Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my
MOHAMAD menyampaikan ucapan ketika majlis perasmian Wanita, pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Umno sempena PAU 2024. FOTO Asyraf Hamzah
Kuala Lumpur: Kejayaan Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri baru-baru ini bukan penanda aras pemulihan sepenuhnya parti itu.
Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kejayaan di Nenggiri hanya permulaan kepada perjalanan jauh yang lebih getir dan mencabar.
"Pengajaran besar dari PRK itu ialah sokongan bangsa Melayu itu tidak pegun. Ia dinamik.
"Ia boleh beralih selari dengan kedinamikan calon, strategi dan isu yang ditampilkan," katanya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2024 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, hakikatnya orang Melayu masih belum menunjukkan dengan jelas mereka mula beramai-ramai kembali mendukung Umno.
"Kita harus bekerja berlipat kali ganda untuk kemenangan calon Umno. Umno pula tidak boleh hidup dalam penafian.
"Menjadi sebahagian dari kerajaan jangan sesekali melalaikan kita. Kita tidak pun berkuasa sepenuhnya. Sebaliknya, kita waktu ini hanya pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan," katanya.
Beliau turut menggesa supaya ahli parti itu tidak lalai dalam tanggungjawab, merawat dan memulihkan keyakinan bangsa terhadap Umno.
"Justeru, usaha memulihkan kepercayaan ini mesti kita giatkan. Pastinya tiada jalan mudah untuk menawan kembali nurani bangsa Melayu.
"Ia akan mengambil masa, namun itulah harga sebuah perjuangan. Dan strategi paling penting untuk kita mengembalikan kepercayaan ini adalah dengan mengembalikan kesatuan kita sebagai sebuah parti," katanya.
Disiarkan pada: Ogos 21, 2024 @ 9:50pm
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.