Thursday, June 27, 2024

Mahkamah tolak permohonan Azizi, SPR akan umum tarikh PRK Nenggiri

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Jun 27, 2024 8:40 PM
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan meneruskan pengumuman tarikh pilihan raya kecil DUN Nenggiri esok.

Ini selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injuksi bekas Adun Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim bagi menangguhkan pengumuman tarikh PRK di DUN berkenaan.

Azizi memohon perintah sekatan sementara untuk mengekalkan status quo antara parti sementara menunggu keputusan tuntutan mahkamahnya mencabar kesahihan penamatan keahlian partinya, yang menyebabkan kerusi DUN Nenggiri di Kelantan kosong.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain pada hari ini menafikan permohonan injunksi Azizi selepas lebih dua setengah jam mendengar hujahan yang bermula pada 4.30 petang tadi.

Roz Mawar berkata SPR tidak boleh dinafikan daripada menjalankan tugas perlembagaannya, termasuk mengadakan mesyuarat dan mengumumkan tarikh pilihan raya kecil.

Mahkamah memutuskan Azizi masih boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil itu dan menetapkan 28 Ogos depan untuk mendengar permohonan injunksi sebenar.

Di bawah undang-undang, injunksi ad-interim bertujuan untuk mengekalkan status quo sementara menunggu pendengaran permohonan injunksi sebenar.

Semalam, Azizi memohon perintah injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghalang pilihan raya kecil daripada diadakan di kerusi DUN Nenggiri, Kelantan.

Pemecatan daripada Bersatu tidak sah

Azizi memohon perintah untuk mengekalkan status quo antara parti, sementara menunggu pelupusan saman pemulanya bukan sahaja terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya dan Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah, tetapi juga dua pemimpin tertinggi Bersatu - Presiden Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Hamzah Zainuddin.

Azizi memohon perisytiharan mahkamah bahawa artikel 10.5 dibaca bersama 10.4 dan 10.6 perlembagaan parti politik itu melanggar hak perlembagaannya untuk kesaksamaan di sisi undang-undang dan kebebasan berpersatuan.

Dia berhujah bahawa pemecatannya daripada Bersatu adalah tidak sah, dan pengisytiharan speaker Kelantan bahawa kerusi Nenggiri kosong adalah terbatal dan juga tidak sah.

Bersatu pada 12 Jun lalu, memaklumkan kepada speaker negeri bahawa keahlian Azizi telah ditarik balik dan sekali gus kerusi Nenggiri adalah kosong.

Azizi, yang juga ahli parlimen Gua Musang antara tujuh ahli parlimen Bersatu yang dilucutkan keahlian mereka kerana menyuarakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Selain Azizi, mereka yang lain turut dipecat itu adalah ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Azizi bertanding di bawah tiket PAS mewakili gabungan Perikatan Nasional pada pilihan raya umum dan negeri lalu.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-