Showing posts with label Zaid Ibrahim. Show all posts
Showing posts with label Zaid Ibrahim. Show all posts

Friday, September 6, 2024

Zaid: Kenapa kes rakyat diserang tak disiasat sepantas kes Muhyiddin?

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 6, 2024 9:56 AM
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim mempersoalkan kelambatan perkembangan kes serangan ke atas pemandu e-hailing OKU, Ong Ing Keong dan pekerja pembinaan, Alias Awang.

Zaid membandingkan dua kes itu dengan siasatan ke atas Pengerusi PN Muhyiddin Yassin di bawah Akta Hasutan, dengan 66 saksi diambil keterangan dan disusuli dengan pendakwaan hanya dalam tempoh beberapa hari.

“Muhyiddin tak serang sesiapa, tetapi mereka kata kata-katanya menyinggung mereka,” kata Zaid di X.

Zaid juga mempersoalkan sikap Peguam Negara (AG) Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang membisu.

“Kenapa AG kita berdiam diri?

“Ketika Abu Talib Othman dan Abdul Gani Patail jadi AG, mereka kerap berdepan dengan media dan mengendalikan pertanyaan orang awam. Ini adalah perkara berkaitan kepentingan awam yang patut ditangani sewajarnya,” katanya, sambil menambah AG sepatutnya memberi jaminan berkenaan kesaksamaan polis dan komited untuk mengambil tindakan pantas.
Ong (kanan) dan peguam, Zaid Malek
Semalam, Ong dan Lawyers for Liberty (LFL) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan ke atas serangan ke atas lelaki itu yang didakwa berlaku di luar sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu.

Ong ditumbuk oleh seorang pegawai polis yang bertugas sebagai pengiring Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Pertubuhan Kebajikan dan Advokasi Pekak Malaysia (Dawn) pula mendakwa Ong telah menandatangani empat laporan polis, dengan tiga daripadanya disediakan oleh polis sendiri.

Pada 5 Jun lalu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara.
Alias Awang
Bagi satu lagi kes, Malaysiakini semalam melaporkan Awang mendakwa dia diserang oleh seorang kerabat diraja Pahang dan sekumpulan lelaki di Kuantan. Dia mendakwa ditikam di bahagian paha.

Dia juga mendakwa anggota kerabat itu melepaskan tembakan ke arah kakinya namun tidak mengena sasaran.

Ketua Polis Daerah Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata tiga orang lelaki yang disyaki sebagai suspek utama dalam telah ditangkap dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Dia bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen atau mengesahkan mengenai penglibatan seorang kerabat diraja dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Zaid turut membangkitkan titah Tunku Ismail dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah agar keadilan ditegakkan dalam dua kes itu.

Zaid turut menggesa Anwar untuk berbincang dengan polis tetang bagaimana untuk mengendalikan kes seumpama itu.

“Saya lihat reaksi pantas dan tegas hanya apabila kata-kata rakyat menyinggung kerabat diraja.

“Jika begitu, kita boleh sekurang-kurangnya harap polis dan AG turut bertindak pantas apabila rakyat melaporkan kes serangan yang menyebabkan kecederaan,” katanya lagi.

Tuesday, July 23, 2024

Tukar imej untuk dapat sokongan semua rakyat, PAS diberitahu

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
23 Jul 2024,

Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim berkata PAS perlu tunjuk ia boleh tawar suatu sistem Islamik yang jamin kesamarataan.
Bekas menteri Zaid Ibrahim berkata PAS ketika ini tidak menunjukkan minat untuk mendapatkan sokongan bukan Islam dalam menangani isu-isu kontemporari. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang mencabar PAS untuk mengubah imej parti dengan menawarkan ‘naratif dasar yang boleh dipercayai dan substantif’ untuk mendapatkan sokongan daripada semua rakyat.

Dalam satu catatan di X, Zaid Ibrahim berkata PAS mempunyai potensi untuk memimpin negara tetapi mesti mendapatkan sokongan daripada semua segmen masyarakat untuk dapat kuasa.

Pada masa ini, PAS tidak menunjukkan minat untuk mendapatkan sokongan bukan Islam dalam menangani isu-isu kontemporari, katanya, sambil menambah parti itu masih menyebabkan ramai orang ketakutan tentang cara mereka akan mentadbir negara.

Zaid berkata PAS harus mempertimbangkan untuk membentuk pakatan yang serius dengan parti bukan Melayu, seperti MCA.

PAS ada orang Melayu bersama, parti itu hanya perlu mengisytiharkan satu sistem Islamik yang menjamin kesamarataan untuk semua.

Zaid berkata semua rakyat akan mengikut kumpulan Melayu yang boleh dipercayai dan ikhlas yang bersungguh-sungguh berusaha menghapuskan semua bentuk diskriminasi.

Bagaimanapun, katanya, PAS perlu mengubah profil dan kelakuannya dengan menghormati hak dan adat bukan Melayu. Tambahnya, PAS juga mesti meninggalkan obsesi yang melarang segala yang mereka tidak setuju.

Wujudkan masyarakat yang lebih baik dan lemah lembut. Tawarkan sokongan dan bantuan kepada semua peringkat masyarakat – terutamanya segmen yang lebih miskin, kata Zaid.

Beliau juga menyeru PAS mempromosikan keadilan Islam sebenar dengan menghentikan layanan istimewa yang dinikmati oleh segmen tertentu dalam masyarakat.

“Rakyat sudah letih dengan diskriminasi, hegemoni, dan kelas yang berbeza menerima layanan yang berbeza daripada mereka yang berkuasa.

Sampaikan kepada rakyat mesej yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad untuk umat manusia. Bolehkah PAS menjalankan misi ini?

Sebuah parti politik mesti mempunyai rancangan untuk mengubah sistem politik, ekonomi, dan keadilan. Ia tidak boleh menjadi parti yang menjanjikan syurga tetapi kekurangan dalam hal lain.

Pada PRU15, PAS merekodkan pencapaian terbaik apabila memenangi 43 kerusi Parlimen, terutama di kawasan yang majoriti Melayu.

PAS, Bersatu (dengan 25 kerusi) dan Muda (1 kerusi) kini membentuk blok pembangkang di Dewan Rakyat, manakala kerajaan dibentuk oleh gabungan Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan parti-parti Malaysia Timur mengawal 153 kerusi.

PAS pernah berkuasa di persekutuan apabila Perikatan Nasional memimpin kerajaan dari Mac 2020 hingga Ogos 2021.

Pada Okt tahun lalu, Presiden Abdul Hadi Awang berkata PAS mesti berusaha untuk memenangi pengundi bukan Melayu dan bukan Islam dalam PRU16 selepas memperoleh sokongan majoriti Melayu.

Kerajaan tak perlu polis tangani kritikan, kata Zaid

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
23 Jul 2024

Bekas menteri undang-undang itu berkata tidak perlu tindakan drastik sedemikian terhadap pengkritik.
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata kerajaan mempunyai sumber yang diperlukan untuk menentang pengkritik.

PETALING JAYA: Kerajaan tidak memerlukan sokongan pasukan polis terhadap kritikan kerana ia mempunyai sumber untuk menentang pengkritik, kata seorang bekas menteri undang-undang.

Zaid Ibrahim berkata Putrajaya boleh menggunakan sumber dan platform media sosialnya untuk menyampaikan maklumatnya sendiri, malah propaganda juga.

Mengapa pemimpin begitu paranoid terhadap kritikan? tambahnya dalam hantaran di X.

Zaid mengulas laporan seorang peguam yang disiasat atas tuduhan menghasut selepas menggelar Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai ‘scammer’ kerana gagal mengotakan janji.

Rafique Rashid Ali telah membuat ucapan itu semasa perhimpunan antikerajaan pada bulan Jun.

Zaid berkata adalah tidak adil dan tidak wajar untuk menggelar Anwar sebagai ‘scammer’ kerana perdana menteri telah mengambil beberapa tindakan positif untuk memulihkan industri, seperti menarik pelabur ke negara ini untuk mewujudkan hab bagi semikonduktor mewah.

Beliau berkata Anwar juga telah membantu banyak projek infrastruktur di negeri-negeri di bawah pemerintahan PAS.

Bagaimanapun, beliau berkata siasatan ke atas Rafique adalah tidak wajar, menyifatkannya sebagai keterlaluan.

Beliau berkata Anwar sendiri pernah berkata Akta Hasutan hanya akan digunakan untuk membendung isu berkaitan 3R kaum, agama dan raja.

Saya menggesa perdana menteri untuk memberitahu polis supaya melepaskan peguam itu dan terus bercakap tanpa halangan, katanya.

“Ia bagus untuk imej Anwar sendiri.

Sunday, July 14, 2024

Umno harus desak speaker diganti dengan tokoh lebih adil, kata Zaid

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
14 Jul 2024, 02:30 PM

Bekas menteri itu berkata, institusi kerajaan hanya dapat berfungsi dengan baik apabila pegawai terhormat dan jujur dalam melaksanakan tugas.
Tiada undang-undang atau peraturan boleh menggantikan tingkah laku beretika, kata bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.

PETALING JAYA: Umno harus mendesak agar Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul digantikan dengan seorang tokoh yang lebih adil, kata bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.

Dalam hantaran di platform media sosial X hari ini, Zaid mengulas tentang komen Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Naib Presiden Johari Ghani mengenai keputusan speaker untuk tidak mengosongkan kerusi disandang enam bekas Ahli Parlimen Bersatu.

“Tiada undang-undang atau peraturan boleh menggantikan tingkah laku beretika. Institusi kerajaan, termasuk Parlimen, hanya dapat berfungsi dengan baik apabila pegawai terhormat dan jujur dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

Tiada perundangan mahupun perubahan dasar boleh menggantikan ini, katanya.

Semalam, Mohamad mencadangkan pilihan raya semula (recall election) diadakan jika kerajaan tidak meminda undang-undang antilompat bagi memastikan kerusi Parlimen dikosongkan sekiranya wakil rakyat mengikrar sokongan terhadap parti lain.

Beliau berkata, pilihan raya semula itu boleh diadakan apabila Ahli Parlimen atau Adun tidak sehaluan dengan parti yang dianggota ketika dipilih.

Mohamad berkata, pengundi di kawasan itu boleh membuat referendum untuk memilih semula Ahli Parlimen, dan jika mendapat sokongan lebih 50%, kerusi itu perlu dikosongkan dan pilihan raya diadakan semula.

Johari Ghani juga menggesa agar undang-undang antilompat diketatkan bagi mengelakkan ia disalah guna oleh ahli politik yang melompat parti.

Kalau ada isu teknikal atau kelompangan dari segi akta (antilompat) itu, kalau perlu kita perbaiki, kita perbaiki. Kita tidak patut galakkan amalan lompat parti ini, katanya.

Zaid berkata, sudah tiba masanya untuk Umno bersikap seperti Sarawak dan bertegas mengenai perkara-perkara yang penting kepada negara.

Wajarkan kedudukan sebagai rakan kongsi dalam kerajaan, katanya.

“Bagus kedua-dua pemimpin Umno ini bersuara, tetapi penyelesaiannya agak mudah: Pilih orang lain yang adil sebagai speaker.

Jika Umno tegas pendirian mengenai isu ini, kepimpinan Madani tiada pilihan selain membenarkan Parlimen memilih speaker lain.

Keputusan Johari Abdul berhubung kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu itu dikritik oleh masyarakat awam dan ahli politik, dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, tindakan mengecewakan itu jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin berkata, Bersatu akan melantik peguam untuk mencabar keputusan itu di mahkamah.

Badan pemantau pilihan raya Bersih juga berkata, speaker tersilap dalam memahami mekanisme perundangan antilompat dan mengabaikan prinsipnya, yang boleh membawa kepada ketidakstabilan politik.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Friday, July 12, 2024

Posmen lebih bermaruah dari speaker, kata Zaid

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 12, 2024
Bekas menteri Zaid Ibrahim mendakwa Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menggunakan taktik melengah-lengahkan apabila membuat keputusan mengekalkan kerusi enam ahli parlimen Bersatu.

Mengulas kenyataan Johari bahawa dia "bukan posmen", Zaid berkata seorang posmen "lebih bermaruah" berbanding speaker itu.
Johari Abdul
"Seorang posmen tidak akan sesekali buka surat dan baca kandungannya. Dia tahu tugasnya: menghantar surat.

"Kamu pula tidak tahu tugas kamu. Tugas kamu ialah beritahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Itu tugas kamu, bukan untuk mendapatkan sokongan maksimum kepada PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim)," tulis Zaid di laman X pagi ini .

Apabila parti politik mengesahkan wujudnya kekosongan, tugas speaker ialah memaklumkan SPR mengenai kekosongan itu, katanya.
Semalam, Johari memberitahu Parlimen selepas ahli parlimen PN bertindak keluar dewan bahawa keputusan mengekalkan kerusi enam wakil rakyat Bersatu itu dibuat dengan berhati-hati.

"Saya sebut saya bukan posmen. Bila saya menerima apa juga diberikan kepada saya...saya akan memastikan saya kaji semua sekali.

“Saya baca kenyataan-kenyataan dalam pembinaan pindaan yang dibuat tentang Perkara 49 (Perlembagaan Persekutuan) itu. Saya ambil keputusan, keputusannya kekal seperti yang telah saya maklumkan kepada Beluran bahawa kekosongan tidak berlaku," katanya.

Taktik melengahkan masa

Mengulas lanjut Zaid mendakwa Johari menggunakan taktik melengah-lengahkan masa dengan memberitahu mahkamah untuk mentafsir peruntukan berkaitan.

“Seluruh proses akan membawanya kepada pilihan raya akan datang. Begitulah pemimpin yang tidak bermaruah memanjangkan hayat politik mereka.

"Speaker Dewan perlu ada kualiti tertentu, salah satunya adalah berkecuali. Tidak mungkin untuk melaksanakan tugas dengan baik jika speaker berat sebelah dan kepentingan parti/kerajaan sebagai keutamaan," kata Zaid.

Wednesday, March 27, 2024

Selamatkan masa depan bangsa, pesan Zaid kepada ‘Melayu cerdik’

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-27 Mar 2024, 06:19 PM

Bekas menteri undang-undang itu mengkritik penjualan 50.2% pegangan dalam Icon Offshore Bhd.oleh entiti Ekuinas kepada syarikat di Singapura.
Tanggungjawab utama ‘golongan Melayu cerdik’ bukanlah menjana hasil untuk kerajaan, tetapi memastikan kepentingan Bumiputera dilindungi untuk jangka masa yang panjang, kata Zaid Ibrahim.

PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menyeru golongan “Melayu cerdik” negara agar menggunakan kedudukan istimewa mereka untuk menyelamatkan masa depan ekonomi bangsa ketika mengkritik pelupusan pegangan mengawal oleh Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) dalam syarikat pembekal kapal sokongan luar pesisir Icon Offshore Bhd.

Dalam catatan di X, Zaid mengkritik penjualan 50.2% pegangan oleh Hallmark Odyssey Sdn Bhd – entiti kegunaan khas Ekuinas – kepada syarikat Singapura, Liannex Maritime Sdn Bhd, pada harga RM172.7 juta.

“(Golongan) Melayu cerdik tidak selalunya menjaga kepentingan orang Melayu biasa. Mereka berkhidmat untuk kelas elit. Mereka berkhidmat demi kepentingan politik pemimpin,” katanya.

“Bagaimana hendak dijelaskan pelupusan pegangan mengawal (oleh) Ekuinas dalam Icon Offshore baru-baru ini? Sudah tentulah kepada orang Cina … Adakah anda fikir Ekuinas akan melupuskan pegangan strategik dalam sektor tenaga tanpa restu politik?”

Zaid berkata, tanggungjawab utama “golongan Melayu cerdik” bukanlah menjana hasil untuk kerajaan, tetapi untuk memastikan kepentingan Bumiputera dilindungi untuk jangka masa yang panjang.

“Khazanah (Nasional Bhd) dan entiti lain telah mula menjual; nampaknya, ia langkah yang cermat,” katanya.

“Jika anda gagal mengukuhkan kepentingan Bumiputera, pada dasarnya anda telah mengkhianati kepercayaan orang Melayu. Ahli politik akan bermain politik dengan kepentingan Melayu, tetapi anda mempunyai tugas yang lebih murni” katanya.

Beliau mungkin merujuk kepada khabar angin yang dilaporkan oleh Malaysiakini bahawa Khazanah akan menjual 32.67% pegangannya dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), yang telah dinafikan oleh jurucakapnya.

Khazanah ialah pemegang saham terbesar dalam MAHB, manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai 7.06% kepentingan ekuiti dalam syarikat pengendali lapangan terbang itu.

The Edge baru-baru ini melaporkan bahawa Khazanah, KWSP dan Global Infrastructure Partners, yang berpangkalan di New York, difahamkan akan membentuk konsortium untuk memiliki dan mengendalikan MAHB, yang kini menguruskan 39 lapangan terbang di seluruh negara, serta satu lapangan terbang antarabangsa di Turki.

Zaid juga berkata, majoriti orang Melayu sama ada “kekurangan modal atau pendidikan yang sempurna, (dan mempunyai) etika kerja yang kurang optimum”.

“Mereka boleh menjadi mangsa kelas politik yang tidak bertanggungjawab. Mereka masih menanggung akibat pemerintahan feudal bertahun-tahun lamanya. Namun, misi anda adalah untuk membantu mereka, tidak kira betapa sukarnya (tugas itu),” katanya.

“Jika sampai pekerjaan anda terkorban, tak apalah. Anda adalah benteng terakhir untuk membantu bangsa sendiri. Jika orang Melayu yang cerdik pandai terlalu lemah (atau terlalu tamak) untuk mempertahankan kepentingan sah rakyat, maka tiadalah harapan untuk lebih ramai di luar sana.”

Monday, March 25, 2024

Isu stoking kalimah Allah: Tak malukah, Zaid kritik sikap bisu ahli akademik

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-25 Mar 2024, 12:16 AM

Zaid Ibrahim membidas ‘ribuan bijak pandai’ yang membisu berhubung reaksi terhadap isu stoking tertera kalimah Allah.
Zaid Ibrahim menyifatkan Tajuddin Rasdi sebagai sebagai intelektual yang berani bercakap benar.

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Zaid Ibrahim, mengkritik ahli akademik beragama Islam yang membisu berhubung reaksi terhadap isu stoking tertera kalimah Allah.

Mengulas reaksi sekitar isu tersebut, Zaid berpandangan perbuatan yang tidak menampilkan sikap penuh belas kasihan sebagai tidak menunjukkan Islam sebenar.

“Malangnya, kita ada ribuan bijak pandai yang gaji dibayar rakyat tetapi membisu. Tidak malukan mereka?” katanya di X (dahulunya Twitter).

Bekas menteri undang-undang itu memuji Tajuddin Rasdi dari Universiti UCSI susulan kenyataan tentang cara Nabi Muhammad berurusan dengan pihak yang menghinanya.

“Saya berbangga kita mempunyai intelektual seperti Tajuddin yang punya kekuatan dan keyakinan seorang Muslim sejati untuk bercakap benar,” kata Zaid.

Tajuddin dan bekas Ahli Parlimen Umno, Tawfik Ismail, membidas majlis kerja tertinggi Umno kerana menyokong tindakan Ketua Pemuda Dr Akmal Salleh berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.

Akmal berulang kali menggesa pemboikotan rangkaian KK Mart susulan penemuan stoking tersebut di sebuah cawangannya. Kilang membekal stoking itu telah ditutup sementara, manakala pengurusan KK Mart telah mengeluarkan permohonan maaf.

Tawfik dan Tajuddin menyeru semua pihak menunggu hasil siasatan ke atas perkara ini, dan mengingatkan bahawa hukuman bagi pihak yang bersalah seharusnya ditentukan oleh pihak berkuasa, bukannya Umno.

Mereka juga menggesa rakyat abaikan seruan boikot KK Mart daripada Akmal dalam isu ini.

Tuesday, July 18, 2023

Zaid bidas Majlis Peguam kunci mulut Akta Hasutan digunakan terhadap Sanusi

agendaily.com
18/07/2023
Datuk Zaid Ibrahim.

Majlis Peguam (Bar Council) dibidas peguam terkenal, Datuk Zaid Ibrahim apabila Akta Hasutan digunakan untuk menekan musuh politik kerajaan campuran.

Zaid mempertikaikan Majlis Peguam yang sebelum ini lantang jika pemimpin Pakatan Harapan (PH) didakwa atas akta sama tersebut, tetapi tidak pula bersuara dalam kes membabitkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Zaid, yang menyokong pakatan UMNO dengan PH untuk membentuk kerajaan tahun lepas membidas kerajaan campuran Datuk Seri Anwar Ibrahim sibuk mengejar pengkritik mereka.

“Pencapaian paling ketara kerajaan Madani ialah menggunakan Akta Hasutan terhadap lawannya.

“Apabila lawan ini memohon maaf, menteri Madani menjawab, ‘Itu tidak mencukupi’,” katanya dipetik laporan MalaysiaNow hari ini.

Terdahulu, Sanusi ditahan pihak polis sekitar jam 3 pagi malam tadi sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang untuk didakwa pagi ini.

Komen Zaid mendapat sokongan daripada rakan peguamnya, Datuk Ambiga Sreenevesan.

“Saya bersetuju dengan Zaid bahawa penggunaan Akta Hasutan terhadap musuh politik (dan sebenarnya terhadap sesiapa sahaja) oleh kerajaan ini adalah tidak boleh diterima sepenuhnya.

“Jadi bertentangan dengan Malaysia yang kita perjuangkan. Akta Hasutan mesti dimansuhkan!” kata bekas presiden Majlis Peguam itu menerusi ciapan di Twitter.

Sanusi didakwa atas ucapannya yang dikatakan mempersendakan prestasi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta pelantikannya oleh Sultan.

Beliau memohon ampun kepada Sultan Selangor, tetapi pemimpin kerajaan termasuk Menteri Undang-Undang Datuk Seri Azalina Othman Said terus mendesak agar siasatan diteruskan.

Kehadiran Sanusi di mahkamah hari ini hanya lima hari selepas polis membuka kertas siasatan terhadap ahli politik popular PAS itu.

Dalam pada itu Zaid menempelak kepimpinan semasa Majlis Peguam, yang sebelum ini mengeluarkan kritikan berhubung penggunaan Akta Hasutan terhadap ahli politik PH.

“Sekarang Sanusi akan didakwa, semua orang gembira. Tiada lagi tekanan ke atas Peguam Negara.

“Majlis Peguam, pembela kedaulatan undang-undang, tentu berpuas hati juga,” tambahnya.

Tuesday, June 20, 2023

Zaid: Umno tidak serius mengenai pengampunan buat Najib

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jun 20, 2023 10:37 AM
Peguam Zaid Ibrahim tampil membidas Umno kerana gagal meyakinkan orang ramai mengapa bekas perdana menteri Najib Razak layak mendapat pengampunan.

"Mereka tidak membuat sebarang usaha serius untuk mencadangkan pengampunan itu. Tiada perincian dikemukakan mengenai mengapa pengampunan itu wajar dan sesuai, serta apakah isu yang perlu diambil kira untuk pengampunan.

“Tiada apa-apa. Mereka cuma berjanji dengan ahli mereka akan melakukan segala-galanya untuk Najib.
Zaid Ibrahim
"Sebab itu Umno tidak akan berjaya dalam pilihan raya akan datang. Ahli akan tanya apakah janji yang akan Umno berikan kali ini yang mereka akan tunaikan," kata Zaid, yang merupakan ahli Umno dan pernah berkhidmat sebagai peguam Najib.

Zaid berkata tindakan pemimpin utama Umno adalah hanya dengan membuat petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi alasan petisyen itu tidak pernah didedahkan.

Sebaliknya, kata Zaid, bekas presiden Amerika Syarikat Barack Obama menjelaskan sebab untuk meringankan hukuman penjara 35 tahun ke atas Chelsea Manning, yang membocorkan rahsia ketenteraan.
"(Bekas presiden AS Gerald) Ford mengampuni (Richard) Nixon kerana dia mahukan perdamaian nasional. Dia menerima kongres adalah betul untuk mendakwa (Nixon) tetapi merasakan pengampunan perlu.

“(Bekas presiden Afrika Selatan Nelson) Mandela dan (FW) de Klerk memberikan pengampunan kepada mereka yang melakukan jenayah semasa apartheid untuk pembinaan semula negara,” ciap Zaid di akaun Twitternya.

Zaid menyentuh soal proses pengampunan itu ketika pendedahan bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada kesalahan terhadap Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib.
Perkara itu didedahkan kepada Dewan Negara semalam oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai menjawab soalan senator PH, Kesavadas A Achyuthan Nair.

Semasa peringkat rayuan, peguam pembelaan Najib telah banyak bergantung kepada cadangan supaya Nazlan tidak mendengar kes itu kerana dia didakwa mempunyai konflik kepentingan.

Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan menolak hujahan berkenaan, manakala Nazlan kini adalah hakim di Mahkamah Rayuan.

Sunday, January 19, 2020

'Ambo nak Kelantan maju macam Singapura'

N Faizal Ghazali


BERITA

Enggan tampak agresif sebaik selepas menjadi pengerusi protem DAP Kelantan - Zaid Ibrahim, memilih untuk memulakan tugasnya dengan mendekati keluarga, rakan-rakan dan penduduk di kampung kelahirannya.

Dalam sesi pertemuan dan ceramah santai di pekarangan sebuah rumah di Kampung Chap, Bachok, malam tadi, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tampil memberi penjelasan umum mengenai keadaan politik negara.

Disertai kira-kira 100 penduduk setempat, beliau antara lain banyak menyeru agar hadirin memahami keadaan politik Malaysia dan menolak politik kebencian serta anasir perkauman.

"Saya ambil tanggungjawab ini untuk memberi penjelasan kepada rakyat Kelantan apabila dapati senario politik sekarang tidak sihat.

"Yang ini anti-Cina, anti-Melayu, anti-India, politik macam ini tak sihat .Kalau negara kita terus macam ini, macam mana nak maju, macam mana kita nak tumpu kepada pembangunan dan pendidikan?

"Untuk peringkat ini eloklah saya beri penjelasan dan tempat yang paling baik adalah di kampung saya sendiri, bersama saudara-mara dan kawan-kawan di sini," katanya ketika sidang media pada program tersebut.
Bekas anggota parlimen Kota Bharu itu dilantik menjadi pengerusi protem dalam satu mesyuarat DAP Kelantan pada 10 Januari lalu, menggantikan Chua Chin Hui.

Turut dilantik ialah 16 ahli jawatankuasa penaja. Langkah itu disifatkan untuk mengukuhkan kedudukan DAP di negeri itu.

Dalam ucapannya di program itu, Zaid menjelaskan betapa senario politik negara perlu lebih terbuka dan menolak politik yang membawa perpecahan antara masyarakat.

"Sejak selepas merdeka lagi kita berbalah dalam politik, PAS dan Umno 40 tahun berbalah kemudian sekarang dah berbaik. Kalau berbalah kita orang Melayu, orang Islam yang rugi.

"Kelantan sejak sekian lama ditadbir pihak pembangkang, sejak zaman BN. Kemudian kerajaan pusat bertukar pun Kelantan tetap negeri pembangkang. Bila negeri pembangkang pembangunan kurang, duit tak masuk.

"Jadi apa untungnya kita berbalah, anti itu dan ini, yang ruginya orang Melayu," katanya.

Tambahnya, orang Kelantan khususnya perlu berubah dalam segenap aspek kehidupan termasuk pemikiran untuk membangunkan kemajuan negeri.

"Justeru saya nak minta orang Kelantan berbaik-baik dengan kerajaan pusat, yang diwakili parti-parti pelbagai kaum. Saya akan bantu, kalau apa-apa yang diperlukan saya boleh jumpa menteri untuk minta tolong mereka dengan sokongan semua.

"Selepas ini sesiapa nak dengar mengenai politik Malaysia boleh jemput ambo (saya), ambo nak jelajah bagi penjelasan di seluruh Kelantan.

"Ambo nak tengok perubahan, nak bagi Kelantan maju seperti Singapura," katanya lagi.

Friday, February 23, 2018

Jangan bazir undi anda pada PAS, pesan Zaid

FMT Reporters
Gambar AFP

PETALING JAYA:  Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim menasihatkan rakyat tidak membazirkan undi dengan menyokong PAS pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), jika mereka mahu menggulingkan Datuk Seri Najib Razak.

Menerusi catatan blognya hari ini, ahli DAP itu berkata, rakyat Malaysia silap jika memikirkan tindakan mengundi PAS mampu menyingkirkan Najib.

“Saya harap orang-orang ini sedar. Jangan pecahkan undi anda. PAS tidak akan menang, termasuk di Kelantan.

“PAS mengabaikan cara Tok Guru Nik Aziz dan mereka perlu membuat pengorbanan besar untuknya,” tulisnya merujuk bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Beri undi anda kepada Pakatan Harapan dan kita akan pastikan kita dapat menyingkirkan diktator itu,” katanya merujuk kepada Najib.

Sejak 2015, Najib dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang beberapa kali berkongsi pentas sama dalam memperjuangkan isu berkaitan orang Islam.

Pada 17 Disember 2015, Najib dan Hadi memakai baju Melayu berwarna sama ketika menghadiri Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia yang diadakan di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur.

Setahun kemudian, mereka menghadiri Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, pada 4 Disember 2016, bagi membantah penindasan kerajaan Myanmar ke atas etnik minoriti itu.

Pada 4 Mei 2017, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan mengakui kehadirannya pada majlis pelancaran program tukun tiruan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ialah permulaan kepada politik matang antara parti itu dan kerajaan BN.

PAs dilaporkan mengalami perubahan besar, 4 bulan selepas Nik Aziz meninggal dunia pada 12 Februari 2015.

Ia berlaku apabila golongan konservatif yang selama beberapa dekad mencorakkan parti itu kembali berkuasa.

Hampir semua pemimpin yang mahu parti itu mengekalkan hubungan dengan PKR dan DAP, tewas pada pemilihan parti Jun 2015, termasuk Timbalan Presiden ketika itu, Mohamad Sabu atau Mat Sabu.

Kumpulan progresif yang diketuai Mat Sabu kemudiannya menubuhkan Amanah pada 16 September 2015 yang kemudiannya menyertai Pakatan Harapan.

Sementara itu, Zaid turut mengingatkan rakyat tidak mengkritik Najib bagi mengelakkan mereka dipenjarakan kerana perdana menteri mudah tersinggung.

“Kita kini mempunyai undang-undang yang mengatakan jika Najib atau orang-orang yang rapat dengannya merasa dihina atau jika kita menyakiti perasaan mereka, maka kita boleh dikenakan tindakan dan akhirnya dipenjara.”

Selasa lalu, kartunis terkenal, Fahmi Reza dihukum penjara sebulan dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh.

Pereka grafik berusia 40 tahun itu didapati bersalah di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik poster satira menggambarkan Najib bermuka badut.

Di bawah akta itu, Fahmi didapati menyebarkan kandungan dalam talian yang dianggap “lucah, palsu, mengancam atau menyinggung perasaan dengan tujuan untuk menyakitkan hati, menyalahgunakan, mengugut atau mengganggu orang lain”.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-