Saturday, March 30, 2024

Suami isteri jual senjata dibeli di Thailand kepada warga Israel

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-30 Mar 2024, 12:44 PM

Sumber berkata, pasangan warga tempatan itu membuat pengakuan berkenaan ketika disoal siasat.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata siasatan lanjut masih dijalankan daripada semua sudut bagi mengesan individu terbabit dalam kes warga Israel itu.

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri mengakui membeli senjata di Thailand sebelum menjualnya kepada seorang warga Israel yang ditahan di sebuah hotel pada Rabu lalu.

Sumber dipetik Harian Metro berkata, pasangan warga tempatan itu membuat pengakuan berkenaan ketika disoal siasat.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan perkara itu dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan daripada semua sudut bagi mengesan individu terbabit kes berkenaan.

Semalam, Razarudin dilaporkan berkata, seorang lelaki Israel berusia 36 tahun ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, dengan polis merampas enam senjata api bersama 200 butir peluru.

Menurutnya, suspek mendakwa menyasarkan seorang lagi rakyat Israel atas alasan pertelingkahan keluarga, tetapi beliau tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai “agenda lain”.

Beliau berkata, suspek mendakwa membeli semua senjata api pelbagai model, termasuk Sig Sauer, Glock-27 dan Smith and Wesson menggunakan mata wang kripto ketika di Malaysia.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pasangan berusia 42 dan 40 tahun itu ditahan di bazar Ramadan Kuala Selangor pada 7.15 malam semalam dan sepucuk pistol ditemui dalam beg galas di Honda Jazz milik mereka.

Sumber dipetik akhbar itu berkata, suspek lelaki terbabit dipercayai bertanggungjawab membekalkan enam pistol kepada warga Israel terbabit.

Dalam perkembangan sama, sumber dipetik Harian Metro berkata, warga Israel itu mendaftar masuk ke hotel lima bintang dan membeli-belah di sebuah pusat beli-belah mewah sejak masuk ke Malaysia pada 12 Mac lalu.

“Kehidupan suspek dilihat sangat mewah, individu berkenaan juga makan di restoran lima bintang di ibu negara,” kata sumber itu sambil menambah suspek turut menemui beberapa individu lain di hotel lima bintang di ibu negara.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis sedang menyiasat kemungkinan lebih ramai warga tempatan bersubahat dengan lelaki Israel itu.

“Polis masih menyiasat, butiran lebih lanjut mungkin dikongsi dalam sidang media pada Isnin oleh ketua polis negara,” katanya menurut Berita Harian.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-