B Nantha Kumar
Diterbitkan: Jul 25, 2024
Dalam usaha yang dilihat untuk menggempur kerajaan perpaduan, khususnya di Perak, PAS dan Sekretariat Selamatkan Malaysia 2.0 dijadualkan mengadakan beberapa siri ceramah umum dan perhimpunan aman di sekitar negeri itu bermula 26 Julai hingga 28 Julai.
Menurut pengerusi sekretariat itu, Tun Faisal Ismail Aziz yang juga adalah anggota Bersatu, mereka akan mengadakan ceramah umum pada 26 Julai dan disusuli keesokan harinya dengan perhimpunan aman di Tambun - kawasan parlimen yang disandang Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Tun Faisal Ismail Aziz (tengah)
"Ceramah Umum Selamatkan Malaysia, "Mahkamah Rakyat Hukum Anwar" pada 26 Julai di Manjoi.“Sementara, Himpunan Aman Selamatkan Malaysia "Mahkamah Rakyat Hukum Anwar" diadakan pada 27 Julai di ruang awam berhadapan pejabat ahli parlimen Tambun," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir adalah Adun Bersatu, dari Gombak Setia Muhammad Hilman Idham, (gambar atas, kiri), penolong setiausaha Armada, Bersatu Muhammad Faiz Rahmad dan bekas ahli parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan.
Manakala PAS diwakili oleh Ketua Penerangan Pemuda PAS Khairul Nadzir Helmi Azhar dan Pejuang diwakili ketua penerangannya, Mohd Rafique Rashid Ali.
Faisal berkata bahawa tema 'Mahkamah Rakyat Hukum Anwar' merupakan tema yang membuka tirai Himpunan Selamatkan Malaysia 2.0 tahun ini.
"Prestasi ini dinilai berdasarkan janji-janji yang telah dibuat serta pencapaian beliau dalam mentadbir negara ini.
"Manakala, perhimpunan aman 'Mahkamah Rakyat' pada 27 Julai akan membicarakan Anwar dan 'Rakyat Hakim Negara' akan memutuskan kesalahan-kesalahan Anwar serta menjatuhkan hukuman kepada beliau," katanya.
Dalam pada itu, Rafique yang adalah peguam sekretariat itu berkata bahawa polis telah dimaklumkan mengenai ceramah umum tersebut.
"Polis telah meluluskan pemakluman ceramah umum. Tapi, tolak pemakluman perhimpunan aman.
"Tapi, kami nak jelaskan di sini, di bawah Akta Perhimpunan Aman, kami tak perlu membuat permohonan. Kami hanya perlu memaklumkan sahaja kepada pihak polis," katanya.
Sementara itu, PAS pula dilaporkan akan mengadakan beberapa siri ceramah perdana di pentas berbeza sekitar Perak pada 27 Julai dan 28 Julai dengan menampilkan beberapa pemimpin utamanya.
PAS dijadualkan mengadakan tiga ceramah perdana pada 27 Julai masing-masing di Bukit Gantang, Kamunting, Trong dan Kenduri Rakyat di Bukit Gantang pada 28 Julai.
Antara pemimpin yang akan hadir, termasuk Presiden Abdul Hadi Awang, naib-naib presidennya, Idris Ahmad, Nik Amar Abdullah dan Setiusaha Agung Takiyuddin Hasan.
Turut ditampilkan adalah Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria, dan bekas hulubalang Umno Shahidan Kassim serta Annuar Musa yang telah menyertai parti itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.