Sabtu lalu.

Dia disambut oleh sekumpulan pemimpin Pemuda Umno yang berkumpul di balai polis.

Akmal yang disiasat bawah Akta Hasutan 1948 mempunyai acara di Beaufort, kira-kira 100 kilometer dari Kota Kinabalu, petang ini.

Sementara itu itu, Akmal yang juga exco kerajaan Melaka berkata, dia dimaklumkan untuk sesi rakaman percakapan itu melalui panggilan telefon sejurus sampai ke Sabah pagi ini.

"Saya ada tanya sekiranya boleh tunggu namun keterangan itu perlu diambil secepat mungkin,” katanya.

Berkaitan ucapan itu, dia mempertahankan ucapannya sebagai tiada unsur hasutan.

"Hal ini kerana setiap perkara yang kita bawa ini adalah suara kebenaran dan tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan," katanya.

Akmal adalah pemimpin politik paling lantang dalam isu jualan stoking bertulis kalimah Allah di KK Mart di Petaling Jaya, sehingga mengundang bantahan di tengah-tengah ketegangan isu itu.

Semalam, aktivis politik Sarawak dan Sabah mendakwa Akmal dan empat orang lagi sebagai dalang yang meningkat ketegangan kaum dan menuntut mereka disekat masuk ke kedua-dua negeri itu.

Polis mendedahkan terdapt dua laporan polis dibuat terhadapnya dalam isu berkenaan dan Kes disiasat bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (komunikasi jelik).

Setakat ini tiga kedai KK Mart, masing-masing di Perak, Pahang dan Sarawak, menjadi sasaran keganasan melalui serangan bom botol.

Thursday, April 4, 2024

Umno dalam situasi sukar berkait isu stoking kalimah Allah, kata Zaid

freemalaysiatoday.com
Predeep Nambiar
-04 Apr 2024, 10:40 AM

Bekas menteri undang-undang berkata Umno ‘terlalu angkuh’ untuk mengakui kesilapan tetapi akan berdepan tindak balas pada masa depan.
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata tindakan boikot terhadap KK Mart harus dihentikan kerana ‘tiada apa-apa yang strategik untuk memanjangkannya”. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Umno terperangkap dalam situasi sukar berhubung isu stoking tertera kalimah Allah melibatkan Ketua Pemudanya Dr Akmal Saleh kerana parti itu terlalu angkuh untuk mengakui sebarang kesilapan biarpun mungkin berdepan reaksi negatif, kata bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.

Zaid berkata, sikap presiden parti Zahid Hamidi yang berdiam diri, sama seperti menyokong tindakan berterusan Akmal untuk memboikot rangkaian kedai serbaneka KK Mart walaupun Agong menggesa kontroversi itu ditamatkan.

“Apa yang saya buat dengan penentangan Akmal? Jawapannya sama dengan mengapa Bung Moktar (Radin) terpaksa bercakap bagi pihak presiden Umno tentang boikot. Dan presiden berdiam diri – adakah beliau juga menghantar mesej bantahan, macam Akmal?

“Umno mungkin berbelah bahagi dalam isu ini. Terlalu angkuh untuk menerima kesilapan di pihaknya, namun berdepan tindak balas yang besar untuk bergerak ke hadapan,” katanya kepada FMT.

Zaid juga berkata, boikot KK Mart harus dihentikan kerana “tiada apa-apa yang strategik untuk memanjangkannya”.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam menitahkan jangan ada pihak mengambil kesempatan ke atas isu itu termasuk menghasut rakyat.

“Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah baginda.

Bagaimanapun, Akmal menjawab dengan bertanyakan sama ada baginda telah menangani pemboikotan secara khusus, yang dimulakan oleh ketua Pemuda Umno itu sejak kontroversi berlaku.

Majlis Kerja Tertinggi Umno secara terbuka menyokong kenyataan Akmal berhubung perkara itu, walaupun Zahid berkata ia tidak perlu dipanjangkan.

Bagaimanapun, Bung, seorang ahli MKT baru-baru ini berkata Akmal diberitahu untuk menghentikan isu itu.

Kontroversi bermula pada 13 Mac apabila gambar stoking tertera kalimah Allah di cawangan KK Mart di Bandar Sunway tersebar di media sosial.

Syarikat itu mengeluarkan permohonan maaf, tetapi Akmal terus berkempen untuk memboikot rangkaian kedai serbaneka terbabit di seluruh negara.

Tindakannya itu mendapat kritikan banyak pihak, dengan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggesa Akmal berhenti menghentam KK Mart.

Pengasas dan Pengarah KK Mart Chai Kee Kan dan Loh Siew Mui yang dihadap ke mahkamah, mengaku tidak bersalah atas tuduhan sengaja melukakan perasaan agama orang lain kerana menjual stoking itu.

Sementara itu, tiga cawangan KK Mart termasuk di Kuching, Sarawak, diserang bom petrol sejak minggu lalu, insiden yang dikecam Akmal.

FMT menghubungi Zahid untuk mendapatkan ulasan.

Wednesday, April 3, 2024

Kekal tenang, teruskan boikot - Akmal

malaysiakini.com
Diterbitkan: Apr 3, 2024 5:32 PM
Meskipun Umno telah mengarahkan sayap parti itu menghentikan isu stoking tertera kalimah Allah, namun ketua pemudanya, Dr Akmal Saleh memberi bayangan kempen boikot terhadap kedai serbaneka KK Mart akan tetap diteruskan.

Dalam satu hantaran di Facebooknya, Akmal berkata pemimpin tidak perlu gentar membawa suara rakyat yang telah membuat keputusan.

"Pemimpin perlu membawa suara rakyat tanpa rasa gentar. Rakyat sudah membuat keputusan mereka tanpa sebarang paksaan.

"Kekal tenang dan teruskan boikot secara aman. Kekal berprinsip," tulisnya.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno melalui Presidennya Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan supaya ketua pemuda parti itu berhenti daripada terus memainkan isu stoking tertera kalimah Allah.
Ahli MKT Umno, Bung Moktar Radin yang memaklumkan perkara itu berkata arahan tersebut selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya menghentikan isu berkenaan daripada terus menjadi polemik.

Katanya, tidak timbul soal bersetuju atau tidak dengan tindakan Akmal menekan KK Mart dalam isu itu kerana Umno telah membuat keputusan mahu perkara itu dihentikan.

"Presiden Umno sudah minta Akmal (menghentikannya) dan menjelaskan bahawa KK Mart tidak membuat perancangan mengenai perkara itu, kita terima hakikat perkara itu perlu dihentikan.

"Yang di-Pertuan Agong juga menitahkan supaya menghentikan isu itu dan bagi saya itu sudah memadai," kata Bung seperti dipetik Berita Harian ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Umno Sabah bersama media dan anak yatim, di Kota Kinabalu, malam tadi.

Sebelum ini MKT Umno merestui tindakan Akmal dalam mempertahankan kesucian kalimah Allah susulan penemuan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.

Selain KK Mart, Akmal juga turut menggerakkan kempen boikot produk usahawan kosmetik Aliff Syukri susulan video raya melampau yang didakwa menghina kesucian Ramadan.

Thursday, March 28, 2024

ULASAN l Kalau boleh, kita kembali kepada asal

malaysiakini.com
A Kadir Jasin
Diterbitkan: Mar 28, 2024 4:08 PM
ULASAN l Saya alu-alukan tindakan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, mengembalikan peranan pergerakan itu sebagai kumpulan pendesak.

Untuk sekian lama, ketua-ketua Pemuda Umno gagal menampilkan diri sebagai pendesak. Mereka lebih mengutamakan keserasian dengan pucuk pimpinan dan jawatan.
Dr Muhamad Akmal Saleh
Muhamad Akmal, seorang doktor perubatan, sudah pun mempunyai kedudukan yang cukup baik apabila menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada tahun 2021 dan dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri. Beliau kini Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Sejak dua minggu lalu, apabila tercetus isu penjualan stoking dengan nama "Allah" oleh rangkaian kedai KK Mart, beliau muncul sebagai pendesak utama mewakili orang Melayu dan Islam.

Kalau boleh saya guna ungkapan bahasa Inggeris, "he had made his point loud and clear". Beliau sudah menyatakan pendiriannya dengan kuat dan jelas.


Atas desakan beliau dan banyak pihak lain serta perjalanan biasa undang-undang, tindakan telah dan sedang diambil ke atas pemilik KK Mart serta pihak-pihak berkaitan.

Buat permulaan, mereka telah disiasat dan didakwa di mahkamah. Sebelum itu, mereka telah memohon maaf.
Saya rasa hanya orang paling bodoh, bangang dan sengaja cari penyakit saja yang tidak faham atau sengaja tidak mahu faham sentimen dan sensitiviti orang Melayu dalam hal-hal berkaitan kalimah Allah, al-Quran dan Rasulullah (SAW).

Jadi, mana-mana pihak yang hendak bekerjasama dengan orang Melayu, termasuk menjadikan mereka pelanggan, hendaklah sensitif dan berusaha seboleh-bolehnya menyaring agar barang dagangan yang boleh menimbulkan bantahan tidak ada di kedai mereka.

Lagi elok kalau rangkaian pasar besar macam KK Mart mewujudkan panel terdiri daripada pakar dari semua agama bagi menasihati mereka.

Rasanya tidaklah susah sangat bagi pasar-pasar raya mendapatkan nasihat luar, memasang papan tanda yang jelas bagi setiap kategori barang dan mematuhi peraturan memisahkan barang-barang tidak halal dengan barang-barang halal.

Kalau boleh, kita kembalilah kepada yang asal. Kita hentikan kempen boikot (kecuali yang berkaitan isu Palestin).

Kalau tidak mahu berlanggan dengan KK Mart atau mana-mana perniagaan, itu hak kita. Sebagai pengguna ada hak kita memilih.

Lagipun, melainkan masyarakat perniagaan kita bodoh, bangang dan rasis, mereka tentu mengiktiraf peranan dan kuasa membeli (purchasing power) pengguna Melayu-Islam.

Berbalik kepada Dr Muhamad Akmal, saya tidak kenal beliau secara peribadi. Malah hanya sejak kempen boikot KK Mart ini barulah beliau muncul dalam kesedaran (consciousness) saya.
Saya tertarik dengan keberanian, komitmen dan kepetahan beliau berhujah. Umno memerlukan orang muda berkeluasan profesional macam beliau kalau tidak mahu terus menjadi rumput di tengah jalan dan melukut di tepi gantang.

A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial dengan tajuk “Berlanggan Hak Asasi Pengguna”. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Monday, March 25, 2024

Isu stoking kalimah Allah: Tak malukah, Zaid kritik sikap bisu ahli akademik

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-25 Mar 2024, 12:16 AM

Zaid Ibrahim membidas ‘ribuan bijak pandai’ yang membisu berhubung reaksi terhadap isu stoking tertera kalimah Allah.
Zaid Ibrahim menyifatkan Tajuddin Rasdi sebagai sebagai intelektual yang berani bercakap benar.

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Zaid Ibrahim, mengkritik ahli akademik beragama Islam yang membisu berhubung reaksi terhadap isu stoking tertera kalimah Allah.

Mengulas reaksi sekitar isu tersebut, Zaid berpandangan perbuatan yang tidak menampilkan sikap penuh belas kasihan sebagai tidak menunjukkan Islam sebenar.

“Malangnya, kita ada ribuan bijak pandai yang gaji dibayar rakyat tetapi membisu. Tidak malukan mereka?” katanya di X (dahulunya Twitter).

Bekas menteri undang-undang itu memuji Tajuddin Rasdi dari Universiti UCSI susulan kenyataan tentang cara Nabi Muhammad berurusan dengan pihak yang menghinanya.

“Saya berbangga kita mempunyai intelektual seperti Tajuddin yang punya kekuatan dan keyakinan seorang Muslim sejati untuk bercakap benar,” kata Zaid.

Tajuddin dan bekas Ahli Parlimen Umno, Tawfik Ismail, membidas majlis kerja tertinggi Umno kerana menyokong tindakan Ketua Pemuda Dr Akmal Salleh berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.

Akmal berulang kali menggesa pemboikotan rangkaian KK Mart susulan penemuan stoking tersebut di sebuah cawangannya. Kilang membekal stoking itu telah ditutup sementara, manakala pengurusan KK Mart telah mengeluarkan permohonan maaf.

Tawfik dan Tajuddin menyeru semua pihak menunggu hasil siasatan ke atas perkara ini, dan mengingatkan bahawa hukuman bagi pihak yang bersalah seharusnya ditentukan oleh pihak berkuasa, bukannya Umno.

Mereka juga menggesa rakyat abaikan seruan boikot KK Mart daripada Akmal dalam isu ini.

Sunday, March 24, 2024

Akmal jawab bos Mydin: Soal akidah lebih utama dari jaga taikun

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 24, 2024 1:39 PM
Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh mengingatkan pemilik pasar raya Mydin, Ameer Ali Mydin bahawa isu kalimah Allah adalah isu akidah yang melebihi daripada kepentingan untuk menjaga ekonomi golongan kaya.

Bahkan katanya, Pemuda Umno akan melakukan tindakan yang sama iaitu memboikot Mydin jika mereka menjual stoking tertera kalimah Allah seperti mana dilakukan KK Mart.

"Ini bukan kali pertama, ini bukan kali kedua, ini dah banyak kali berlaku dan kali ini menyakitkan hati umat Islam dalam negara ini. Jadi, apakah salahnya jika tindakan tegas iaitu dengan boikot ini dikenakan kepada petualang-petualang ini.

"Ini isu akidah sebenarnya Datuk Ameer, saya nak bagi tahu jauh lebih hebat, jauh lebih utama daripada bercakap soal keuntungan ekonomi semata-mata.

"Adakah (cukup) dengan hanya minta maaf, buat salah minta maaf, lepas tu kita sudah berpuas hati disebabkan kita nak jaga ekonomi, nak jaga taikun-taikun ini.

"Ini bukan isu mengenai KK Mart, ini bukan isu Cina ataupun tidak, ini isu KK Mart telah menghina orang Islam. Jadi tindakan tegas perlu diambil oleh orang Islam dalam negara ini," katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial.
Semalam, pemilik pasar raya Mydin itu dilapor mengkritik tindakan Akmal yang menurutnya "mengeksploitasi" isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

“Dia nak heboh-hebohkan lagi buat apa?


"Sepatutnya parti politik menjauhi isu 3R, kalau dah terjadi kita tak mahu bakar lagi…letak minyak tanah lagi," kata Ameer dipetik Free Malaysia Today.

Dalam pada itu Akmal berkata, apa yang dilakukan oleh Pemuda Umno adalah bertujuan untuk mempertahankan kesucian agama Islam.

Katanya mempertahankan kesucian Islam jauh lebih utama berbanding mempertahankan ekonomi pihak tertentu.

"Saya nak bagi tahu juga Datuk Ameer, jika perkara ini berlaku dalam Mydin sekali pun kita akan melakukan perkara sama juga kepada Mydin.

"Jadi apa salahnya jika tindakan tegas iaitu dengan boikot ini dikenakan kepada petualang-petualang ini," katanya lagi.

Menjawab kritikan bekas menteri Rafidah Aziz, Akmal menjelaskan tindakan diambil Pemuda Umno adalah ekspresi bantahan umat Islam apabila agama Islam dipersenda.

Katanya, walaupun Zaman Rasulullah SAW pendekatan lembur diambil seperti mana dakwaan Rafidah, namun tiada kompromi bila agama Islam dihina.

"Betul Tan Sri (Rafidah) mendakwa zaman Rasulullah pendekatan yang lembut telah dilakukan, tetapi kena ingat apabila agama mereka dihina zaman itu tiada kemaafan," tambah Akmal.

Friday, March 22, 2024

Isu stoking: Dr Akmal bawa suara Melayu pertahankan Islam

hmetro.com.my
Amir Mamat
am@hmetro.com.my
AB Rauf menyampaikan sumbangan Ramadan dan berbuka puasa peringkat daerah Melaka Tengah di Masjid Al-Alami (MITC), hari ini. FOTO Amir Mamat

Ayer Keroh: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyifatkan langkah Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung kontroversi stoking yang tertera kalimah Allah sebagai membawa suara orang Melayu dalam mempertahankan Islam di negara ini.

Beliau berkata, Dr Muhamad Akmal sudah pasti mempunyai asas kukuh untuk berbuat demikian dalam memastikan kesucian Islam serta maruah Melayu itu dapat dipertahankan secara keseluruhannya.

Katanya, isu stoking tertera kalimah Allah itu tidak seharusnya dipandang dari sudut politik, sebaliknya ia adalah satu isu agama.

"Soal politik tidak mengubah pendirian kita mengenai agama. Kita boleh bersama dalam politik dan boleh bersama membina sebuah negara yang baik, tapi soal agama ini amat sensitif.

"Ia harus dilihat oleh semua pihak supaya sentuhan yang mengguris hati orang Melayu dan umat Islam ini tidak berlaku lagi.

"Semua sedia maklum bahawa kalimah Allah ini diletakkan di taraf lebih tinggi dalam kalangan umat Islam, jadi apabila ia diletakkan pada stoking yang dipakai di kaki, memang semua orang Islam bukan sahaja di Melaka bahkan di seluruh negara akan berasa tersinggung dan terguris hati.

"Jadi, kelantangan Dr Muhamad Akmal ini mewakili orang Melayu dan menyuarakan suara hati umat Islam memandangkan perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana kita sudah bersepakat dalam konteks sosial untuk menghormati hak agama masing-masing," katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan Ramadan dan berbuka puasa peringkat daerah Melaka Tengah di Masjid Al-Alami, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, berkata kontroversi yang tercetus itu juga perlu diselesaikan secara pragmatik dan tidak diambil mudah oleh mana-mana pihak bagi memastikan ia tidak berulang.

"Seharusnya perkara ini tidak berlaku di negara kita kerana kita sudah bersepakat dalam konteks sosial untuk saling menghormati yang mana kesedaran ini harus dipertingkatkan.

"(Apabila) kalimah Allah ini tidak diletakkan di tempat yang betul memang ia menyinggung hati orang Islam kerana soal agama ini amat sensitif," katanya.

Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau dan EXCO Melaka menggerakkan kempen memboikot pasar raya KK Super Mart susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Langkah itu dilihat mendapat reaksi beberapa pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Dr Muhamad Akmal turut dilaporkan tetap tidak berganjak dengan desakan rakan sekutu dalam kerajaan Perpaduan itu untuk tidak memboikot KK Mart berhubung kontroversi stoking terbabit.

Ketua Umno Bahagian Jasin itu juga dengan tegas dilaporkan berkata tidak memerlukan persetujuan DAP untuk mempertahankan kesucian Islam itu.

Disiarkan pada: Mac 21, 2024 @ 11:34pm

Thursday, March 21, 2024

Lelaki hina Islam berkait isu stoking kalimah Allah ditahan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
21 Mar 2024, 05:21 PM

Lelaki berusia lingkungan 35 tahun ditahan di Cheras, semalam.
Minggu lalu tular di media sosial berhubung penjualan stoking kalimah Allah selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki berhubung hantaran menghina Islam di media sosial berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata lelaki berusia lingkungan 35 tahun yang juga pemilik serta pengendali akaun Facebook “Chiok Wai Loong” ditahan di Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

“Permohonan reman bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dibenarkan selama empat hari mulai 21 hingga 24 Mac,” katanya dalam kenyataan.

Suhaily berkata, kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Katanya, kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Polis menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta elakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutamanya melibatkan isu 3R (kaum, agama, raja),” katanya.

Minggu lalu, tular di media sosial berhubung penjualan stoking kalimah Allah di premis berkenaan selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Shuib sedia lepas jawatan Duta KK Mart

bharian.com.my
Oleh Farihad Shalla Mahmud 
farihad@bh.com.my
Mac 21, 2024
Shuib tidak teragak-agak melepaskan tanggungjawab sebagai Duta KK Mart jika kedai serbaneka itu terbukti bersalah dalam kontroversi penjualan stoking tertera kalimah 'Allah'. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Pelawak Shuib tidak teragak-agak melepaskan tanggungjawab sebagai Duta KK Mart jika kedai serbaneka itu terbukti bersalah dalam kontroversi penjualan stoking tertera kalimah 'Allah' dalam tulisan rumi dan jawi yang hangat diperkatakan sekarang.

Shuib berkata, sebagai umat Islam, dia mengeji penjualan stoking tertera kalimah 'Allah' dan menganggap ia tidak sepatutnya berlaku.

"Saya sentiasa percaya kepada rezeki. Kalau memang tiada rezeki saya, maka tiadalah. Kalau ada rezeki saya, adalah.

"Tetapi macam mana pun, saya tetap kena letak pendirian bahawa saya adalah seorang Islam," katanya ditemui pada majlis berbuka puasa Indigital Music x FYP Media di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Shuib yang dilantik Duta KK Mart sejak empat tahu lalu dan baru memperbaharui kontrak menganggap, tindakan menjual stoking tertera kalimah 'Allah' sebagai keji.

"Apa yang berlaku itu sangat keji . Sebagai umat Islam, saya sangat terkesan dan ia tidak sepatutnya berlaku dalam perniagaan atau apa juga situasi.

"Kita akan marah kerana isu kalimah Allah ini sangat besar," katanya.

Meskipun menggalas tugas sebagai Duta KK Mart, namun, ia bukan alasan untuk Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhammad, bersikap neutral berhubung kontroversi itu.

Bagaimanapun, Shuib perlu menunggu hingga siasatan selesai sebelum membuat tindakan lanjut berhubung kontrak sebagai duta.

"Kalau benar, saya tidak akan sokong, saya tidak akan mengiyakan langsung. Ini tanggungjawab saya sebagai seorang umat Islam.

"Perkara ini masih belum selesai dan siasatan sedang dilakukan. Jadi, saya tidak boleh hendak ulas lanjut kerana ini melibatkan perniagaan dan sensitiviti masyarakat.

"Saya akan berdiri sebagai seorang umat Islam di mana apabila perkara itu tidak betul, salah, dan melanggar peraturan, saya tidak akan sokong," katanya.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Berikutan itu, timbul gesaan agar rangkaian kedai serbaneka itu diboikot.

Rabu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilapor memohon maaf berhubung video dan gambar tular berkaitan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu dilaporkan berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Rentetan daripada insiden itu, pengendali rangkaian kedai serbaneka terbabit turut meminta supaya tidak memboikot perniagaan mereka.

Tiada siapa boleh halang, Pemuda Umno boikot ‘habis-habisan’ KK Mart

freemalaysiatoday.com
Predeep Nambiar
-20 Mar 2024, 11:48 PM

Ketuanya Dr Akmal Saleh berkata tiada sesiapa mampu menghalang tindakan itu di sebalik nasihat presiden parti jangan ‘berlebih-lebihan’.
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata tiba masa memberi pengajaran kepada pihak menghina Islam. (Gambar Bernama)

NIBONG TEBAL: Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata beliau akan terus mendesak pemboikotan kedai serbaneka KK Mart susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah, walaupun dinasihatkan tidak memanjangkan isu itu.

Beliau menegaskan, gesaan memboikot KK Mart bukan untuk meraih kepentingan politik, namun tindakan mempertahankan Islam daripada penghinaan.

“Jadi, sudah tentulah siapa pun yang nak menghalang saya dia takkan mampu untuk menghalang saya,” katanya kepada pemberita di Masjid Simpang Tiga.

Akmal juga menyuarakan keyakinan Pemuda Umno berada pada “landasan betul”.

Susulan kenyataan Akmal sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata jangan “berlebih-lebihan” selepas syarikat mengoperasikan kedai itu sudah memohon maaf dan siasatan mendapati ia dilakukan pembekal dari China.

“Kita selesaikan masalah ini dengan sebaik-baiknya supaya tidak timbul sebarang permasalahan,” kata Zahid yang juga presiden Umno.

Akmal memaklumkan bertemu Zahid, dan presiden “tak ada cakap apa-apa”, sambil menyatakan ada ahli Majlis Kerja Tertinggi memberi sokongan kepadanya.

Beliau sekali lagi menegaskan permohonan maaf KK Mart tidak mencukupi dengan berkata tiada sesiapa pun boleh terlepas dengan hanya satu permohonan maaf kerana menghina agama.

Akmal berkata, tiba masa untuk memberi pengajaran kepada pihak menghina Islam, termasuk KK Mart, dan berjanji akan terus “memboikot habis-habisan”.

Beliau juga mengkritik DAP dan mendakwa parti itu membawa isu kaum apabila Pemuda mula menyasarkan KK Mart.

Akmal bertegas jika peruncit itu Muslim sekalipun, beliau akan bertindak sama malah “lagi teruk”.

Kontroversi stoking tertera kalimah Allah tercetus susulan tular gambar penjualan produk itu Rabu lalu, di sebuah cawangan KK Mart Bandar Sunway, sekali gus mengundang kecaman umat Islam termasuk desakan memboikot oleh Pemuda Umno.

Pada Sabtu, syarikat berkenaan memohon maaf dan menyuarakan kekesalan atas insiden berlaku, namun Pemuda Umno mendesak pengurusan KK Mart memasang kain rentang permohonan maaf di semua 881 cawangannya di seluruh negara.

Wednesday, March 20, 2024

Tak perlu panjangkan isu stoking kalimah Allah, kata Anwar, Zahid

freemalaysiatoday.com
Amirul Aiman dan Predeep Nambiar
-20 Mar 2024, 09:01 PM

Perdana menteri berkata kita seharusnya terus maju kehadapan manakala timbalan perdana menteri menyeru orang ramai supaya tidak berlebih-lebihan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya Zahid Hamidi berkata tidak perlu lagi untuk memanjangkan perbincangan mengenai isu stoking tertera kalimah Allah. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya Zahid Hamidi cuba meredakan kontroversi menyelubungi penjualan stoking tertera kalimah Allah dengan menyeru semua pihak untuk tidak memanjangkan lagi isu tersebut.

Anwar berkata tindakan tegas sudah diambil dan kita seharusnya terus maju kehadapan.

“Kenapa kita masih terperangkap dengan isu-isu ini yang berpanjangan? Ada laporan, ambil tindakan, jangan ada penghinaan terhadap agama lagi.

“Jadi, jangan kita terus menerus dengan perbincangan ini,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama media.

Sementara itu di Pulau Pinang, Zahid menyeru semua pihak supaya jangan berlebih-lebihan dalam isu tersebut.

Katanya, kilang yang mengedarkan stoking itu sudah meminta maaf dan siasatan mendapati ia dilakukan oleh pembekal dari China, maka isu itu sepatutnya diselesaikan.

“Ini suatu pengajaran agak mahal dan saya yakin semua pihak patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong.

“Kita selesaikan masalah ini dengan sebaik-baiknya supaya tidak timbul sebarang permasalahan,” katanya kepada wartawan selepas majlis berbuka puasa di Masjid Simpang Tiga di Nibong Tebal.

K'jaan tak mahu isu stoking 'ditunggang' pihak berkepentingan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 20, 2024 5:34 PM
Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu stoking tertera kalimah Allah perlu ditangani segera dan tidak boleh dipandang ringan oleh sesiapa pun.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata ketika kerajaan yakin perkara itu tidak lagi berlaku pada masa depan, langkah segera perl diambil untuk mengelak ia menjadi lebih buruk.

"Kita (kerajaan) tidak mahu ada yang mengambil ringan apatah lagi yang mengambil kesempatan.

"Kita mesti menyelesaikan dengan segera masalah ini agar ia tidak disalah tafsir, tidak ditunggangi oleh mereka yang berkepentingan," katanya kepada media di Maktab Rendah Sains Mara Trolak di Slim River, semalam.

Rakaman itu dimuat naik program berita Hotspot, di media sosial milik Astro AEC.

Isu stoking yang dijual di dua premis KK Super Mart di Petaling Jaya mengundang kemarahan ramai orang Islam kerana dianggap menghina agama.

Sebagai reaksi Pemuda Umno Malaysia menggerakkan kempen memboikot rangkaian kedai serbaneka berkenaan di seluruh negara, selain menuntut syarikat terbabit membuat permohonan maaf di setiap premis mereka.

Pada masa sama beberapa pihak menggesa agar ketegangan itu dikendurkan dan isu tersebut tidak dilihat dari sisi perkauman.

Kata Ahmad Zahid isu tersebut memang dianggap melibatkan 3R (agama, kaum, dan raja-raja Melayu) justeru ia tidak boleh dipandang ringan sekalipun KK Super Mart sudah memohon maaf.

Pada masa sama, Presiden Umno itu berkata, pihaknya meminta Akmal Saleh selaku ketua sayap pemuda parti terbabit menyantuni perkara tersebut.

"Dan kita berharap pandangan Tuanku Yang di-Pertuan Agong kita jadikan sebagai asas," katanya.

Menteri perpaduan ‘lari’ lagi jawab isu perpecahan kaum

malaysiakini.com
Shamz Johan
Diterbitkan: Mar 20, 2024 1:57 PM
Menteri Perpaduan Aaron Ago Dagang sekali lagi mengelak daripada menangani perpecahan kaum di negara ini, ketika ketegangan mula memuncak di sebalik kontroversi berhubung stoking yang tertera kalimah Allah.

Diminta mengulas mengenai perkara itu, dia cuba ‘melarikan diri’ daripada mengulas lanjut.

"Itu bukan Mitra (Unit Transformasi India Malaysia), isu saya hari ini ialah Mitra," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Hala Tuju Mitra di Dewan Damar Sari, Kompleks F di Putrajaya hari ini.

Diasak lanjut, Aaron sekadar berkata: “Maaf, maaf, please.

"Kami mahu keamanan dalam kementerian bukan perpecahan, itu perpaduan," katanya.

Dia sebaliknya, menyerahkan perkara tersebut kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyiasat isu itu.

“KDN paling sesuai untuk menangani isu ini,” katanya.

Aaron diminta mengulas mengenai isu stoking yang tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka KK Mart yang mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.

Ditanya jika dia akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu, katanya, tidak.

Aaron turut berpendirian sama ketika disoal berhubung Minggu Solidariti Palestin pada Oktober lalu.

"Tanya perdana menteri. Saya (menteri) perpaduan. Saya mahu perpaduan, bukan perpecahan.

“Kalau soal perpecahan, jangan tanya saya,” katanya ketika itu.


Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial mengenai penjualan stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka KK Mart.

Walaupun KK Mart telah membuat penyataan maaf dan menarik balik penjualan produk tersebut namun ia tidak mampu meredakan kemarahan pelbagai pihak.

Beberapa pemimpin parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan meminta agar tindakan keras diambil serta menggesa tindakan boikot pada rangkaian kedai serbaneka berkenaan.

Pada 18 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata pihak KK Super Mart akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata dua kertas siasatan dibuka selepas pihaknya menerima 42 laporan.
Mohd Shuhaily Mohd Zain

Katanya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Selain kes itu juga disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar atau perkhidmatan.

Akmal tetap mahu KK Mart diboikot lepas ditegur tiga menteri

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 20, 2024 9:22 AM
Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh tetap tidak berganjak dari desakan untuk memboikot KK Mart berhubung kontroversi stoking dengan tulisan "Allah".

Ini meskipun selepas ditegur oleh tiga menteri setakat ini.

Mengulas Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Akmal berkata dia tidak memerlukan persetujuan DAP untuk perkara itu.

“Saya tak perlu dapatkan persetujuan DAP untuk mempertahankan agama saya dari dihina. Siapa pun kamu, saya tak pernah takut dan tak pernah gentar. Fullstop! Kekal boikot!" katanya di Facebook malam tadi.

Semalam, Loke berkata DAP tidak bersetuju dengan pendekatan Akmal menegur KK Mart.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke

Dia turut mempersoalkan sama ada ketua Pemuda Umno itu akan bertindak demikian sekiranya melibatkan syarikat milik orang Islam.

Sementara itu, Akmal turut menolak amaran Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing bahawa orang ramai mungkin memandang negatif Umno sekiranya ketua pemuda parti itu tidak ditegur.

“Boleh tak seseorang beri cermin pada dia ni? Boleh cermin diri dulu kot. Kalau tiada jawatan pun saya akan tetap pertahankan agama, bangsa dan tanah air saya," katanya dalam catatan Facebook berasingan malam tadi.

Pada hari Isnin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming juga telah memberi amaran bahawa desakan Akmal terhadap KK Mart mungkin memberi padah kepada Umno.

Akmal membalas dengan memberitahu Nga bahawa KK Mart akan lagi diboikot dengan 'sokongan' Nga terhadap syarikat itu.

Pemimpin Umno itu mengekalkan gesaan untuk memboikot KK Mart walaupun syarikat itu memohon maaf secara terbuka berhubung isu itu berulanga kali - yang turut dipamerkan di semua kedainya.

Stoking yang menjadi pertikaian itu telah ditemui di tiga cawangan KK Mart di Sunway, Selangor minggu lepas.

Menurut pihak berkuasa, hanya lima pasang stoking berada di rak.

KK Mart telah menamatkan perjanjiannya dengan pembekal stoking itu, yang seterusnya menyalahkan sebuah syarikat di China kerana tersilap menghantarnya.

Tuesday, March 19, 2024

DAP sampaikan pendirian pada Zahid, tak setuju gesaan boikot KK Mart

malaysiakini.com
Wong Kang Jia
Diterbitkan: Mar 19, 2024 6:08 PM
DAP menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan gesaan Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh untuk memboikot kedai serbaneka KK Mart yang terpalit dengan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah baru-baru ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pendirian itu telah disampaikan kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh di Putrajaya malam tadi.

"Saya nak tanya Dr Akmal, kalau perkara ini berlaku kepada sebuah kedai ataupun satu rangkaian kedai runcit yang dimiliki oleh satu syarikat yang beragama yang dimiliki oleh orang Islam apa reaksi dia?

"Pendirian kita memang tidak bersetuju dengan pendekatan dan cara yang dibuat oleh Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal. Saya rasa pandangan-pandangan telahpun dikemukakan.

"Kenyataan daripada DAP juga telahpun dinyatakan oleh beberapa pimpinan termasuk Ketua Pemuda, Dr Kelvin Yee dan juga YB Nga (Kor Ming).

"Memang pendirian kita tidak bersetuju dengan pendekatan itu. Kita merasakan bahawa dalam isu-isu sensitif ini perlulah ditangani dengan lebih berhemah," katanya ketika menghadiri majlis penyerahan cek di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) hari ini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan Akmal agar kedai serbaneka itu diboikot.

Loke berkata dia juga ada menghubungi pengasas KK Mart dan pengerusi eksekutif kumpulan itu, KK Chai serta mengaturkan pertemuan mereka dengan JAKIM semalam untuk menjelaskan mengenai duduk perkara sebenar.

"Betul ada kesilapan yang dilakukan oleh KK mart. Dan mereka telahpun mengakui kesilapan itu dan memohon maaf. Apa yang menyebabkan kesilapan itu akan disiasat oleh pihak berkuasa," katanya.

Loke menegaskan ahli politik sepatutnya menjadi jambatan dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia dan bukannya menghasut sentimen perkauman.

"Dalam masyarakat kita yang berbilang budaya, berbilang agama, terdapat banyak isu sensitif yang melibatkan orang Islam dan bukan Islam, dan sebagai pemimpin politik, kita mesti bekerja keras untuk membina jambatan.

"Tidak kira apa yang berlaku, kita mesti cuba membina jambatan untuk menyelesaikan isu dan meredakan keadaan, bukan untuk menghangatkan keadaan,” katanya.

Isu stoking: Agong murka, mahu tindakan sekeras-kerasnya

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 19, 2024 3:44 PM
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa murka dan duka cita berhubung penjualan stoking bertulis kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart dan mahu tindakan "sekeras-kerasnya" diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Sultan Ibrahim bertitah kalimah Allah dipandang sangat tinggi oleh umat Islam, justeru isu tersebut tidak seharusnya timbul.

“Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepentingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung saya di Parlimen, timbul pula perkara ini.

“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguatkuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titah Sultan Ibrahim dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasminya.

Hari ini, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail turut bertitah pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dalam perkara itu bagi mengelak kejadian sama berulang.

Terdahulu, pengasas KK Super Mart, KK Chai dan pembekal stoking, Xin Jian Chang Sdn Bhd telah membuat permohonan maaf berkenaan isu tersebut.

Namun, sejumlah pihak tidak berpuas hati dengan langkah itu, antaranya Pemuda Amanah dan Pemuda Umno yang mahu KK Super Mart menaikkan kain rentang permohonan maaf di kesemua 881 cawagannya.

Kes itu kini dalam siasatan polis dan Ketua Polis Negara Razarudin Husain semalam berkata pihak KK Super Mart akan dipanggil dalam masa terdekat.

Agong juga mengingatkan masyarakat agar menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan Raja-Raja.

Baginda juga bertitah bahawa tidak masuk akal syarikat dengan kakitangan warga Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.

“Sudah sekian lama kita hidup dalam sebuah negara majmuk. Kesilapan isu agama dan kaum sebegini tidak boleh diterima dan dibenarkan untuk berlaku lagi,” titah baginda.

Tiong gesa pimpinan Umno, KM Melaka tegur Akmal

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 19, 2024 2:34 PM
Menteri Pelancongan Tiong King Sing menyeru kepimpinan Umno tidak terus membiarkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh memperbesar-besarkan isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Tiong berkata Umno perlu memandang serius tindakan Akmal dan tidak membiarkannya menggunakan platform Pemuda Umno dan statusnya sebagai pemimpin untuk mengejar agenda peribadi.

“Saya lebih bimbang sekiranya pemimpin kanan Umno tidak mempedulikan gelagat dan sikap Akmal selaku ketua Pemuda Umno, maka ini akan mengakibatkan rakyat terus berpandangan negatif terhadap Umno, malah tidak mustahil Umno terus ditolak oleh rakyat yang cintakan keamanan, perpaduan dan dahagakan politik matang,” katanya.

Mengulas lanjut, Tiong juga menggesa Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh supaya bertindak tegas terhadap Akmal yang juga exco kerajaan negeri itu.

“Saya telah mendapat maklum balas bahawa rakyat dan akar umbi Melaka telah membuat aduan dengan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap sikap angkuh Akmal.

“Jika tidak diperbetulkan segera, ini mungkin memberi kesan negatif kepada perkembangan politik Melaka pada masa hadapan,” tegasnya.

Sebuah rangkaian kedai serbaneka KK Mart di Sunway baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila didapati menjual stoking tertera kalimah Allah.

Susulan kontroversi itu, pengasas KK Super Mart, KK Chai membuat permohonan maaf, selain menjelaskan produk tersebut adalah 'consignment' daripada vendor dan pihaknya telah berhubung dengan vendor terbabit untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Namun, ia tidak terhenti disitu apabila Akmal dengan lantang menyatakan permohonan maaf saja tidak mampu “menutup buku” berhubung kontroversi itu.

Mengulas lanjut, Tiong berkata Akmal tidak sepatutnya “menunggang” isu berkenaan untuk meraih modal politik kerana ia boleh merosakkan keharmonian masyarakat.

Kata Tiong, semua pihak seharusnya bertenang dan tidak lagi “menyimbah minyak ke api” yang sedang mahu reda.

“Sebaliknya, berilah peluang kepada pihak KK Super Mart membetulkan kesilapan dan Akmal juga tidak perlu lagi mengambil kesempatan terhadap isu ini untuk menjadi hero,” katanya.

Menurut Tiong, dia percaya bahawa sebagai sebuah perusahaan perniagaan, KK Super Mart telah banyak menyumbang dan memberi manfaat kepada masyarakat, terutamanya dalam meningkatkan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan.

“Ini fakta dan realiti yang tidak dapat dinafikan. KK Super Mart mempunyai melebihi 800 cawangan di seluruh negara, dan pekerjanya terdiri daripada pelbagai kaum termasuk pekerja Melayu.

“Jika kontoversi stoking terus memuncak, ia mungkin mewujudkan jurang antara pekerja, dan lebih teruk lagi, ia akan menjejaskan mata pencarian sebilangan besar pekerja. Adakah ini yang Akmal mahu lihat?” soalnya.

Sehubung itu, Tiong berkata adalah penting untuk semua pihak bertolak ansur dan menerima permohonan maaf ikhlas syarikat terbabit dengan hati yang terbuka.

Tambah Tiong, dia juga menggesa semua pemimpin politik supaya bertenang dan menghentikan pertelagahan.

“Sebaliknya, berikan sepenuh tumpuan terhadap agenda membangunkan negara demi kebaikan rakyat,” katanya.

Akmal dan Tiong sebelum ini dilihat berselisih dan saling melemparkan kecaman di media sosial, dengan ketua Pemuda Umno itu menggesa Tiong dipecat.

Ini berikutan beberapa isu, termasuk berhubung cadangan untuk bak kut teh dimasukkan dalam senarai makanan warisan negara.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, semalam berkata pihak KK Super Mart akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata dua kertas siasatan dibuka selepas pihaknya menerima 42 laporan.

Katanya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Menurutnya, kes juga disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar.

Monday, March 18, 2024

'Hasutan' Akmal boleh bawa padah pada Umno - Nga

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 18, 2024 8:35 PM
Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming menggesa ketua Pemuda Umno Akmal Salleh supaya berhenti menghasut sentimen perkauman dan agama berhubung kemelut stoking bercetak "Allah" yang ditemui di KK Mart.

Dia berkata reaksi Akmal adalah memudaratkan dan mungkin akan memberi kesan kepada Umno.

"Ketua Pemuda Umno Akmal dan netizen tidak seharusnya terus mencetuskan sentimen perkauman dan agama dengan sikap angkuh dan provokatif. Ini adalah tingkah laku yang berbahaya dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Sekiranya Akmal tidak mahu melihat Umno terus kehilangan sokongan rakyat, beliau mesti bermuhasabah diri terlebih dahulu, dengan rendah hati menerima nasihat ikhlas, atau beliau akan dikenang sebagai punca kekalahan Umno dalam pilihan raya,” kata Nga pada satu kenyataan hari ini.
Katanya, manipulasi sentimen perkauman dan agama yang digunakan Akmal adalah strategi lapuk yang tidak sesuai dengan usia mudanya dan era globalisasi pada hari ini.

Akmal dengan keras membidas KK Mart selepas kejadian stoking tertera perkataan "Allah" ditemui di kedai tersebut, menggesa boikot jika rantaian itu tidak menyiarkan sepanduk memohon maaf atas kejadian itu.

Ini walaupun rangkaian kedai serbaneka memohon maaf mengenai perkara itu di media sosial, mengatakan mereka telah terlepas pandang stoking yang dihantar kepada mereka daripada pembekal.

Bagi Nga, permohonan maaf KK Mart melalui saluran dalam talian dan notis yang disiarkan di cawangannya sepatutnya sudah memadai.
"KK Mart telah memohon maaf secara terbuka dan mengambil langkah untuk menamatkan kontrak pembekal stokin yang tertera perkataan "Allah," justeru tidak perlu memburukkan lagi kesilapan mereka.

“Sebaliknya, kita harus memahami, menyokong antara satu sama lain dan bergerak maju ke hadapan dengan bersatu padu,” katanya.

Nga berkata reaksi negatif yang melampau terhadap isu boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing.

"Merendah diri membawa kebaikan, kesombongan mengundang kerugian.
“Saya harap Akmal selaku ketua Pemuda Umno memahami kebenaran yang tidak lapuk ini," katanya.

Akmal mula-mula memberi tekanan terhadap isu itu selepas polis pada mulanya berkata mereka tidak menyiasat stoking "Allah" kerana tiada laporan polis dibuat mengenai perkara itu.

Ini mendorong ketua Pemuda Umno itu untuk menggerakkan akar umbi parti untuk membuat beberapa laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Polis telah mengesahkan pihak berkuasa telah membuka dua kertas siasatan mengenai kes itu.

[Baca berita asal]

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-