Ili Aqilah
Diterbitkan: Jul 15, 2024 8:36 PM
Adun Sungai Udang Dr Mohd Aleef Yusof mencabar Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mengulas kenyataan Ab Rauf bahawa Umno Melaka akan merampas semula kerusi Sungai Udang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, Mohd Aleef menggesa dia supaya segera membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya.
“Saya cabar YB Tanjung Bidara ini bubar DUN sekarang dan kita lawan. Bubar DUN negeri melaka dan kita lawan dalam pilihan rakyat.
"Tak guna untuk berkokok sebegini," katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, Ab Rauf, yang juga pengerusi perhubungan Umno Melaka, menyatakan kesungguhan parti itu untuk mendapatkan kerusi Sungai Udang pada pilihan raya akan datang.
Dia menyorot kejayaan sebelum ini di tiga lagi kawasan di bawah parlimen Tangga Batu iaitu Kelebang, Paya Rumput, dan Pantai Kundor, walaupun tewas di Sungai Udang.
Mohd Aleef memenangi kerusi Sungai Udang dengan kelebihan 530 undi menentang calon BN Mohamad Ali Mohamad.
Mengulas lanjut, Mohd Aleef menyifatkan Ab Rauf tidak faham realiti di Sungai Udang.
Dia berkata ia boleh menjejaskan prospek Umno bukan sahaja di Sungai Udang tetapi juga di tiga kerusi lain.
Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh
“Apakah Tanjung Bidara ini tidak mempunyai perisik-perisik di kalangan rakyat, sentimen-sentimen di kalangan rakyat ini, apakah YB Tanjung Bidara ini tak baca dengan teliti?"Bukan kata Sungai Udang, silap-silap tiga kerusi yang dipegang itu yang terlingkup termasuk Sungai Udang," katanya.
Pada masa ini, BN memegang bilangan kerusi DUN terbesar di Melaka, dengan 21 kerusi, diikuti oleh Pakatan Harapan, dengan lima kerusi, dan PN, dengan dua kerusi.
Pada pilihan raya negeri lalu, Umno memenangi 18 daripada 20 kerusi yang dipertandingkan.
Selain Sungai Udang, parti itu turut tewas di Bukit Katil kepada Amanah dengan majoriti 1,057 undi.
Bersatu bertanding 15 kerusi dan memegang kedua-dua kerusi PN iaitu Sungai Udang dan Bemban.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.