Sunday, July 14, 2024

Umno harus desak speaker diganti dengan tokoh lebih adil, kata Zaid

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
14 Jul 2024, 02:30 PM

Bekas menteri itu berkata, institusi kerajaan hanya dapat berfungsi dengan baik apabila pegawai terhormat dan jujur dalam melaksanakan tugas.
Tiada undang-undang atau peraturan boleh menggantikan tingkah laku beretika, kata bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.

PETALING JAYA: Umno harus mendesak agar Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul digantikan dengan seorang tokoh yang lebih adil, kata bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.

Dalam hantaran di platform media sosial X hari ini, Zaid mengulas tentang komen Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Naib Presiden Johari Ghani mengenai keputusan speaker untuk tidak mengosongkan kerusi disandang enam bekas Ahli Parlimen Bersatu.

“Tiada undang-undang atau peraturan boleh menggantikan tingkah laku beretika. Institusi kerajaan, termasuk Parlimen, hanya dapat berfungsi dengan baik apabila pegawai terhormat dan jujur dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

Tiada perundangan mahupun perubahan dasar boleh menggantikan ini, katanya.

Semalam, Mohamad mencadangkan pilihan raya semula (recall election) diadakan jika kerajaan tidak meminda undang-undang antilompat bagi memastikan kerusi Parlimen dikosongkan sekiranya wakil rakyat mengikrar sokongan terhadap parti lain.

Beliau berkata, pilihan raya semula itu boleh diadakan apabila Ahli Parlimen atau Adun tidak sehaluan dengan parti yang dianggota ketika dipilih.

Mohamad berkata, pengundi di kawasan itu boleh membuat referendum untuk memilih semula Ahli Parlimen, dan jika mendapat sokongan lebih 50%, kerusi itu perlu dikosongkan dan pilihan raya diadakan semula.

Johari Ghani juga menggesa agar undang-undang antilompat diketatkan bagi mengelakkan ia disalah guna oleh ahli politik yang melompat parti.

Kalau ada isu teknikal atau kelompangan dari segi akta (antilompat) itu, kalau perlu kita perbaiki, kita perbaiki. Kita tidak patut galakkan amalan lompat parti ini, katanya.

Zaid berkata, sudah tiba masanya untuk Umno bersikap seperti Sarawak dan bertegas mengenai perkara-perkara yang penting kepada negara.

Wajarkan kedudukan sebagai rakan kongsi dalam kerajaan, katanya.

“Bagus kedua-dua pemimpin Umno ini bersuara, tetapi penyelesaiannya agak mudah: Pilih orang lain yang adil sebagai speaker.

Jika Umno tegas pendirian mengenai isu ini, kepimpinan Madani tiada pilihan selain membenarkan Parlimen memilih speaker lain.

Keputusan Johari Abdul berhubung kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu itu dikritik oleh masyarakat awam dan ahli politik, dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, tindakan mengecewakan itu jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin berkata, Bersatu akan melantik peguam untuk mencabar keputusan itu di mahkamah.

Badan pemantau pilihan raya Bersih juga berkata, speaker tersilap dalam memahami mekanisme perundangan antilompat dan mengabaikan prinsipnya, yang boleh membawa kepada ketidakstabilan politik.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-