Saturday, August 17, 2024

LANGSUNG | Tak rasmi: Awie menang, BN rampas Nenggiri

PRK NENGGIRI | Calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (dikenali sebagai Awie) dan calon PN Mohd Rizwadi Ismail yang menggunakan logo PAS bertarung satu lawan satu untuk dinobatkan sebagai wakil rakyat kerusi DUN di Kelantan ini.

Malaysiakini membawakan secara langsung perkembangan keputusan PRK ini dari semasa ke semasa.

Tak rasmi: Awie menang, BN rampas Nenggiri

7.35 malam - BN telah merampas kerusi Nenggiri daripada PN, menurut keputusan tidak rasmi.

Ini pilihan raya kecil pertama sejak pilihan raya umum 2022 dan pilihan raya negeri 2023 yang menyaksikan kerusi DUN itu telah bertukar tangan.

Malaysiakini menganggarkan BN telah melepasi ambang 50 peratus undi dengan 39 dari 47 daerah mengundi telah dikira.

BN masih mendahului dengan lebih 2,800 undi setakat ini dan PN dijangka tidak akan mampu mengejar lagi.

Di bilik gerakan BN, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan terima kasih kepada pengundi Nenggiri kerana mengembalikan kerusi tersebut kepada gabungan itu.

Dia juga berterima kasih kepada bekas ahl parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub.

Tak rasmi: BN di ambang kemenangan

7.25 malam - BN dijangka akan memenangi kerusi DUN Nenggiri menurut keputusan tidak rasmi.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan keyakinannya BN akan menang, "Insya-Allah".

Setakat ini, BN mendahului dengan lebih 2,800 undi setelah 36 dari 47 saluran mengundi dikira.

Menurut keputusan tidak rasmi BN, gabungan itu telah berjaya merampas kembali daerah mengundi Perasu dan Limau Kasturi yang mana BN kalah pada pilihan raya negeri tahun lalu

BN mendahului PN
7 malam - Keputusan tidak rasmi kem BN menunjukkan gabungan tersebut kekal mendahului dengan 20 dari 47 saluran mengundi telah dikira.

Setakat ini, BN mendahului PN dengan hampir 2,000 undi.

2,000 penyokong PN tak keluar undi - Annuar
6.15 petang - Pemimpin PN Annuar Musa membayangkan persaingan sengit dengan kemungkinan undi untuk gabungan itu merosot.

Dalam satu hantaran di Facebook, Annuar mendakwa lebih 2,000 penyokong PN tidak keluar mengundi “gara-gara tempias berita pihak lain mendapat duit.”

Pun begitu Annuar tidak menjelaskan kaitan antara perkara ini.

Pemimpin PAS itu juga mendakwa peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi pada hari ini mungkin memberi kelebihan kepada BN.

Jika dakwaan Annuar benar, PN mungkin akan kehilangan kerusi tersebut.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, PN menang DUN Nenggiri hanya dengan majoriti 810 undi daripada BN.

Tak rasmi: BN menang semua daerah mengundi Orang Asli
6 petang - BN telah memenangi kesemua enam daerah mengundi Orang Asli menurut keputusan tidak rasmi.

Jumlah undi tidak rasmi menunjukkan BN meraih 1,852 undi di enam daerah mengundi tersebut - Kuala Sungai, Tohoi, Sungai Puian, Sungai Jenera, Simpor dan Sungai Wias.

Sementara itu, PN hanya mendapat 282 undi di kawasan-kawasan ini.

Pusat pengundian ditutup
6 petang - Peratusan keluar mengundi merekodkan 71.87 peratus setakat 4 petang, maklum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melebihi sasaran hanya lebih 60 peratus.

14 pusat pengundian dibuka sehingga 6 petang manakala enam pusat pengundian ditutup lebih awal.

Empat pusat mengundi yang ditutup pada 2 petang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai, manakala dua lagi ditutup 3 petang iaitu Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan SK Pulat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-