Saturday, April 6, 2024

Pernah dibenci ketika era kejatuhannya, P. Ramlee juga jatuh miskin sebelum meninggal

malaysiadateline.com
06/04/2024

Oleh KIM SYAZIE
Di sebalik nama besar Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan filem hitam putih beliau yang diminati sehingga kini, tersimpan 1001 kisah yang menyedihkan.

Sewaktu hidupnya beliau bukanlah orang yang senang seperti artis-artis pada hari ini. Kehadiran beliau dalam industri juga tidak begitu dihargai.

Malah di penghujung hayatnya, beliau jatuh miskin, dipulau rakan-rakannya, dijatuhkan, dicaci dan dimalukan serta banyak menanggung kekecewaan dan kesedihan.

Jasa beliau hanya diangkat, dihargai dan dikenang setelah pemergiannya.

Dikatakan ketika itu, wartawan juga hampir bersatu menjatuhkannya – lebih teruk lagi apabila kerajaan gagal menghargai beliau semasa hayatnya, lapor laman maukerja.

Beliau tidak meminati politik dan plotting. Beliau tidak suka apa-apa taktik kotor dan “anything underhand”.

Beliau juga tidak pernah mengata keburukan sesama seniman. Bagi P.Ramlee, keseluruhan hidupnya hanya diabadikan kepada kerja-kerja seni sahaja.

Mati dalam kemiskinan, namun khazanah negara melalui filem dan muzik kekal abadi. Negara ini terhutang budi kepada P.Ramlee.

Walaupun gelaran Tan Sri yang dianugerah kepadanya selepas kematian beliau bagaikan ‘sia-sia’, saya masih menyokong P.Ramlee dianugerahkan gelaran Tun.

Namun khazanah negara filem-filem karya beliau bukan milik beliau, bukan juga milik Malaysia.

Setiap kali kita menonton filem agungnya, Shaw Brother adalah orang yang meraih keuntungan.

Filem-filem seperti Pendekar Bujang Lapok, Ibu Mertuaku dan Nujum Pak Belalang merupakan hak cipta Shaw Brother.

Shaw Brother yang mengaut keuntungan dengan hasil kreatif P.Ramlee dan Shaw Brother yang sama memusnahkan kerjaya Seniman Agung itu.

Shaw Brother telah berkomplot dan memulakan perang media memburukkan P.Ramlee, menurut sekutu P.Ramlee Datuk H.M. Shah.

Percaya atau tak, semasa acara “Malam Tiga Ramli” (ia dipanggil Tiga Ramli kerana artis jemputan terdiri dari P. Ramlee, A. Ramlie dan L. Ramli) di Stadium Chin Woo, KL, dia terima sambutan teruk dari penonton (mereka ‘boo’ dekat P. Ramlee tau!).

Menurut Jamal Abdilah (semasa dia remaja):

“Ketika P.Ramlee muncul, dia kena ‘boo’. Peminat sudah tidak boleh terima muzik dia lagi pada waktu itu sedangkan dia adalah satu nama besar dalam industri seni. Ia membuatkan saya rasa takut.”


Menurut dokumentari arahan Shuhaimi Baba, P.Ramlee merupakan seorang pengarah pertama Melayu yang menyimpang dari tradisi meniru filem ala India.

Melalui filem seperti Semerah Padi, P.Ramlee meninggalkan langsung budaya ‘bikin filem’ ala India.

P.Ramlee memasukkan unsur-unsur akar umbi budaya dan adat resam Melayu.

Malah dalam sebuah temuramah, P.Ramlee menyatakan dengan jitu jika muzik irama Malaysia seperti joget dan sebagainya tidak diterap ke dada generasi Melayu, lama kelamaan seni warisan nenek moyang ini akan hilang.

P.Ramlee memang seorang patriotik dan menyayangi bangsa Melayu dan Melayu sebahagian besar menolak dan mencemuh karyanya disaat menjelang kematiannya.

Cukong seperti Shaw Brothers mempunyai duit dan pengaruh untuk memperkotak-katiknya genius Melayu yang sukar dicari ganti ini.

Jika pembaca ingin tahu, menjelang kematian Napoleon Bonaparte, beliau sempat menulis sesuatu yang menggetarkan jiwa saya apabila membacanya.

Selepas beliau disahkan mati, seseorang menemui kertas ditangan Maharaja Perancis yang mati dalam buangan di Pulau St. Helena.

Ini kata-katanya: “A New Prometheus, I am nailed to a rock to be gnawed by a vulture. Yes, I have stolen the Fire of Heaven, and made a gift of it to mankind. The Fire has returned to its sources, and I am here! The love of glory is like the bridge that Satan built to pass from Chaos across Hell to Paradise; glory link the past and the future across a bottomless abyss. Nothing to my son except my name!”

Kata-kata itu lebih tepat untuk ditujukan kepada P.Ramlee.

Sebagai pemula sebenar ‘filem Melayu’, beliau telah mencuri ‘Api Syurga’ yang membawa sinar baru kepada bangsa Melayu, tetapi dengan harga yang perlu dibayar.

Seperti nasib Prometheus dalam mitologi Greek yang mencuri ‘Fire of Heaven’ dan memberi ilmu kepada mere mortal (manusia biasa), beliau telah dihukum oleh Zeus.

Hukuman bagi Prometheus adalah beliau dipaku kepada batu batan dan akan datang burung hering memakan hatinya.

Hatinya kemudian tumbuh semula untuk kembali dimakan oleh hering.

Seperti Prometheus, menjelang kematiannya, P.Ramlee telah ‘makan hati.’

Ini tidak disedari oleh bangsanya yang terus-terusan mengejeknya hingga beliau meninggalkan kita untuk selamanya pada 29 Mei 1973.

Ironinya, beliau menjadi abadi selepas itu. Seperti kata Renoir tentang lukisan yang dihasilkan dengan kesakitan kerana beliau cacat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-