Thursday, April 4, 2024

Isu Majlis tilawah al-Quran: Biar pihak berkuasa ambil tindakan

hmetro.com.my
Noor Hidayah Tanzizi
hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
DR Zulkifli, gambar fail. FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Pihak berkuasa perlu diberi ruang untuk melakukan tindakan mengikut undang-undang sedia ada susulan dakwaan tiada penganjuran pertandingan majlis tilawah al-Quran pada tahun ini.

Bagaimanapun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya akan terus memberikan kefahaman supaya masyarakat mementingkan perpaduan dan menghormati satu sama lain.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan, Kementerian Komunikasi memaklumkan pihaknya mengesan satu hantaran mesej tersusun memburukkan kerajaan dengan mendakwa tiada pertandingan majlis tilawah al-Quran pada tahun ini.

Menterinya Fahmi Fadzil dipetik sebagai berkata, dia sudah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk meneliti dan mengenal pasti mereka yang terbabit dengan 'operasi' itu.

Semalam, Zulkifli tampil mengesahkan dakwaan yang tular di media sosial itu adalah tidak benar.

Beliau dilaporkan berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menetapkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 23 hingga 28 Mei ini di Kuantan, Pahang manakala Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada 5 hingga 12 Oktober.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, tarikh penganjuran majlis berkenaan yang diadakan setiap tahun pernah bertukar beberapa kali sebelum ini.

"Jika kita lihat ia (majlis tilawah al-Quran) bukan perkara baru, malah diadakan setiap tahun menjadi program besar di peringkat negara. Ada beberapa pertukaran tarikh itu sudah berlaku beberapa tahun lalu.

"Namun ada pihak cuba mensensasikannya sedangkan dari semasa ke semasa kita memperkukuhkan lagi (majlis) tilawah dalam pelbagai bentuk," katanya selepas menghadiri program World #QuranHour di Masjid Negara di sini, hari ini.

Disiarkan pada: April 4, 2024 @ 5:03pm

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-